Menang sorak kampung tergadai lagi?

Menang sorak kampung tergadai lagi?

rafizi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI pula bercakap pasal kebangkitan PKR di bawah timbalan presidennya yang baharu, Rafizi Ramli.

Ada pula menghangatkan lagi suasana dengan mendakwa presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah boleh tumpang semangkuk dengan aura Rafizi dan barisan orangnya yang menduduki 13 daripada 20 kerusi dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sesi 2022/2025.

Itu PKR, lihat pula DAP, barisan kepemimpinan yang baharu juga. Dengan reformasi terbaharu daripada dua parti saingan utama Barisan Nasional (BN) ini setelah PKR dan DAP cukup mengerti dari iktibar penangan diterima daripada empat pilihan raya negeri, adakah BN termasuk bahagian komunikasinya sudah bersedia masuk gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

Ini tertuju kepadaJabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM). Cumanya, penulis boleh rumuskan seperti berikut keupayaan jentera komunikasi BN dalam enam bulan pertama tahun ini:

1. Menangani persepsi
Respons kepada persepsi negatif yang dicetuskan oleh pihak pembangkang amat perlahan malah ada masanya langsung tidak wujud daripada pihak BN. Faktor rasa selesa dengan kemenangan di Melaka dan Johor yang mencipta sentimen “majoriti beralih arah ke BN” mungkin menjadi penyebab selain daripada persengketaan dalaman UMNO.

Ini seharusnya tidak terjadi kerana BN ada menteri komunikasinya. Perkara ini harus ditangani segera memandangkan Pakatan Harapan dari sebelah PKR sudah mempunyai Rafizi, pengarah pilihan raya yang baharu. Isu-isu yang dibangkitkan olehnya mula mendapat perhatian golongan pengundi bandar dan ‘atas pagar’. Mereka juga sudah mula beralih arah dari fokus kepada isu 1MDB yang memenangkan PH dalam PRU14.

2. Isu kumpulan pengundi penting – belia
Ini langsung tidak ada champion & engagement. Masalah peluang pekerjaan dan dasar fiskal yang lemah akan mempengaruhi kumpulan ini. Amat menyedihkan, lebih-lebih lagi Ketua Pemuda BN adalah dari UMNO dan langsung tiada pendekatan yang boleh dibanggakan atau memberi kesan kepada kumpulan ini. Segala perkara berkaitan kumpulan ini diserahkan kepada menteri belia yang bukan daripada kem BN, malah bertentangan.

Pesanan kepada Ketua Pemuda BN, selami dan susurilah hasrat sebenar pengundi muda yang majoritinya terkesan dengan keadaan ekonomi sekarang. Bergaullah dengan pengundi muda di serata negara. Jangan hanya mendengar nasihat orang sekeliling yang terdiri daripada ‘golongan kayangan’. Carilah penasihat yang berasal dari jalanan yang memahami degup nadi golongan muda.

3. Tunggu dan lihat
UMNO hanya menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) atau keputusan mahkamah Pekan dan Bagan Datuk baru hendak mengatur strategi? Amat berisiko sekiranya berbuat demikian. Strategi hendaklah jelas terutama calon poster boy dan calon-calon PRU. Ini bagi membolehkan gerak kerja lebih tersusun dan tidak terburu-buru. Sekiranya ada masalah boleh diperbetulkan sebelum menjelang PRU.

4. Agihan kerusi
Pengagihan kerusi dalam kalangan komponen BN juga perlu diputuskan segera. Jangan nanti ada yang buat kerja berputih mata dan yang duduk sahaja dicalonkan dan akhirnya timbul perpecahan dan menguntungkan lawan.

Perebutan kerusi tetap ada tetapi secara sembunyi-sembunyi ibarat api dalam sekam. Jangan rasa parti kuat, tetapi aturlah strategi berdasarkan fakta dan realiti. BN kuat kerana sikap tolak ansurnya dalam perkongsian kuasa. Adakah formula perkongsian kuasa masih utuh atau sebaliknya?

5. Lebih sudu dari kuah
Keluhan banyak kedengaran berhubung pegawai-pegawai di pejabat menteri. Seronok berkuasa sampai lupa episod duka. Janji-janji ditabur kepada kontraktor bukan percuma. Seolah-olah berkuasa pada kali ini sahaja. Jangan leka, ramai yang memerhatikan kamu semua.

Kerana kamu, UMNO akan merana! Jagalah etika dan jagalah nama menteri kamu. Menteri-menteri kena menasihati kerana impaknya amat dahsyat kepada menteri dan parti. Jadi ‘bahan’ semasa kempen PRU15 nanti.

6. Kepimpinan melalui teladan
Tindak-tanduk berterusan daripada wakil rakyat BN seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mula mendapat perhatian yang amat serius daripada rakyat. Ini bukan lagi bahan lawak jenaka atau cerita kosong di kedai kopi tetapi telah condong ke arah liabiliti berat.

Nasihatlah kaum tua UMNO yang bermulut celupar agar menjaga kata-kata. Kerana mulut parti binasa. Rakyat memerhati. Adakah kekalahan dalam PRU14 yang lalu tidak cukup lagi memberi pengajaran kepada mereka. Mungkinkah hukuman kali kedua patut diberikan? Sebaran di WhatsApp dan Telegram adalah bukti betapa penting perhatian perlu diberikan.

7. Impak media sosial
Sudah ke belakang semula. Mungkin faktor persengketaan dalam UMNO memberi kesan kerana belum ada satu saluran yang menyampaikan mesej yang seragam. Ini adalah ruang yang sangat penting dan tidak boleh diabaikan.

Di Britain, Boris Johnson, perdana menterinya yang dipilih terpaksa melepaskan jawatan kerana isu-isu yang dicetuskan dan dipaparkan di platform media sosial.

8. Pas rakan strategik atau duri dalam daging?
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan beliau menyokong Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional. Ini kenyataan yang amat memeningkan rakyat marhaen. Daripada BN bagaimanapun belum ada kenyataan balas. Adakah ini satu strategi atau langkah yang akan memakan diri BN?

9. Pengurusan isu-isu semasa amat membimbangkan
Pekerja asing untuk kategori buruh dan pembantu rumah menjadi bahan ketawa rakyat. Kenyataan bercanggah daripada menteri BN amat memalukan kerana dengan jelas negara penghantar/sumber tidak peduli langsung dengan syarat dan kedaulatan kita. Kita nampak lemah dan terdesak.

Isu kenaikan harga barang keperluan pun tidak ditangani dengan berkesan. Isu-isu semasa gagal ditangani oleh menteri-menteri dengan baik. Maklum balas yang mencabar daya intelektual rakyat masih dikeluarkan. Wahai menteri-menteri berhati-hatilah apabila mengeluarkan pandangan kerana kata-kata anda sering menggores perasaan rakyat.

Dan pihak di sana telah mengumumkan pendekatan mereka untuk menghadapi PRU yang akan datang. Mereka melantik Rafizi sebagai pengarah pilihan raya dengan pasukan yang baharu. Bagaimana pula di sebelah BN?

Kesimpulannya – menang sorak rumah tergadai…semulakah? – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN