SEJAK lebih 500 tahun lalu, wilayah yang disebut serta digelar sebagai Semenanjung Emas ini memang tidak pernah sunyi daripada pelbagai catatan serta rekod bagi membuktikan bagaimana masyarakat di sini suatu masa dahulu mempunyai hikmah yang cukup luar biasa. Pelbagai pengaruh kepercayaan mewarnai tekad serta iltizam manusia yang wujud di sepanjang liku-liku sejarah sehingga munculnya Candi Lembah Bujang. Berdasarkan rekod hasil projek ekskavasi bidang pemuziuman dan sejarah negara menunjukkan candi ini adalah binaan tertua manusia Asia Tenggara kira-kira pada tahun 110M.
Kajian serta eksplorasi Candi Lembah Bujang adalah satu daripada bukti sejarah yang cukup menarik untuk menghubungkan bagaimana institusi yang dibina atas nama kerohanian menjadi titik mula pengembaraan manusia wilayah ini belajar atau meraih pengetahuan tentang wujudnya satu kuasa yang berperanan dalam kehidupan manusia. Pengaruh Hindu dan Hindu-Buddha yang ada dicatatkan mengalir dalam sejarah manusia wilayah ini khususnya Semenanjung Emas, sehinggalah akhirnya ditembusi dengan ajaran wahyu, kegemilangan budaya menuntut ilmu menjadi garapan penting pembudayaan serta peradaban yang makmur akhirnya berdiri sehingga ke saat ini.
Bagaimana generasi hari ini serta dunia pendidikan yang telah terdedah dengan lonjakan digital hendak menghubungkan sejarah peradaban terbilang ini? Citra kehidupan generasi Keluarga Malaysia yang serba energetik dan berwawasan perlu juga memahami di mana sebenarnya kekuatan dan bagaimana melentur kelemahan yang kelak menjadi perisai membina benteng diri untuk sentiasa bersedia memacu kejayaan di masa hadapan.
Tidak lain tidak bukan sudah tentu sinergi daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu diperhebatkan lagi. Usah selama-lamanya menghidangkan pengetahuan bahawa diaspora kuasa asing datang itu semata-mata kerana rempah ratus dan sumber hasil yang datangnya dari Semenanjung Emas ini dan kita mengabaikan bahawa suatu masa dahulu bahawa Semenanjung Emas ini juga sebagai destinasi pengetahuan serta wilayah-wilayah yang lainnya.
Konteks inilah yang menjadi satu titik eksplorasi sejarah pendidikan negara sejak zaman lampau, era sebelum merdeka apatah lagi selepas negara mencapai kemerdekaan. Pendidikan menjadi asas penting juga kepada penjelajahan manusia atau faktor penarik dan faktor keluar sesebuah masyarakat manusia dengan tujuan memajukan diri serta keluarga, komuniti dan negara tidak kira apa bangsa sekalipun.
Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa ini tetap berdepan dengan beberapa tujahan konflik untuk menunjangkan pendidikan yang akan melahirkan bangsanya yang berwibawa. Namun, demi kesepaduan melahirkan anak-anak yang berpelajaran dan cemerlang dalam kehidupannya, konflik-konflik yang timbul dapat dileraikan dan kekusutan dan diluruskan, dan anak-anak menikmati masa kanak-kanak mereka dengan begitu indah sekali kerana aksara dan nombor-nombor itu memaknakan dimensi yang tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata, tetapi bagaimana mereka akhirnya kelak menjadi insan yang berguna atau sebaliknya.
Pelbagai penyelidikan dan pembangunan serta dasar dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan agar dapat melahirkan warganegara yang holistik sifatnya dan kemenjadian murid yang utuh. Maka tidak hairanlah sekiranya cetusan ini menjadi pemangkin kepada Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan yang berjaya melancarkan konsep Sekolahku Sejahtera pada 21 Februari lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
SEJAHTERA
Kejayaan menterjemahkan konsep ini adalah berdasarkan pelibatan beliau dalam libat urus pendidikan di seluruh negara. Paling menarik melalui perkongsian beliau ialah bagaimana orientasi kepintaran kanak-kanak hari ini telah memberikan beliau pendedahan nyata, bagaimanakah anak-anak ini harus dibimbing, dipimpin serta diwasilahkan sebagai pewaris negara. Maka, sudah pasti kunci S.E.J.A.H.T.E.R.A. merupakan nilai paling penting diterjemahkan oleh beliau dalam memastikan hala tuju pendidikan negara pada masa akan datang benar-benar melahirkan manusia yang mempunyai akal budi keinsanan yang akhirnya memberikan kemakmuran dan kesejahteraan yang hakiki kepada negara tercinta ini.
Sudah pasti kemuncak daripada hasrat ini adalah melahirkan warganegara atau generasi Keluarga Malaysia yang berkaliber, beramanah, berintegriti serta mempunyai keutuhan paksi kekeluargaan yang utuh. Tidak hairanlah jika pelancaran konsep Sekolahku Sejahtera ini saling berjaringan dengan keperluan yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melancarkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen kuala Lumpur (KLCC).
Melalui program ini, Perdana Menteri menyatakan kepentingan meneroka peluang-peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan lain yang ditawarkan seperti kaunseling kerjaya, program kebolehpekerjaan, karnival kerjaya dan sesi temuduga terbuka bersama majikan. Bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion memandangkan penciptaan peluang pekerjaan merupakan teras utama di bawah Bajet 2022. Harapan beliau supaya semua pihak dan pelbagai institusi mendaftar dengan portal MYFutureJob. Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional supaya masing-masing menggalakkan pelajar serta graduan mereka untuk mendaftar menerusi portal padanan kerja itu.
Realitinya, demikianlah kehidupan bahawa setiap daripada kita dan generasi Keluarga Malaysia akan menempuh fasa pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan pengajian tinggi khusus untuk menyediakan diri sebagai manusia yang akan bertanggungjawab kepada kehidupannya kelak, sama ada dia seorang penjawat awam, ketua jabatan, pengarah urusan syarikat, bekerja sendiri atau mempunyai industri yang akan menjana pekerjaan kepada beribu-ribu pekerja.
Generasi yang bermula dari tulis baca ABC mengenal nombor 1,2,3 inilah yang akan menjadi pewaris negara. Pewaris dalam serba serbi bidang tadbir urus yang akan memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang paling sejahtera dengan makna sebenar kepada seluruh rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, budaya dan taraf hidup. Ini bermakna tanggungjawab kita juga menjadi holistik kepada generasi kita ini, tidak hanya institusi keluarga, atau sekolah sahaja yang bertanggungjawab kepada momentum generasi Keluarga Malaysia, tetapi seluruh kepimpinan masyarakat, komuniti, ahli politik, pempengaruh, artis dan sesiapa pun antara kita, bersama-sama berganding bahu untuk merealisasikan cita-cita kita ini bersama, demi kemakmuran Malaysia yang sejahtera selama-lamanya. Keluarga Malaysia bijaksana, tanah yang hitam menjadi permata! – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Majlis Profesor Negara.
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.