Menari ikut ‘gesekan’ biola orang - Utusan Malaysia

Menari ikut ‘gesekan’ biola orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU dikira dari hari ini, cuma ada lima hari untuk UMNO menanti jawapan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung status pindaan perlembagaan parti itu yang diluluskan 15 Mei lalu.

Pindaan diluluskan persidangan agung khas parti membabitkan Fasal 10.16.1 itu berbunyi: “Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan.

Penangguhan ini tidak lebih 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih enam bulan selepas diadakan sesuatu pilihan raya umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian.”

RoS mempunyai masa sehingga 60 hari dengan tarikh terakhirnya Sabtu ini (16 Julai)untuk membuat keputusan ke atas pindaan perlembagaan UMNO tersebut.

Adakah UMNO belum bersiap sedia menghadapi pemilihan parti? Ada mengatakan jika pemilihan parti dilangsungkan sebelum PRU15 yang mandat memerintah berbaki setahun sahaja lagi, kapal akan pecah sebab gaduh awak-awaknya belum lagi reda.

Tikam belakang atau cah keting akan menjadikan UMNO huru-hara, sekali gus peluang untuk kembali menjadi kerajaan dek kerana momentum tiga pilihan raya negeri tempoh hari kian pudar.

Ada juga orang UMNO yang menguar-uar perlunya pemilihan sebelum PRU15 memberi hujah dengan paraphrase kepada Utusan Malaysia petikan Shakespeare dalam lakonan Julius Caesar yang berbunyi, “It is not that I love Caesar less, but that I love Rome more” – yang kita maklum individu mana dituju mereka.

Dan ada orang UMNO meluahkan kepada saya, jika itu kehendak pihak di sana mengingini pemilihan parti sebelum PRU, katanya “Elok ikutkan sahaja rentak mereka. DAP dan PKR pun sudah lalui pemilihan pemimpin mereka. MCA dan MIC demikian juga. Apa yang digusarkan?”

Lantas peristiwa tempoh hari ini diimbau kembali. Pada 12 Mei 2018, iaitu tiga hari selepas Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO tumbang dalam PRU14, pucuk pimpinan khususnya Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan secara reda dan sukarela melepaskan tampuk kepimpinan parti.

Sikap berjiwa besar ini agar UMNO terus bergerak ke hadapan dan tugas presiden dipangku oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid pula tanpa berlengah telah mengambil tindakan serta-merta mengisytiharkan proses pemilihan semula pimpinan parti di semua peringkat dengan menganjurkan semua jawatan ditandingi termasuk presiden UMNO – iaitu jawatan yang tidak pernah ditandingi sejak UMNO diharamkan pascapemilihan 1987 yang dimenangi tipis oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

SEBAHAGIAN penentang UMNO berasal dari golongan penerima dividen, jasa dan air tangan UMNO juga. Mereka itu pernah menjadi perdana menteri, timbalan perdana menteri, timbalan menteri dan menteri besar UMNO.

PENGALAMAN

Nah! Kepada parti-parti lain boleh lihat utuh tak utuh akar umbi UMNO ini. Kalah buat pertama kali dalam sejarah PRU, akar umbi UMNO tidak ambil masa panjang untuk mengumpulkan kembali kekuatan mereka.

Dalam tempoh singkat 10 hari sahaja selepas tumbang kerajaan, proses pemilihan parti peringkat cawangan berjalan dalam tempoh 21 hari bermula 19 Mei hingga 10 Jun (2018) melibatkan 21,990 cawangan di mana 19,124 cawangan telah bersidang. Iaitu melibatkan lebih tiga juta ahli – satu rekod yang belum pernah dicipta oleh mana-mana parti politik.

Walaupun tumbang kerajaan BN yang ditunjangi UMNO, ahli-ahli UMNO tidak melatah. Semua proses pemilihan berjalan dengan tertib mengikut peraturan. Tidak ada tumbuk menumbuk, tidak ada kerusi terbang.

Malah ahli UMNO tidak perlu memanggil mana-mana Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk meleraikan, sebagaimana yang terjadi pada pemilihan di sesetengah parti lain.

Persidangan peringkat bahagian pula berlangsung satu hari sahaja secara serentak di seluruh negara pada 30 Jun 2018 melibatkan 191 bahagian dengan perwakilan berjumlah 177,263 orang dalam pemilihan bahagian dan MKT.

Dengan jumlah-jumlah tersebut, jelaslah walaupun UMNO bukan lagi parti pemerintah waktu itu, namun sambutan ahli-ahli parti tetap hangat bagi menyahut seruan perjuangan UMNO.

Jadi, jika itu hakikat kebenarannya daripada pengalaman empat tahun lepas, apa lagi ditunggu? Jayakan sahaja pemilihan UMNO sebelum PRU.

Orang Melayu bila parti-parti Melayu pecah dan bergaduh, segalanya jadi cacamarba. Ada betulnya kata-kata lama – busuk ikan bermula di kepala, bukan di ekornya. Gajah berlaga sama gajah, pelanduk tersepit di tengah-tengah.

MAHAL

Dari sudut perhitungan perjuangan, realitinya UMNO sudah mengumpul begitu banyak trofi kejayaan. Memerdekakan Tanah Melayu, mewujudkan Persekutuan Malaysia, mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menjamin kedaulatan Raja-raja Melayu, menjulangkan hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera serta hak sahih kaum-kaum lain.

Keenam-enam Presiden UMNO semenjak merdeka semuanya menjadi perdana menteri, sambil jawatan timbalan perdana menteri dan menteri besar dipegang oleh orang Melayu.

Pendeknya, tampuk pemerintahan dengan Yang di-Pertuan Agong dipucuknya tampak jelas dan nyata sebagai perlambangan kuasa bangsa yang setiap Melayu harus berasa bangga.

UMNO bukan sembarangan parti. Jumlah ahli biasanya 3,696,283 dan ahli bergabung UMNO melalui Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), 171,405 dari 1,442 cawangan sementara bilangan cawangan UMNO berjumlah 21,964 cawangan.

Cuma sayang seribu kali sayang, situasi politik hari ini sudah berubah. Penentang UMNO kian lama kian bertambah bilangannya termasuklah orang Melayu sendiri. Sebahagian penentang UMNO ini berasal dari golongan penerima dividen, jasa dan air tangan UMNO juga.

Mereka ini pernah jadi perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan menteri besar UMNO. Kini mereka menentang UMNO dan BN. Mereka berkata, dulu lain sekarang lain.

Ada dalam kalangan mereka berkata, mereka bukan menentang UMNO. Mereka hanya menentang pimpinan atasan tertentu. Mungkinkah kepada orang UMNO yang berfikir, harus tampil mempersoalkan adakah lantaran marahkan nyamuk maka kelambu dibakar?

Kesatuan umat Melayu sesuatu yang cukup mahal untuk dicapai. Kesatuan itu paling hebat dan terus dirindui sewaktu peristiwa penentangan Malayan Union. Lama sudah, 76 tahun silam.

Mengamati siri krisis dalaman UMNO ini dari masa lepas, 1987 dan terbaharu 2022 ini, agaknya orang UMNO sendiri masihkah mengingati pesan pendirinya UMNO, Almarhum Datuk Onn Jaafar?

Kata Allahyarham, “Kita hendaklah mengesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita. Jangan sampai orang lain mengesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×