Kelulusan RUU Anti Lompat Parti lonjakan besar politik negara

Kelulusan RUU Anti Lompat Parti lonjakan besar politik negara

SELEPAS diluluskan RUU Anti Lompat Parti, pengundi akan menjadi lebih yakin dengan pilihan yang dibuat kerana mereka tahu wakil rakyat dipilih tidak akan melompat parti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA untuk mewujudkan dan seterusnya membentangkan pindaan Perlembagaan mengenai undang-undang lompat parti atau lebih dikenali sebagai RUU Anti Lompat Parti adalah merupakan satu catatan penting dalam sejarah negara kita.

Cadangan sebuah undang-undang khusus mengharamkan ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri berpindah parti telah lama dikemukakan. Cuma tiada ‘political will’ untuk meneruskan usaha ini sehinggalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih teraju negara.

Walaupun perjanjian persefahaman (MOU) antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan blok pembangkang pada awal pembentukan kerajaan meletakkan salah satu syarat MOU itu iaitu membentang RUU Anti Lompat Parti, ia hanyalah salah satu pemangkin kepada kerajaan semasa untuk mengambil inisiatif ke arah itu.

Merujuk kepada ucapan Perdana Menteri ketika membentangkan RUU tersebut, beliau menekankan pentingnya undang-undang ini untuk memastikan kestabilan politik berpanjangan dalam sesebuah kerajaan. Pengalaman pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menunjukkan betapa serius isu lompat parti ini.

Jika tidak ditangani segera, kemungkinan kestabilan kerajaan juga akan tergugat selepas PRU15 nanti jika kerajaan yang dipilih tidak mempunyai jumlah majoriti yang kukuh. Mungkin akan berlaku tawar menawar yang menyebabkan berlaku ahli Parlimen keluar parti dan masuk parti yang lain. Jika ia membawa kepada robohnya sebuah kerajaan yang baru dipilih maka episod sebegitu sudah pasti akan berulang dan hasilnya negara kita akan terus berada dalam suasana tidak stabil.

Undang-undang Anti Lompat Parti akan memberi keyakinan kepada khususnya kepada pengundi. Mereka bertambah yakin dengan kewujudan sesebuah kerajaan yang akan dilindungi dari bencana ahli Parlimen bertukar parti. Pengundi akan menjadi lebih yakin dengan pilihan yang mereka buat kerana mereka tahu ahli Parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka pilih dan seterusnya memenangi kerusi yang ditandingi tidak akan melompat parti.

Perkara ini amat penting kerana tanpa keyakinan ini, mungkin ramai yang tidak mahu turun mengundi kerana tidak yakin seorang ahli perundangan yang dipilih akan kekal dengan sesebuah parti politik. Natijahnya rakyat akan merasa lebih selamat dalam suasana politik demokrasi yang lebih stabil dan berintegriti.

Dalam menjayakan rancangan pembentangan RUU ini, kerajaan telah mengerah keringat sejak lebih setahun yang lalu dengan pelbagai program khususnya program libat urus untuk memastikan RUU yang dibentangkan diterima oleh semua pihak berkepentingan.

Merujuk kepada ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafarketika bacaan kali kedua RUU tersebut, jelas sekali semua pihak telah dirujuk termasuklah ahli-ahli Parlimen sendiri dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini berusaha keras supaya kerajaan membentangkan RUU Anti Lompat Parti.

Menurut beliau sebanyak 12 sesi libat urus yang komprehensif dengan pihak-pihak berkepentingan telah diadakan seawal 23 November 2021 hingga 10 April 2022, melibatkan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

Konsensus tentulah pilihan yang terbaik. Namun dalam konteks suasana semasa perlu difahami bahawa tidak semua kehendak dan saranan dari pihak-pihak berkepentingan dapat dituruti. Sudah tentu pelbagai saranan telah dipertimbangkan oleh jawatankuasa ini. Pelbagai pihak mempunyai pilihan mereka sendiri. Jawatankuasa tentu telah mengambil kira bentuk undang-undang yang sesuai.

Ada undang-undang yang tegas yang menghukum ahli Parlimen yang keluar parti mereka dan menganggotai parti lain tanpa mengambil kira sebab mereka keluar parti. Ada undang-undang yang fleksibel di mana terdapat pelbagai kecualian dalam sesuatu insiden lompat parti. Yang terbaik ialah undang-undang yang tidak terlalu tegas dan juga tidak terlalu longgar.

Dalam konteks negara kita, yang penting ialah langkah pertama iaitu pindaan kepada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (PP) dapat dibentangkan dan diharapkan dapat mendapat sokongan dua per tiga ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pindaan kepada Perkara 10 dan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan amat penting

Pindaan kepada Perkara 10 misalnya merupakan titik tolak untuk menghadkan kebebasan berparti politik seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Nordin bin Salleh bahawa hak untuk memilih dan menganggotai parti politik adalah sebahagian dari kebebasan berpersatuan. Lantas pindaan yang dicadangkan ialah memasukkan Fasal (3A) iaitu kebebasan berpersatuan “hendaklah tertakluk kepada sekatan yang dikenakan masing-masing oleh Perkara 49A dan Seksyen 7A Jadual Kelapan.”

Perkara 49A adalah peruntukan baru memperincikan keadaan kerusi ahli Dewan Rakyat yang akan dikosongkan iaitu: “ setelah dipilih ke Dewan Rakyat mewakili sebuah parti politik, beliau telah melepaskan keanggotan parti politik itu atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; jika beliau dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat tanpa mewakili sebuah parti politik, beliau telah menyertai sebuah parti politik sebagai anggota”.

Kecualian-kecualian yang dinyatakan dalam RUU pindaan Perlembagaan tersebut termasuk pembubaran atau pembatalan pendaftaran sebuah parti politik; perlepasan keanggotaan Dewan Rakyat kerana dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan atau pemecatan dari keanggotaan parti politik.

Pindaan-pindaan lain termasuk memberi tafsiran mengenai ‘parti politik’ di dalam perkara 160 dan juga pindaan kepada Jadual Kelapan dengan memasukkan peruntukan-peruntukan yang sama dengan perkara 49A untuk memastikan negeri-negeri meminda Undang-undang Tubuh Negeri mereka selaras dengan pindaan-pindaan yang dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Hampir mustahil untuk sesebuah RUU dapat memuaskan hati kesemua pihak tetapi RUU ini sepatutnya sudah tidak boleh dipersoalkan kerana ia sudah mengambil kira semua pandangan berbeza. Soal-soal seperti mengapa ia tidak melibatkan ahli Dewan Negara yang melompat parti sama boleh dibuat kemudian kerana ia tidaklah sekritikal ahli Dewan Rakyat/DUN.

Sebagai langkah pertama dan amat penting untuk menangani isu ahli Dewan Rakyat/DUN melompat parti, RUU ini adalah asas kepada undang-undang yang lebih komprehensif dan juga adil di samping melihat dengan lebih konstruktif dalam mengawalselia kebebasan berparti politik di negara kita. Sudah sewajarnyalah semua pihak bersatu hati meluluskan RUU ini. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood adalah Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN