AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah dikuatkuasakan pada 2012. Akta ini digubal untuk mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah khas yang berkaitan dengan kesalahan keselamatan dan bertujuan untuk mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan serta bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Disebabkan kerumitan untuk menyiasat kes-kes kesalahan keselamatan seperti keganasan yang bersifat rentas sempadan, sindiket penyeludupan migran, jenayah terancang dan sebagainya maka subseksyen 4(5) SOSMA memperuntukkan bahawa seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.
Subseksyen ini akan membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan dengan terperinci ke atas kesalahan-kesalahan keselamatan demi memastikan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman keselamatan semasa.
Ia amat penting kerana jika tempoh tahanan 28 hari diserahkan kepada bidang kuasa mahkamah, ia akan mendedahkan identiti suspek yang telah ditangkap. Ini mengakibatkan rakan-rakan sejenayah suspek akan melarikan diri dan memusnahkan segala bukti yang diperlukan oleh pihak polis.
Bagaimanapun, untuk tujuan semak dan imbang maka subseksyen 4(11) SOSMA menyebut subseksyen 4(5) hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan jika suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.
Sebab itulah setiap lima tahun sekali usul perlanjutan subseksyen 4(5) SOSMA ini terpaksa dibentangkan dalam Parlimen. Terbaru ialah pada 23 Mac lalu untuk melanjutkannya bagi tempoh lima tahun akan datang.
Tetapi disebabkan ketidakpekaan sesetengah ahli Parlimen penyokong kerajaan maka usul ini ditolak setelah ia hanya memperoleh 85 undi menyokong berbanding 86 undi menolak manakala 50 ahli Parlimen lagi tidak hadir.
Walaupun penolakan usul ini tidak menjejaskan keutuhan kerajaan tetapi ia merupakan satu perkara yang memalukan pihak pemerintah kerana ia mencerminkan ketiadaan komitmen untuk memelihara keselamatan negara disebabkan perlanjutan subseksyen 4(5) SOSMA ini adalah sesuatu yang kritikal di dalam penyiasatan dan pendakwaan kesalahan keselamatan.
Sehingga kini sejak 2016, seramai 3,717 individu ditahan mengikut SOSMA, dengan 400 daripadanya ditahan kerana terbabit elemen kumpulan pengganas, 321 terbabit aktiviti sindiket penyeludupan manusia, 1,838 kerana kesalahan pemerdagangan manusia dan 1,030 di bawah kesalahan jenayah terancang.
Sebelum ini, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah digunakan untuk menahan mereka yang terbabit dalam elemen-elemen subversif dan jenayah terancang sebelum ia dimansuhkan pada 2012 selari dengan pendemokrasian negara.
Pemansuhan ISA ternyata telah memberikan satu ruang bagi pihak-pihak tertentu untuk menjalankan elemen-elemen jenayah sehingga berlakunya ketidakmampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melindungi rakyat daripada ancaman keselamatan jenayah terancang sehingga wujud pelbagai gesaan untuk ia dihidupkan kembali seperti di negara maju lain. Tambahan pula, sokongan kepada kerajaan tidak bertambah pun selepas pemansuhan ISA.
BUKTI
Walaupun begitu, bila ISA tiada, SOSMA dikira masih memadai untuk menghalang keganasan yang menimbulkan ketidakharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.
Apabila timbulnya tindakan tersebut, maka pihak PDRM memerlukan masa yang mencukupi dalam mengumpulkan bukti bagi membawa pesalah jenayah tersebut ke mahkamah.
Jenayah terancang kini turut melibatkan elemen scammers dan hackers serta kes penculikan kanak-kanak sehingga kini melibatkan ratusan kanak-kanak hilang tidak dapat diselesaikan. Tetapi kerana kekurangan bukti yang disebabkan terhadnya masa dalam mengumpulkan bukti yang kukuh menyebabkan ramai penjenayah terancang dapat melepaskan diri daripada sebarang hukuman.
Akhirnya, rakyat akan menerima kesan jika para penjenayah terancang ini yang dapat membebaskan diri akan berkemungkinan melakukan semula jenayah mereka. Bukan mudah untuk menahan seseorang untuk penjenayah yang telah melarikan diri dengan segala komplikasi yang ada.
SOSMA amat penting kerana meletakkan semua kesalahan keselamatan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Tambahan pula semasa perbicaraan, mahkamah tidak boleh memerintahkan pendakwa raya mengemukakan apa-apa maklumat yang dianggap sensitif dan memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara. Ini bertujuan melindungi hak privasi sesuatu isu maklumat sensitif kedaulatan negara dan rakyat.
Adalah tidak benar mengatakan SOSMA ini digunakan sebagai alat politik. Dalam perihal SOSMA menyatakan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya.
Disebabkan kepentingan usul ini, maka sepatutnya ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan, khususnya mereka yang berjawatan menteri dan timbalan menteri, yang tidak menyokongnya dengan tidak hadir tanpa sebab munasabah dalam sesi pengundian semula perlu dikenakan tindakan kerana mengingkari keputusan yang telah dipersetujui oleh Kabinet. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.








