Perjanjian 1878 tidak lagi berasas

Perjanjian 1878 tidak lagi berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUNTUTAN ke atas Sabah oleh waris Sultan Sulu adalah isu yang tidak berkesudahan. Ia berlarutan sekian lama dan seolah-olah tidak selesai sehingga kini. Ia menjadi hangat semula apabila kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak memberhentikan bayaran tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris Sultan Sulu sebagai tindakan kepada peristiwa Tandou 2013.

Tindakan waris Sultan Sulu ke atas aset Petronas di luar negara menimbulkan isu baharu. Apakah isu sebenar tentang Sabah dan tuntutan waris Sultan Sulu dan Filipina? Apakah alasan kukuh yang menyebabkan isu ini tidak berkesudahan sekian lama? Apakah asas yang digunakan oleh waris Sultan Sulu dan kerajaan Filipina berkaitan tuntutan ini? Adakah Perjanjian 1878 antara Sultan Sulu dan Von Overbeck dan Alfred Dent menjadi asasnya? Adakah asas ini masih boleh dipakai dalam tuntutan yang dikemukakan? Atau kerana ada tafsiran yang silap terhadap perjanjian yang ditandatangani pada 1878 itu?

Banyak perjanjian antara Sepanyol dan Amerika Syarika (AS), Great Britain dan AS serta Filipina (merdeka dan menjelang kemerdekaan) dengan AS yang mengikut tafsiran undang-undang antarabangsa membatalkan Perjanjian 1878 itu. Jadi timbul persoalan, apakah tafsiran kerajaan terhadap perjanjian itu tepat dalam meneruskan bayaran terhadap waris Sultan Sulu (sebelum peristiwa Tanduo 2013)? Atau bayaran yang dibuat oleh kerajaan Malaysia kepada waris Sultan Sulu bukan atas prinsip undang-undang tetapi lebih kepada asas dan faktor perikemanusiaan?

Saya berpendapat, kedudukan dan tafsiran ini perlu benar-benar jelas. Kalau bayaran RM5,300 setahun kepada waris Sultan Sulu atas dasar kemanusiaan, ia hendaklah diberi penerangan yang benar-benar tepat dan jelas bagi mengelak tafsiran yang silap bagi pihak sebelah sana. Kalau ya, adalah tepat dengan peristiwa pencerobohan dan keganasan Tandou 2013 menyebabkan kerajaan menamatkan bayaran tahunan. Tindakan yang dilakukan oleh waris Sultan Sulu adalah seolah-olah bayaran itu satu kemestian dan bukan atas dasar kemanusiaan.

Pentafsiran Pejanjian 1878 tidak boleh semata-mata dilihat ketika ia ditandatangani pada 1878. Beberapa perkara perlu dipersoalkan, apakah kedudukan waris/keturunan Sultan Sulu sekarang masih sama seperti pada 1878? Adakah kesultanan Sulu sekarang satu institusi yang sah, masih wujud dan berkuasa seperti sebelumnya? Apakah proses sejarah yang berlaku dalam tahun-tahun sepanjang akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 sehingga penjajahan berakhir dan Filipina mencapai kemerdekaan daripada AS?

Kawasan yang dimaksudkan dalam Perjanjian 1878 telah diatur/disusun semula mengikut penyesuaian percaturan wilayah antara kuasa Great Britain dan Belanda. Sibuco River yang dinyatakan dalam Perjanjian 1878 telah menjadi milik Belanda pada 1915 berasaskan sempadan garisan lintang empat darjah utara yang dipersetujui antara kedua-dua negara. Apabila penjajahan berakhir, wilayah ini menjadi sebahagian Kalimantan, Indonesia (bukan lagi sebahagian Sabah. Lebih awal dari itu dalam Perjanjian Paris 1898, penyerahan wilayah Sepanyol kepada AS adalah dengan jarak sembilan batu dari pantai Borneo (tidak termasuk tanah daratan Borneo sebagaimana dinyatakan dalam The Manila Convention of 1895).

MANILA

Perjanjian-perjanjian yang berlaku selepas Perjanjian 1878 seperti The Spanish Convention of 1895; The Treaty of Paris 1898; The Washington Treaty 1900; The Anglo-American Treaty of 1930; The Constitution of the Commonwealth of the Philippines 1935 dan The Constitution of the Republic of the Philippines in 1947 telah memberikan penjelasan yang tepat dan diiktiraf diperingkat antarabangsa tentang sempadan Filipina. Perjanjian 1878 tidak lagi boleh dijadikan asas dalam menentukan garis sempadan antara Filipina dan Sabah (Malaysia). Negara bangsa yang terbentuk pada hari ini adalah berdasarkan susur galur percaturan kuasa dan undang-undang yang diiktiraf oleh kuasa besar utama (iaitu AS, Great Britain dan Belanda) semasa penjajahan.

Tuntutan ke atas Sabah berasaskan Perjanjian 1878 sudah tidak berasas lagi. Kesultanan Sulu pada hakikatnya bukan sebuah institusi yang sah dan mempunyai autoriti lagi. Hakikat sejarah bahawa kesultanan Sulu-Magindanao adalah sebuah kerajaan besar pengaruhnya di bahagian selatan Filipina dan utara Boneo adalah diterima. Ia menjadi sejarah dan keruntuhan dan kehancurannya berlaku dalam proses penjajahan.

Untuk menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya adalah suatu yang tidak berasas kerana kesultanan Sulu itu sendiri sudah tidak wujud dan tidak lagi diiktiraf oleh kerajaan Filipina serta komuniti antarabangsa. Adalah lebih baik bagi waris kesultanan Sulu membina kekuatan semula berasaskan sejarah silam, berusaha membina kawasan autonomi atau negara bangsa baharu di bahagian selatan Filipina. Mengambil hak serta menuntut wilayah di luar dari negara bangsa berasaskan perjanjian zaman kolonial adalah lebih sukar. Kerjasama dan gabungan kuasa dalaman mungkin lebih mudah dengan syarat mendapat restu dan persetujuan Manila. Adakah Manila sedia memberi restu?

Percaturan yang berlaku pada hari ini mesti berasaskan sejarah dan undang-undang antarabangsa yang diiktiraf oleh komuniti antarabangsa. Malaysia, termasuk wilayah Sabah adalah pembentukan negara bangsa yang sah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kedaulatan dan keselamatan Malaysia mesti dipertahankan. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah dan Profesor Madya Program Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah. Pernah menjadi pensyarah di Program Hubungan Antarabangsa, International University of Sarajevo, Bosnia Herzegovina (2016-2017) dan Profesor Pelawat di Fakuti Sains Pentadbiran, International University of Balkan, Skopje, North Macedonia (2017).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×