MUKADIMAH
KONGRES PKR yang berakhir hari ini dijangka menjadi kongres terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15).
Banyak ‘mata’ khususnya pemerhati politik dan parti lawan kini tertumpu kepada parti berbilang kaum terbesar dalam menyelesaikan kemelut terutama selepas pemilihan parti dan persediaan memasuki gelanggang nanti.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Naib Presiden PKR, NIK NAZMI NIK AHMAD berkenaan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN.
MINGGUAN MALAYSIA: Berikutan suara sumbang yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan baru-baru ini. Adakah sebenarnya wujud masalah dalaman parti?
NIK NAZMI: Bagi saya sistem yang kita pakai iaitu aplikasi ADIL ini sebenarnya satu perkara positif. Pada 2018 kita pakai e-voting elektronik dan berpusat, bermakna undi fizikal .
Kali ini kita ada fizikal dan dilaksanakan menerusi atas talian telefon. Jadi ia merupakan langkah ke depan. Cuma mungkin ada beberapa perkara yang harus dijawab oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP). Saya fikir kita ada saluran serta proses untuk membuat aduan. Sekiranya tidak puas hati, mereka boleh menggunakan saluran terbabit.
Saya tidak nafikan ada yang tidak berpuas hati. Namun, sebenarnya rakyat bukannya hirau pasal hal ini. Kita mahu fokus kepada isu-isu berkaitan mereka. Soal harga barang dan kos sara hidup yang naik.
Justeru tiada masalah untuk parti melihat semula sebarang rungutan. Saya sendiri pernah menganggotai Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pemilihan. Antara perkara kita laksanakan kali ini syor daripada jawatankuasa ini. Jadi MPP yang baru nanti perlu lihat semula cara atau kelemahan yang boleh diperbaiki. Adakah undi ragu perlu dikira atau sebaliknya, bagaimana proses undi yang diambil kira JPP serta perkara-perkara teknikal.
TOLAK KHEMAH BESAR
Sebelum ini Timbalan Presiden PKR Mohd. Rafizi Ramli ada membuat kenyataan mahu melantik 20 Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam kalangan mereka yang menolak khemah besar. Adakah penolakan itu melibatkan parti pembangkang atau termasuk parti yang memerintah kerajaan?
Bagi saya kalau kita lihat balik kenyataan Rafizi selama ini, apa yang dimaksudkan ‘khemah besar’ adalah Pakatan Harapan (PH) plus.
Sebelum ini ada yang memberi pandangan berdasarkan keputusan kita dalam beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) kerana tidak mendapat keputusan baik.
Jadi penyelesaiannya kata mereka, PKR perlu bekerjasama dengan semua parti pembangkang. Tapi ada juga yang kata kita boleh bincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Walau apa pun pada saya, apa yang Rafizi maksudkan adalah kita fokus kukuhkan PKR dan tumpu juga kepada PH yang terbina sejak 1998.
Walaupun Parti Amanah Negara (Amanah) pada masa itu tiada lagi, banyak pemimpin mereka yang mesra dengan PKR. Begitu juga dengan DAP yang ada sejak zaman reformasi.
Sekiranya kita melihat kepada Bersatu dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pun, mereka lebih dekat dengan UMNO. DNA lebih kurang sama. Bersatu tolak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Pejuang tolak Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Begitu juga Pas yang ada pendirian sendiri. Persoalannya, adakah Pas boleh terima Amanah?
Jadi itu perkara yang tidak terjawab dan pokoknya bagi saya kita perlu tetapkan satu hala tuju yang jelas untuk pengundi. Kalau tidak nampak sangat kita terdesak dengan kuasa walaupun identiti dan perjuangan terpaksa dikorbankan.
Kita bukannya tidak pernah memberi peluang kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun itu satu langkah kontroversi.Tapi lihatlah apa berlaku apabila kita menang?
Macam-macam yang Dr. Mahathir buat. Hadir Kongres Maruah Melayulah, kata manifesto bukan kitab sucilah, sedangkan dalam PH tindakan tersebut bertentangan. Jadi berlaku sesuatu yang tidak stabil dan akhirnya penyokong kita pun marah. Selain itu Dr. Mahathir juga galakkan amalan melompat sewaktu beliau dalam PH.
Jadi saya fikir itu sesuatu perkara yang patut kita belajar. PRU-15 kali ini nampak mencabar dan sukar untuk menang. Pengundi akan hargai kita sekiranya kita bekerjasama dengan parti yang dekat dengan perjuangan kita. Kalau ada pun mungkin parti lain seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Saya fikir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun ada cakap walaupun terbuka dengan khemah besar, soalnya apa? Soalnya perlu tolak parti yang rasuah dan khianat. Bagi saya lebih mudah kita fokus pada PKR yang kini memerlukan nafas baharu.
TAKRIFAN MAKIN TAK JELAS
Tidakkah seperti ada percanggahan dengan kenyataan presiden yang sebelum ini dilihat lebih terarah kepada konsep khemah besar?
Pertama perlu dilihat apa takrifan khemah besar? PH pun khemah besar. Tapi bagi saya kalau lihat balik kenyataan Rafizi, beliau ada nyatakan bahawa kita akan fokus pada PKR dan PH.
Ada orang cakap khemah besar ini termasuk Pejuang, Warisan atau mungkin juga Muda serta Bersatu.
Bagi saya takrifan khemah besar semakin tidak jelas. Ada pula mahu khemah besar tanpa Anwar. Dalam keadaan celaru ini, pada saya adalah lebih baik cenderung untuk memberi fokus memantapkan PKR dan kerjasama PH.
Ada kemungkinan boleh berlaku perpecahan berdasarkan kenyataan Rafizi menjelang kongres?
Saya tidak risau sangat. Satu sebab kerana saya antara orang dalam jawatankuasa sistem pemilihan. Saya yang cadangkan pemilihan. Saya lihat banyak parti di dunia, satu anggota satu undi. Kalau di Malaysia hanya PKR yang buat.
Untuk pengundian MPP, kita pilih melalui perwakilan kerana mereka lebih matang dan berpengalaman. Saya yakin orang akan tengok dan pilih bagi mereka yang betul-betul bekerja.
PARTI PEJUANG TAK PENTING
Berhubung kenyataan Pejuang yang mahu khemah besar tanpa Anwar. Adakah penting sokongan Pejuang kepada PKR dalam menghadapi PRU-15?
Sokongan Pejuang mahupun Bersatu tak penting langsung. Kalau dirungkai semula, UMNO ada sejarah lama. Namun disebabkan bermasalah mereka ditolak pengundi pada 2018.
Timbul pula Bersatu hasil gandingan Muhyiddin dan Dr. Mahathir yang mahu lawan Najib. Tapi apabila berkuasa jadi pula masalah lain. Tarik orang lompat sehingga kita pun rasa kekok duduk dengan orang yang baru lompat ini.
Tiba-tiba selepas itu ada pula Langkah Sheraton, mereka ambil geng kartel pula antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Kemudian berpecah lagi. Dr. Mahathir tubuhkan pula Pejuang dan tolak Muhyiddin. Jadi apa yang hendak saya cerita di sini DNA mereka semua ini adalah sama sahaja. Jadi kita sebenarnya tidak perlukan sokongan Pejuang mahupun Bersatu.
Apakah naratif baharu PKR yang mahu ditonjolkan kepada rakyat bagi menghadapi PRU-15?
Kita telah lalui proses pembaharuan. Kita ada pemimpin berpengalaman dengan Anwar sebagai Presiden PKR. Banyak muka baharu di bawah beliau. Saya fikir ini perkara positif dan kita perlu berbalik kepada isu periuk nasi dan ekonomi rakyat kerana mereka sesungguhnya terkesan pada hari ini.
RELEVANKAH LAGI ANWAR
Relevan lagikah Anwar sebagai Presiden PKR dan Pengerusi PH bagi menghadapi PRU-15?
Masih relevan. Beliau tokoh terbaik walaupun lama. Kita tiada tokoh lain yang boleh digarap untuk mendapatkan sokongan luas.
Kita ada kumpulan dalam kalangan pemimpin muda dengan dasar radikal untuk selesaikan kehidupan rakyat. Itu yang menjadi selling point dalam PRU-15 . Jadi perlu tunggu dan lihat. Tambahan pula UMNO sekarang bukannya tengah stabil.
Maknanya PH berpotensi untuk memerintah semula dalam PRU-15?
Sebab itu, Rafizi ada tegaskan bahawa kita perlu jadi PH dengan blok terbesar dan peluang itu akan menjadi lebih cerah. Ia tidak mustahil.
Adakah PKR masih mahu bertanding di bawah logo sendiri sebagaimana dalam PRN Johor?
Itu belum dibincangkan lagi. Cuma saya ingat kecenderungan adalah menggunakan logo kita walaupun sebelum ini tidak mencatatkan keputusan cemerlang. Logo bukan punca menang atau kalah.
Logo kita ada kekuatan. Cuma Majlis Presiden PH masih belum bincang panjang walaupun ada dibangkitkan beberapa kali.
Bagaimana pula dengan kerusi-kerusi yang menjadi tumpuan PKR ?
Untuk PRU-15, kita akan beri tumpuan pada kerusi marginal, kerusi yang sebelum ini mencatatkan kemenangan atau kekalahan dalam jumlah sedikit. Dengan sumber terhad kita perlu tumpu pada kerusi tersebut walaupun ada cabaran untuk menang. – Mingguan Malaysia










