MAHU tidak mahu kita terpaksa akur Malaysia tidak lagi ‘segarang’ dulu. Ya, seperti tahun-tahun 1990-an dan awal 2000. Bukankah kita pernah disebut-sebut seantero dunia.
Sebuah negara kecil letaknya di rantau Asia Tenggara ini suatu ketika menjadi ‘naga’ menggamit perhatian dunia dengan ketrampilan seorang negarawannya yang lantang memperjuang isu-isu ketidakadilan dunia – bencana perang, kemiskinan, Islamophobia dan kebangkitan dunia Islam.
Bukan kita tidak ada pesaingnya tika itu. Singapura dengan Lee Kuan Yewnya, Indonesia dengan Suhartonya, tapi Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan Malaysia ke tahap tinggi setanding dengan bualan masyarakat dunia apabila bercakap tentang Margaret Thatcher, Yasser Arafat dan satu dua pemimpin dunia lain. Bukannya tidak pancit George Soros, George W Bush dan Tony Blair dengan hentakan kritikan tegar Dr. Mahathir dalam isu manipulasi mata wang dan pengeboman ganas Iraq, tetapi itulah kehebatan Malaysia waktu itu.
Biarpun sudah berlalu momen itu tiga dekad lalu, kemunculan Presiden Indonesia, Jokowi seolah mengimbas kenangan itu. Menemui Zelensky dan Putin di Kyiv dan Moscow beberapa hari lepas dengan membawa dan menyampai mesej keamanan dan keprihatinan dunia akibat bencana perang, mengimbau momen sama misi Dr. Mahathir terhadap perang di Palestin, Bosnia Herzegovina dan Iraq tahun-tahun 90an.
KORUP
Apa yang tidak kena dengan Malaysia hari ini? Kerana berpolitik memanjang, para pemain politiknya `terlalu cakap banyak, kerja kurang’ atau ‘berpura pura’ sampai sudah jelak di mata rakyat? Rakyat pun agaknya kurang kisah siapa yang mengepalai kerajaan, bertukar kali ketiga perdana menteri pun tidak mengejutkan masyarakat bila sudah menjadi isu biasa dihidangkan di laman media sosial politik balas dendam dan mencari salah orang. Sedangkan harapan rakyat hanya tinggal harapan.
Bukankah sepatutnya Malaysia melangkah lebih gah lagi apabila memasuki 2010 dan seterusnya? Malangnya ini tidak berlaku kerana tindak tanduk pemain politiknya. Imej korup melekat, seakan gam cap gajah yang sukar ditanggalkan.
Mereka yang umurnya lingkungan awal 50-an hari ini mungkin tidak berapa ingat peristiwa-peristiwa perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air yang berlaku. Di buku atau Google sahaja boleh diikuti. Apa lagi kepada anak muda belasan tahun, awal 20an dan 30an sekarang. Mereka semua dilahirkan dalam suasana sudah pun menyedut udara merdeka.
Hakikatnya kita bernasib baik mendapat pemimpin-pemimpin yang bijaksana dalam mentadbir negara ini menerusi perjuangan merebut kemerdekaan hinggalah kemerdekaan itu dicapai. Jasa-jasa mereka tidak boleh dilupakan laksana harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama.
Tetapi mengapa hari ini semua itu digadaikan hanya kerana sebahagian pemain politiknya ‘bertuhankan’ nafsu dan kepentingan diri? Soalan dibangkitkan ini agaknya klise, namun mengapa banyak negara lain yang pernah Malaysia bukan sahaja duduk sama tinggi berdiri sama rendah, bahkan melepasi ranking mereka, perjalanan negara-negara berkenaan kini polanya menaik. Bukannya pula lama kelamaan mengundur? Lihatlah Vietnam, Indonesia dan usah cakaplah Singapura.
Mahu tidak mahu Malaysia perlu akui realiti ini – kita hari ini mundur berbanding 90an dan awal 2000 kerana onar pemain politiknya. Mengecewakan lagi, pergolakan politik yang berkisar itu hanya di sekeliling tokoh-tokoh pemimpin yang berkepentingan peribadi, bukannya berdasarkan isu-isu kepentingan umum.
Seperti dalam hikayat-hikayat, apabila pemimpin berperang, selalunya atas urusan peribadi berebut kuasa dan jawatan, rakyat pula yang menanggung bebannya. Ramailah yang digembleng dan diadu dombakan. Dalam krisis ini sesiapa yang pandai menangguk di air keruh akan meraih keuntungan.

NAPOLEON KECIL
Kita jangan ada kelibat ‘Napoleon Kecil’ yang boleh merencatkan kebangkitan semula Malaysia. Kelibat kumpulan ini memang wujud di mana-mana, hatta dalam kerajaan terdahulupun. Kerjanya membodek pemimpin, cium tangan pemimpin di tengah jalan. Mereka ini akan mempengaruhi pemimpin dan apabila masuk mesyuarat-mesyuarat besar, melaga-lagakan orang.
Kerana itu, pejabat komunikasi kerajaan harus laporkan kepada ketua apa yang benar dan apa yang tidak benar. Biar laporan itu dinilai subjektifnya, difikir secara objektif. Jadilah penasihat, bukan punahsihat.
Jangan dicap akan akhbar dan portal berita tertentu sebagai penentang kerajaan. Bukankah kerja-kerja media itu memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat? Buang `cara lama zaman batu’ mengurus media ikut kehendak pejabat komunikasi. Alu-alukan laporan matang yang memberi input berguna kepada agensi-agensi kerajaan.
Kerajaan adalah pemegang amanah rakyat. Tak usah takut dengan kritikan laporan akhbar. Akhbar dan portal berita laporkanlah yang benar. Jika bagus kerajaan, Insya-Allah akan bagus seterusnyalah ia.
Hindarikan laporan yang puji-puji, harus diberi teguran kepada kerajaan untuk segera memperbaiki keadaan.
Memerhati sekali lagi kelibat Indonesia, Vietnam dan Singapura, ya, jauh sekali kita ditinggalkan.
Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan. Kayuhlah dengan cermat dan hati-hati supaya selamat sampai ke seberang. Bila berjalan, janganlah sentiasa mendongak ke langit.
Pandanglah sesekali ke bawah supaya tidak terantuk kaki terkena akar kayu yang melintang. Bila sudah sampai ke seberang, jangan lupa pangkalan tempat mula berkayuh.
Malaysia dan orang Melayunya tidak mampu berpecah lagi.-UTUSAN