Pelajar antarabangsa jadi pelaburan

Pelajar antarabangsa jadi pelaburan

NORAINI Ahmad (empat dari kiri) melawat pusat kampus pesisir USM di Besiktas, Istanbul, Turkiye pada 13 Jun lalu. – FACEBOOK USM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGAJIAN tinggi era pascapandemik menghadapi pelbagai cabaran besar dan pada masa sama membuka banyak peluang baharu untuk diterokai. Antara cabaran utama juga ialah untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di negara ini terutama peringkat ijazah tinggi.

Sempadan negara bukan lagi halangan untuk pelaburan terus dibuat dalam pengajian tinggi. Pandemik Covid-19 telah mempercepatkan proses penerapan teknologi. Oleh itu, universiti tempatan perlu berkolaborasi dengan pelbagai pihak luar bagi meningkatkan kebolehpasaran program pengajian yang ada sesuai dengan permintaan pasaran.

Apatah lagi proses pendidikan tinggi pascapandemik menunjukkan trend penggunaan teknologi sebagai mekanisme komunikasi di antara pensyarah dengan pelajar yang boleh dilakukan secara hibrid. Proses penyampaian ilmu dan kepakaran ini dapat dilakukan dengan mudah di mana sahaja pelajar berada dan berupaya meminimumkan tempoh keperluan pelajar bersemuka dengan pensyarah.

Model penawaran program akademik di luar negara atau pendidikan merentas negara (TNE) kini semakin popular iaitu penawaran program dibuat di negara berbeza dari lokasi negara asal program. Antaranya kolaborasi dengan universiti-universiti terkemuka dunia dan pihak-pihak berkepentingan di luar negara untuk menawarkan program-program di universiti kita melalui program pesisir.

Pengalaman Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempelopori usaha penawaran program akademik di luar negara sejak 2009 melalui usahasama dengan Karanataka Lingayat Society, Belgaum, India bagi menawarkan program doktor perubatan dan kohort pertama pelajar diterima pada 2011 menunjukkan kejayaan besar. Kira-kira 300 pelajar sedang mengikuti pengajian masing-masing di Belgaum ketika ini. Sehingga kini, program ini telah mengeluarkan seramai 668 doktor yang berkhidmat di pelbagai hospital di tanah air.

Terkini ialah melalui kolaborasi dengan European Global School – University (EGS-U) yang telah menandatangani persetujuan kerjasama akademik sejak Januari lalu untuk menawarkan program akademik di peringkat pascasiswazah dan prasiswazah di Turkiye.

OSAKA

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan pegawai-pegawai tinggi kementerian telah melawat pusat kampus pesisir USM di Besiktas, Istanbul pada 13 Jun lalu. Melalui kerjasama dengan EGS-U Turkiye, terdapat 18 program doktor falsafah, 15 program sarjana dan satu program prasiswazah diluluskan di peringkat Jabatan Pengajian Tinggi. USM telah mengeluarkan 53 tawaran melalui kerjasama ini dan sedang menilai 19 permohonan lagi yang menyasarkan sekurang-kurangnya 80 orang pelajar mendaftar bagi 2022.

USM juga menjalankan program pesisir dengan beberapa institusi di China, Hong Kong dan Indonesia di samping menawarkan dual ijazah dengan universiti di Jepun, Perancis dan United Kingdom.

Terkini, hasil kerjasama penyelidikan dengan Universiti Osaka, Jepun telah memilih USM sebagai pusat penawaran program akademik melalui Osaka Asean Campus. USM kini menawarkan program dual ijazah di peringkat kedoktoran.

Kolaborasi seperti ini juga memungkinkan terjalinnya hubungan lebih rapat dalam usaha penyelidikan dan inovasi serta perkongsian kepakaran dalam bidang kekuatan bersama yang ada pada kedua-dua pihak. Pada masa sama, universiti perlu peka dengan hasrat menambahkan bilangan pelajar luar negara melalui usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa demi kelangsungan pendidikan tinggi di peringkat global.

Misalnya, USM kini mempunyai hampir 6,000 orang pelajar antarabangsa yang datang dari 80 buah negara. Komuniti antarabangsa USM pula adalah hampir 10,000 orang termasuk keluarga pelajar dan staf ekspatriat. Ini mencerminkan ekosistem untuk membawa dunia ke ruang kampus ke persada dunia.

Ekosistem ini perlu disokong oleh penawaran program berdaya saing, kepakaran yang ada dan diiktiraf, teknologi ditawarkan, hubungan rapat dengan industri dan kemudahan yang disediakan seperti perhubungan telekomunikasi, hospitaliti, makmal penyelidikan, penginapan serta suasana pengajian kondusif. Usaha-usaha ini akan meletakkan universiti tempatan di persada dunia di samping kehadiran bilangan besar pelajar di negara ini.

Usaha ini adalah juga untuk menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi yang menyasarkan 250,000 pelajar antarabangsa di Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN