Kita masih terjerut ‘watak tertawan’

Kita masih terjerut ‘watak tertawan’

ISLAM tidak menolak alat-alat ciptaan teknologi selagi ia tidak meruntuhkan kemuliaan manusia dan tetap berdiri di atas dasar iman. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROFESOR Syed Muhamamad Naquib al-Attas dalam karyanya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972) menyebut bahawa proses Islamisasi di alam Melayu di Nusantara telah merubah akal budi umat Melayu di rantau ini daripada pemikiran bersifat estetik kepada lebih ilmiah dan saintifik. Hasilnya, dunia Melayu telah melahirkan beberapa ulama besar yang berjaya menghasilkan karya-karya bersifat saintifik dan ilmiah berpangkalan daripada pemikiran agama.

Sekurang-kurangnya terdapat 12 sarjana agung dari alam Melayu (Malayonesia) berkarya dalam bahasa Melayu dalam pelbagai bidang keilmuan. Ada menghasilkan karya besar sains Islam Malayonesia berkaitan astrologi-astronomi, matematik dan beberapa bidang keilmuan lain.

Shahrir Mohamad Zain dalam Falsafah Ilmu Daripada Karya-Karya Besar Sains dan Mataematik Islam Malayonesia, Manograf 9, Akademi Kajian Ketamadunan (2018) menamakan karya-karya sains yang dihasilkan di alam Melayu itu sebagai ‘sains Islam-Malayonesia’ yang bermaksud sains yang ditulis oleh sesiapa jua tetapi dalam bahasa Melayu beraksara Jawi dalam tempoh pengislaman di Asia Tenggara sehingga 1900.

Malangnya setelah beberapa abad berlalu, pembangunan pemikiran ilmiah dan saintifik ini mula terbantut kesan daripada gelombang kolonialisasi dan kelemahan dalaman yang berterusan sehingga kini. Akal umat Islam mula dibelenggu taklid dan khurafat selain terjerut dengan watak tertawan, iaitu suka meniru unsur-unsur negatif dari luar. Kesannya, penggunaan akal aras tinggi menjadi lemah sedangkan pemikiran ilmiah dan saintifik amat berkait rapat dengan penggunaan akal rasio.

Hamka dalam bukunya, Falsafah Hidup menyebut bahawa Islam adalah agama ilmu dan akal. Agama Islam amat menghormati akal kerana tidak akan tercapai ilmu kalau tidak ada akal. Adanya perintah suruhan dan larangan berkait rapat dengan adanya akal pada manusia. Akal itu kurniaan Allah yang amat berharga untuk manusia. Ia menjadi alat berfikir untuk manusia mengenal Penciptanya (Al-Khalik), iaitu Allah SWT dan menjadi alat membangun kemajuan ketamadunan umat manusia.

Al-Quran memerintahkan manusia berfikir seperti maksud firman-Nya: “Maka berfikirlah, wahai orang-orang yang berakal budi.” (Al-Hasyr: 2)
Ibn Rushd, ahli falsafah Muslim dari Cordoba, Sepanyol menyatakan bahawa ayat-ayat yang menyuruh kita berfikir itu adalah satu perintah yang mesti diamalkan. Justeru, ulama dan sarjana Muslim silam menjadikan aktiviti berfikir (tafakkaru) itu sebagai jalan membangun ilmu dan menyempurnakan kekuatan zikir dan ibadah.

Ibn Sina, seorang ulama, ahli falsafah dan ahli perubatan (kedoktoran) yang hafaz al-Quran ketika mendepani masalah yang sukar untuk dirungkai akan segera berwuduk dan bersolat, berzikir serta berdoa mohon petunjuk. Selepas itu beliau meneruskan aktiviti keilmuannya (mengkaji dan menulis).

Apa yang dilakukan oleh ulama terdahulu menunjukkan bahawa akal (fikir) dan jiwa (zikir) harus berjalan secara beriringan untuk mencapai kejayaan. Umat Islam tidak akan mencapai falah hanya dengan berzikir semata-mata tetapi mestilah dikembangkan budaya tafakkaru atau budaya berfikir aras tinggi untuk mengembang ilmu.

Proses berfikir itu boleh membabitkan beberapa bentuk seperti fikr fi al-khalik (berfikir dan merenung ciptaan Allah), fikr fi al-ayat (berfikir dan merenung fenomena alam) dan fikr fi al-nafs (berfikir dan merenung diri sendiri).

EROPAH

Melalui proses berfikir inilah maka lahirlah ulul al-ilmi (orang yang berilmu), ulul al-albab (orang yang berakal), ulul al-absar (orang yang berakal tajam), ulul an-nuha (akal yang mencegah keburukan) dan zihir (akal yang mantap).

Hasilnya, ramai ulama zaman keagungan tamadun Islam adalah juga saintis dan ilmuan sosial yang hebat. Malah ketika Islam mencapai zaman keemasannya di Eropah bermula dari abad kelapan hingga 18. Bandar-bandar seperti Cordoba, Serville dan Granada menjadi ‘permata keilmuan dan ketamadunan’ yang hebat dan memberi sumbangan besar kepada perkembangan sains di Eropah setelah semangat berfikir aras tinggi secara ilmiah merosot dalam kalangan umat Islam.

Ulama-ulama yang juga saran Islam ketika itu menjadikan amalan mentadaburi ciptaan Allah sebagai kaedah dan adab ketika membaca dan merenung ayat-ayat al-Quran sehingga mendorong membangun pelbagai bidang keilmuan sama ada sains tulen atau sains sosial. Mereka berpegang kepada maksud firman Allah SWT: “Apakah mereka tidak memperhatikan segala kerajaan di langit dan bumi dan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah.” (Al-A’ra: 185)

Sejarah dan tamadun Islam membuktikan kepada dunia bahawa tidak ada dikotomi atau disintegrasi antara agama dan sains. Sains dan agama tidak boleh dipisahkan. Pokok dan sumber asalnya adalah daripada Allah. Ketika itu, tradisi keilmuan Islam tidak memisahkan antara fikir dan zikir. Dalam konteks ini, Ikhwan Al-Shafa’, sekelompok pemikir filsafat dan agama yang lahir pada abad ke-10 Masihi di kota Basrah secara prinsipnya atau usul (fundamental) menjelaskan bahawa ilmu berfikir (filsafat) dan syariah merupakan dua aspek yang harus berjalan seiringan.

Islam sentiasa merangsang kreativiti berfikir dalam membangun peradaban, tidak menolak alat-alat ciptaan teknologi selagi ia berdiri di atas kebaikan yang tidak meruntuhkan kemuliaan manusia dan tetap berdiri di atas dasar iman yang merupakan pangkal paradigma orang beriman.

Persoalannya, mengapa umat Islam hari ini lemah dalam meneruskan budaya tafakkaru aras tinggi terutama dalam proses mencari, membangun dan mengembangkan ilmu bagi membangun kehidupan manusia sesuai dengan zamannya? Mengapa perubahan yang merugikan ini boleh terjadi?

Dalam konteks ini, para ilmuan Islam menyebut bahawa tradisi keilmuan ilmiah dan saintifik boleh dirosakkan oleh tiga kumpulan utama, iaitu golongan pentakwil yang jahil (ta’wil al-jahilin), golongan yang suka memalsukan (intihal al-mubtilin) dan penyimpangan golongan pelampau (tahrif al-ghalin). Kesan daripada berleluasanya aktiviti golongan terbabit menyebabkan terbantutnya kemajuan ilmu dalam dunia Islam termasuk dunia Melayu sendiri.

Justeru, orang Islam mesti kembali menjadi umat yang bebas daripada budaya taklid, khurafat dan watak tertawan yang merugikan bangsa dan negara. Kita mesti kembali kepada aktiviti tafakkaru kerana ia bukan sahaja dapat meneguhkan keimanan dan ketakwaan, malah membangun keilmuan dalam semua cabang kehidupan. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×