Ketepikan sentimen politik jika mahu rakyat Malaysia bersatu padu

Ketepikan sentimen politik jika mahu rakyat Malaysia bersatu padu

SENTIMEN politik yang tidak sihat sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sentimen rakyat dalam meraikan bulan kebangsaan dengan penuh kemeriahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA akan memasuki bulan Ogos sebagai bulan kebangsaan dengan kemuncak sambutannya Hari Kebangsaan iaitu hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Kedua-dua tarikh tersebut mengingatkan kita detik-detik bersejarah yang dilalui negara. Tanggal 31 Ogos adalah tarikh kemerdekaan negara dari penjajahan British, manakala tanggal 16 September pula adalah hari pembentukan Malaysia. Kedua-dua tarikh bersejarah itu juga menzahirkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara merdeka dan berdaulat berasaskan kesepaduan dan keterangkuman wilayah-wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia dalam satu semangat kenegaraan dengan rasa ‘kesepunyaan’ dan kebersamaan yang tinggi. Kita bertaut erat di bawah semangat nasionalisme dan patriotisme yang kukuh dan padu.

Sepanjang bulan kebangsaan ini, pelbagai acara diatur oleh kerajaan yang biasanya diterajui oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Kementerian Komunikasi. Sepatutnya bulan kebangsaan ini disambut dengan penuh meriah dan warna warni. Namun, sambutan, keghairahan serta kemeriahan rakyat meraikan bulan kebangsaan ini banyak bergantung kepada kesedaran dan ketinggian semangat patriotisme dan nasionalisme rakyat.

Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh iklim dan sentimen politik serta keadaan ekonomi rakyat kerana kedua-duanya boleh mempengaruhi mood rakyat dalam menyambut bulan kebangsaan. Walaupun bangsa Malaysia merupakan satu ‘keluarga besar’, namun jika berlaku pergolakan politik maka ia dapat mempengaruhi semangat dan keghairahan rakyat untuk menyahut kempen-kempen dan aktiviti-aktiviti berkaitan sambutan bulan kebangsaan yang dianjurkan kerajaan.

Hakikatnya, sentimen politik yang tidak sihat seperti ini sedikit sebanyak mempengaruhi sentimen rakyat dalam menyahut seruan kerajaan agar rakyat meraikan bulan kebangsaan dengan penuh kemeriahan. Satu petanda yang dapat menunjukkan hambar atau tidaknya sambutan bulan kebangsaan ini ialah kesediaan rakyat untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang di premis-premis kediaman atau di kawasan-kawasan kediaman dan perumahan mereka.

Seharusnya rakyat matang dalam hal ini dengan mengetepikan sentimen politik, sebaliknya mengutamakan semangat patriotisme atau kecintaan kepada negara.

Apa pun ia menjadi cabaran kepada kerajaan untuk menarik dan merangsang rakyat mengibarkan Jalur Gemilang dan turut serta dalam acara-acara sambutan bulan kebangsaan yang benar-benar dapat melambangkan rasa kesepunyaan, kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran.

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana penglibatan rakyat yang meluas dalam aktiviti-aktiviti sambutan bulan kebangsaan dapat memberi pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia memiliki nilai patriotisme yang tinggi dan hidup bersatu padu di bawah konsep keluarga

Malaysia yang ditunjangi Perlembagaan Negara dan Rukun Negara sebagai ideologi negara. Kita mahukan penghayatan terhadap sambutan bulan kebangsaan ini difahami dengan betul dan penuh sedar oleh rakyat kita dari Perlis sehingga ke Sabah.

Anak-anak bangsa Malaysia mesti terus diajar dan dididik perkara berkaitan nilai-nilai kenegaraan ini. Seluruh rakyat sewajarnya memahami bahawa sambutan bulan kebangsaan turut melambangkan keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional dan ketiga-tiga elemen tersebut merupakan perkara penting dalam usaha membina Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang kuat, berdaya tahan, maju, dinamik dan progresif.

Saya cukup yakin bahawa dengan kefahaman yang mendalam tentang sambutan bulan kebangsaan maka ia akan dapat memberi kesan positif bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan anak bangsa Malaysia pelbagai kaum, sekali gus dapat disandarkan harapan yang tinggi agar mereka menjadi pewaris masa depan negara yang tinggi semangat kenegaraannya dan boleh hidup bersatu padu dan harmoni tanpa sifat perkauman yang tebal.

Kita tidak mahu kehidupan keluarga Malaysia dihantui dengan konflik perkauman yang menunjukkan bahawa wujud tahap kesedaran dan penghayatan yang tidak memuaskan dalam hubungan etnik di negara kita. Kita mesti yakin bahawa dari sudut kenegaraan, sambutan bulan kebangsaan yang disambut dengan penuh kesedaran dapat menyemai jiwa dan pemikiran nasional yang sihat terhadap tanah air.

Negara-negara jiran serantau kita seperti Indonesia dan Thailand berjaya membentuk sikap yang positif rakyat mereka terhadap kesatuan negara mereka melalui sambutan hari kebangsaan masing-masing. Justeru, kita mahu keluarga Malaysia bersikap positif dalam menyambut bulan perayaan kenegaraan ini dengan penuh semangat patriotisme yang tulen.

Untuk jangka masa panjang, usaha memperkukuh penghayatan, kefahaman dan kesedaran terhadap nilai-nilai kenegaraan seperti patriotisme, integrasi dan perpaduan nasional wajar ditekankan melalui sistem pendidikan satu aliran, iaitu sistem pendidikan kebangsaan.

Seyogia diingat bahawa pendidikan menjadi satu proses berterusan dalam membentuk dan membina jati diri generasi Malaysia akan datang seperti yang diakui oleh ramai ahli sosiologi pendidikan bahawa wadah atau saluran pendidikan merupakan alat terpenting untuk generasi muda mendapatkan kesedaran dan mempraktikkan jati diri kebangsaan. Lagipun, tujuan dasar pendidikan kita hendak menyatukan kanak-kanak dari semua bangsa di dalam negara ini dengan menggunakan satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Sambutan bulan kebangsaan harus dibuat dengan penuh kesedaran yang tinggi sama ada di pihak kerajaan sebagai pendorong dan pelaksana sambutan dan di pihak rakyat yang merupakan elemen penting dalam menjayakan segala agenda negara serta mempertahan negara dengan penuh semanagat kecintaan dan kesetiaan.

Unsur-unsur rasa ‘kesepunyaan’, ‘kebersamaan’ dan ‘kekitaan’ terhadap bangsa dan negara dapat diterapkan dan diperkukuhkan pada setiap tahun melalui sambutan bulan kebangsaan yang mengandungi dua puncak sambutan, iaitu Hari Kebangsaan iaitu hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN