RMK13 buka ruang daya siang PMKS untuk jangka panjang

RMK13 buka ruang daya siang PMKS untuk jangka panjang

WILLIAM NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membuka ruang baharu kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutamanya dalam memperkukuh keupayaan penskalaan dan daya saing jangka panjang. 

Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, perancangan strategik dalam RMK13 seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), pembangunan infrastruktur digital dan akses pembiayaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berpotensi memberi lonjakan kepada pertumbuhan PMKS tempatan.

“Kami bersyukur kebanyakan cadangan dari Samenta untuk RMK13 telah diterima dan dimuktamadkan dalam RMK13 ini, termasuk pemerkasaan industri kreatif dan bantuan untuk sektor perkhidmatan. 

“Namun, beberapa perkara masih boleh diperhalusi. RMK13 kurang memperincikan inisiatif pengurangan birokrasi dan penyederhanaan lesen perniagaan, terutamanya untuk usahawan mikro dan luar bandar, selain pelaksanaan Akta Iltizam. 

“Walaupun penstrukturan subsidi disasar kepada golongan layak, kejelasan pelaksanaan perlu ditingkatkan agar PMKS boleh merancang kos operasi dengan lebih baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Menurut William, fokus terhadap kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, sektor semikonduktor dan ekonomi digital bukan sahaja selari dengan trend global, malah memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk terlibat secara langsung dalam agenda pertumbuhan negara. 

Katanya, penekanan kepada produk ‘Made by Malaysia’ wajar dipuji kerana ia mengangkat kemampuan anak tempatan dalam inovasi dan penciptaan.

“Rangka tindakan AI Kebangsaan dan reformasi pendidikan Latihan Kemahiran dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga mampu membina asas daya saing baharu buat PMKS,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM),  Norsyahrin Hamidon berkata, pengiktirafan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi pemacu utama keyakinan sasaran RMK13 untuk melonjakkan nilai eksport halal negara kepada RM80 bilion.

Katanya, peranan Jakim dalam menetapkan standard halal yang diyakini seluruh dunia telah meletakkan Malaysia sebagai peneraju industri halal global.

“Pensijilan halal bukan sahaja menjamin pematuhan syariah, malah turut merangkumi aspek kebersihan dan kualiti yang menepati keperluan sejagat.

“Industri halal bukan hanya untuk umat Islam, tetapi telah diterima secara meluas kepada masyarakat antarabangsa kerana meliputi aspek kebersihan dan standard tinggi yang diiktiraf oleh semua masyarakat berbilang bangsa dan agama. 

“Oleh itu, kami yakin sasaran eksport halal RM80 bilion dan peningkatan sumbangan kepada KDNK itu adalah realistik dan boleh dicapai,” katanya. 

Mengulas lanjut, Norsyahrin berkata, bagi memastikan sasaran 50 peratus sumbangan PMKS kepada KDNK negara dapat direalisasikan, penyediaan akses pembiayaan yang lebih mudah dan fleksibel perlu dijadikan keutamaan dalam perancangan dasar.

Menurutnya, dana pembangunan wajar disalurkan menerusi agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) berbanding institusi kewangan konvensional yang mengenakan syarat ketat, sekali gus menyukarkan usahawan kecil mendapatkan modal.

“Kita faham bank mempunyai prosedur dan mahu mengelakkan pinjaman tidak berbayar, tetapi banyak usahawan PMKS yang sebenarnya berpotensi, cuma tidak lengkap dari segi dokumentasi atau pernah berdepan masalah rekod kewangan.

“Jika salur melalui Mara, mereka lebih memahami realiti di bawah dan boleh menilai berdasarkan potensi sebenar perniagaan, bukan semata-mata pada kertas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×