TANJUNG MALIM: Musim panas berpanjangan ketika ini menyebabkan kubang kerbau di sekitar Kampung Kenangan Jeram Mengkuang di sini kering kontang lalu memaksa penternak menyiram haiwan ternakan mereka setiap hari bagi mengelakkan kekeringan dan tekanan haba.
Penternak, Mohamad Noor Ismail, 38, berkata, cuaca panas sejak lebih dua bulan lalu memaksanya mandikan 30 ekor kerbaunya setiap hari menggunakan air paip yang diangkut dari rumah ke kandang.
Katanya, biasanya kerbau akan berkubang dalam lumpur sehari dua kali, tapi sejak kemarau lebih dua bulan lalu, dia terpaksa memandikan kerbaunya sehari sekali dengan mengangkut air paip dari rumah ke kandang.
“Sebelum ini, saya cuma lepaskan kerbau ke kubang yang ada di sekitar kampung. Tapi sejak semua tempat berkubang kering, saya terpaksa angkut air sendiri dan siram seekor demi seekor.
“Kalau tak disiram, kerbau jadi stres, mengamuk dan bergaduh sesama sendiri sebab panas sangat. Tapi bila dapat air, ia jadi tenang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Kelmarin akhbar ini melaporkan negara mencatatkan suhu ekstrem mencecah 40 hingga 45 darjah Celsius, selari dengan aliran peningkatan suhu purata tahunan sebanyak +0.17 darjah Celsius setiap dekad sejak 1969, sekali gus menjadikan tahun 2025 sebagai tahun paling panas dalam sejarah moden negara.
Mohamad Noor, berkata, beberapa kawasan bekas sawah yang sebelum ini menjadi lokasi popular kerbau berendam juga kini kering sepenuhnya akibat cuaca panas melampau.
Katanya, penyiraman harian akan diteruskan selagi musim panas belum berakhir dan kemarau berpanjangan dengan tiada tanda-tanda hujan.
“Ini sahaja ikhtiar yang dapat saya lakukan untuk memastikan ternakannya mendapat air yang cukup disebabkan semua kubang dan parit yang menjadi tempat haiwan tersebut berendam, kini sudah kering kontang,” katanya. – UTUSAN










