Menteri kena husnuzon suara rakyat

Menteri kena husnuzon suara rakyat

menteri
Himpunan #Turun bagi membantah kenaikan harga barang di Jalan Tuanku Abdul Rahman baru-baru ini adalah menifestasi suara rakyat yang perlu didengar oleh kerajaan. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Golongan berpendapatan di negara ini, yang makan gaji atau yang berniaga, mahupun yang memegang jawatan politik, boleh dibahagikan kepada beberapa kategori.

Andainya tangga gaji dan pendapatan isi rumah keluarga anda adalah di bawah RM2,500 hingga RM4,850 sebulan, anda tersenarai dalam kumpulan B40 di Malaysia untuk tahun 2022 ini. B40 adalah singkatan bagi perkataan Bottom 40 peratus. Terdapat satu lagi kategori yang dilupai iaitu golongan pesara swasta yang tidak menikmati pencen seperti pesara kerajaan.

Golongan Middle 40 peratus atau M40 di Malaysia ialah kumpulan pertengahan yang gaji dan pendapatan isi rumah melebihi RM4,851 sebulan. Golongan T20 atau Top 20 peratus adalah golongan berpendapatan tinggi, di mana gaji dan pendapatan isi rumah di Malaysia setiap bulan melebihi RM10,971.

Namun ada satu lagi kumpulan yang tidak langsung terjejas dengan inflasi atau keadaan ekonomi. Mereka memiliki kekayaan melampau dan sering disebut sebagai golongan ‘kayangan’ atau bangsawan. Menteri dan tokoh politik kebanyakannya berada dalam golongan ini.

Dalam suasana ekonomi dewasa ini, golongan M40, B40 dan pesara adalah mereka yang paling terjejas dengan tekanan inflasi dan keadaan ekonomi yang merudum.

Ramai yang merasakan bahawa merekalah golongan yang lebih tercabar dengan keadaan ekonomi semasa. Apa yang merisaukan rakyat adalah gelombang kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan. Adakah mereka mampu menempuhinya ataupun ‘terkorban lebih awal’?

Kita akui bahawa kerajaan ada melaksanakan beberapa inisiatif termasuk melanjutkan subsidi harga ayam dan minyak masak botol, namun apakah langkah kerajaan untuk meringankan beban sara hidup rakyat di Malaysia mencukupi dan berkesan?

Pakar ekonomi menjangkakan golongan isi rumah B40 inilah yang paling teruk terkesan jika tidak dibantu dengan mekanisme yang betul dan segera. Golongan kayangan hidup seperti biasa dan tidak terjejas. Mereka termasuk pak menteri, ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan serta usahawan. Tidak terkecuali ahli politik daripada pembangkang.

Ada menteri boleh pakai jam, baju dan sut beribu-ribu ringgit. Ini belum lagi diambil kira kereta mewah dan besar seperti Alphard, Vellfire dan lain-lain yang dimiliki mereka (termasuk menteri dan timbalan menteri daripada sebuah parti politik yang melaungkan perjuangan Islam).

Justeru, menyedari hakikat kemewahan inilah maka sekumpulan aktivis masyarakat mengesyorkan gaji menteri dipotong.

Dalam reaksinya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mencabar pihak yang mencadangkan agar gaji menteri dipotong, agar menamakan negara yang berjaya menurunkan kadar inflasi selepas melaksanakan langkah itu.

“Katakan anda potong RM10,000 daripada setiap menteri, gandakan dengan 36 menteri, berapa yang anda dapat?” Tanya beliau.

Beliau juga membayangkan bahawa walaupun gaji menteri dipotong, jumlah penjimatannya tidak memadai untuk mengubah keadaan.

“Bolehkah anda beri jaminan kepada saya yang inflasi akan selesai dan harga barang tidak naik,” ujarnya.

Memang benar seperti yang dikatakan Annuar bahawa pemotongan gaji menteri tidak akan mengatasi masalah inflasi. Menang benar ia tidak dapat meringankan beban rakyat dan tidak ada statistik dari mana-mana negara pun yang boleh menjadi sandaran bahawa pemotongan gaji menteri boleh mengurangkan inflasi.

Tetapi dalam keadaan menteri-menteri tidak berupaya untuk menyelesaikan isu kenaikan harga barang dan makanan ini, sekurang-kurangnya mereka boleh mengambil inisiatif mengurangkan sedikit kemewahan yang diperoleh sebagai tanda empati kepada rakyat jelata yang susah.

Dalam sebuah demokrasi, suara rakyat itu adalah penting. Tanpa rakyat tidak ada kerajaan dan tidak ada kerajaan, tidak ada menteri. Jangan sekadar ‘memandang’ kepada rakyat hanya selepas Parlimen dibubarkan.

Selaku menteri yang mengetuai Pasukan Khas Jihad, Annuar sepatutnya ‘berjihad’ dan menyokong saranan agar menteri-menteri dengan sukarelanya mengizinkan gaji mereka yang lumayan itu dipotong sedikit, bukannya mempertikaikannya.

Walaupun tindakan ini tidak mampu menangani masalah ekonomi, namun ia adalah satu manifestasi atau simbol pengorbanan daripada pihak atasan, walaupun sedikit. Sesuatu yang mudah tetapi impaknya tinggi terutama ketika rakyat marah dengan cara isu kenaikan harga barangan ini ditangani.

Laporan akhbar sebelum ini memetik wakil 20 gerakan mahasiswa sebagai mendesak pelaksanaan pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri bagi menangani situasi kenaikan harga barang yang berlaku secara mendadak. Wakilnya, Aliff Naif Mohd. Nizam, yang juga Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM) menyifatkan pembayaran gaji menteri dan timbalan menteri sebagai tidak masuk akal, terutama ketika rakyat berhadapan bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Perhimpunan Turun yang diadakan pada Sabtu lalu yang membangkitkan isu kenaikan harga barang juga menyuarakan gesaan agar gaji menteri dipotong. Saranan pemotongan gaji ini bagaimanapun bukannya baharu.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz juga pernah membuat saranan tersebut dan mencadangkan agar gaji menteri dipotong sebanyak 20 peratus bagi menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat ketika krisis ekonomi ini. Langkah yang sama pernah dilaksanakan ketika pentadbiran pertama Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1990-an.

Menurut satu laporan, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 memperuntukan gaji bulanan Perdana Menteri berjumlah RM22,826.65, Timbalan Perdana Menteri pula berjumlah RM18,168.15. Menteri pula diperuntukkan gaji bulanan sebanyak RM14,907.20 manakala Timbalan Menteri berjumlah RM10,847.65. Ini tidak termasuk elaun yang layak diperoleh oleh mereka.

Dalam situasi sekarang ini, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang dapat membela nasib mereka. Pastinya menteri yang dipertanggungjawab terhadap jihad ini harus memahami dan bersikap husnuzon terhadap pandangan daripada rakyat di bawah.

Penulis pernah berkhidmat sebagai wartawan kanan Utusan Malaysia dan Penulis Khas Berita Harian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×