Perniagaan yang tidak merugikan - Utusan Malaysia

Perniagaan yang tidak merugikan

Jemaah haji berkumpul di Jabal al-Rahmah menjelang hari wukuh di Arafah kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGGUHPUN kuota jemaah haji seluruh dunia dikurangkan kepada satu juta orang pada tahun ini, namun dataran di depan Kaabah tidak kelihatan surut dengan umat Islam melaksanakan aktiviti ibadah.
Semasa saya menulis ini, tinggal beberapa hari untuk para jemaah haji mengumpul stamina memulakan pergerakan Masyair bermula dari 9 Zulhijjah dan berakhir pada 13 Zulhijjah dari Mekah ke Arafah, Mudzalifah, Mekah semula dan seterusnya melontar jamrah di Mina.
Melihat ramai warga emas bergelut berhadapan dengan jutaan jemaah haji dalam bahang cuaca panas ini mengingatkan saya untuk sentiasa membantu dan memberikan keutamaan kepada golongan ini. Kagum saya melihat petugas Tabung Haji Malaysia yang menyantuni apa jua yang boleh dibantu akan para tetamu Allah ini.
Di tempat ini juga para jemaah meletakkan ke tepi segala status, pangkat dan harta yang ada kerana yang menentukan haji kita mabrur atau tidak bukanlah jenis pakej yang dipilih tetapi kualiti ibadah yang dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.
Bagi yang berkira-kira untuk menunaikan ibadah haji, janganlah risau akan berkurangnya wang simpanan kerana apa jua kos mengerjakan haji dan diinfakkan ke jalan Allah adalah pelaburan kita dengan Allah yang mana Allah janjikan sebagai suatu perniagaan yang tidak akan rugi atau dalam bahasa Arabnya Tijaratan Lan Tabur.
Jika jaminan daripada Kerajaan Malaysia bahawa pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera itu tidak akan rugi pun kita yakin, apatah lagi jika jaminan itu dibuat oleh pencipta kita, Tuhan sekalian alam yang janji ini disebut di dalam Surah al-Faathir dan diulang di dalam doa bagi mendapatkan haji mabrur.
Jika berkemampuan amatlah elok mengerjakan haji pada usia muda kerana haji itu sememangnya memerlukan gerakan fizikal yang menggunakan tenaga apatah lagi banyaknya cabaran wabak dan cuaca yang amat panas.
Sebab itulah orang dulu-dulu selalu rujuk pergi menunaikan ibadat haji ini sebagai ‘Kerja Haji’ atau Manasik haji kerana sememangnya ibadat haji lebih banyak melibatkan perbuatan seperti tawaf, saie dan wukuf di Arafah sedangkan bacaan-bacaan adalah bersifat sunat sahaja.
Jadi tak perlulah risau jika kita tidak hafal doa-doa yang dibekalkan dalam bahasa Arab kerana boleh sahaja kita berdoa dalam bahasa Melayu yang kita memahami apa didoakan itu.
Menarik juga untuk saya kongsikan rahsia menjadi tetamu Allah oleh sahabat baik saya yang menjadikan amalan bertalbiah (Labbaik Allah humma labbaik) di dalam kereta setiap hari dalam perjalanan ke pejabat sejak beberapa tahun lalu dan akhirnya talbiahnya itu dijawab oleh Allah dan hari ini beliau berada di Tanah Suci menjadi tetamu Allah.
Ibadah haji amat sinonim dengan pengorbanan mengambil pengajaran dari kisah pengorbanan besar Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Tentunya ibadah haji ini memberikan pengajaran yang bukan sedikit kepada umat Islam untuk sedaya upaya membantu umat Islam lain dan tidak hanya mementingkan diri sendiri.
Bukanlah suatu lagi rahsia untuk mencium hajar aswad atau bersolat di tempat yang mustajab doanya pun ada yang sanggup untuk menghadang, menolak malahan menggunakan kekuatan fizikal terhadap jemaah lain asalkan memperoleh manfaat itu.
Ada juga yang menggunakan kekasaran untuk mendapatkan tempat paling mustajab doa. Ini bukanlah ajaran sebenar dituntut agama kita apatah lagi ibadah haji ini adalah perkumpulan terbesar umat manusia yang mana sepatutnya ia menjadi platform terbaik untuk memperkukuhkan kesatuan dalam keadaan agama Islam seantero dunia seringkali ditindas, Nabi Muhammad dihina dan Islam dikaitkan dengan kemiskinan dan keganasan. Terdapat banyak hikmah perlu dihayati dari setiap pergerakan rukun dan wajib haji.
Umat Islam ini ada banyak program berkaitan ilmu seperti kuliah subuh, kuliah dhuha, kuliah zohor, kuliah maghrib, tazkirah, tausiah, usrah, maulid nabi, nisfu Syaaban, majlis tilawah al-Quran dan pelbagai aktiviti lagi namun sementara kita perlu memperkasakan semua amalan itu adalah lebih penting untuk memastikan kita menghayati mengapa amalan itu dilaksanakan. Kadang-kadang bila terlalu biasa dengan amalan tersebut maka ia hanyalah menjadi ritual harian yang tidak memberikan banyak kesan dalam diri kita.
Ibadah korban lembu sebagai contoh telah menjadi suatu kebiasaan bagi kita hingga tidak tergambar kita ada umat Islam di negara lain yang perlu naik turun mahkamah untuk melaksanakan korban lembu.
Teringat saya dalam kes yang dilaporkan di dalam jurnal perundangan iaitu State of West Bengal lawan Ashutori Lahiri (1995 SC 464) yang mana dalam kes ini umat Islam terpaksa membawa permohonan untuk membuat korban lembu di mahkamah apabila penduduk setempat menghalang proses korban lembu yang dianggap haiwan suci oleh penduduk negara itu dan mahkamah memutuskan menghalang lembu dijadikan haiwan korban di negara itu.
Pastinya ini berbeza dengan amalan di Malaysia kerana lembu adalah haiwan korban paling utama hinggakan kadang-kadang kita terlupa nikmatnya anugerah Tuhan untuk kita bebas melaksanakan ibadah korban tanpa halangan.
Ibadah haji juga mendidik umat Islam untuk tidak leka dengan masa dan melakukan setiap pekerjaan dengan perancangan teratur. Sebab itulah menjadi suatu rukun dalam ibadah haji untuk kita tertib dalam melaksanakan rukun-rukun ibadah haji. Tertib itu sendiri adalah manifestasi bahawa Islam telah menyusun kehidupan berdasarkan garis panduan yang mengawal selia kehidupan kita.
Justeru, Aidiladha ini ambillah peluang memulakan pelaburan dengan Allah yang dijanjikan sebagai perniagaan yang tidak akan rugi dan memastikan kelaziman amalan agama di negara kita dihayati. Salam Aidiladha buat semua, mohon ampun dan maaf dari Mekah al Mukarramah.

DATUK IKBAL SALAM ialah Penguambela dan Peguamcara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN