KETIKA ini dunia berhadapan satu krisis luar biasa dan amat-amat membimbangkan, iaitu kenaikan harga barang secara berterusan dan kenaikan kadar inflasi yang bukan hanya berlaku di dalam negara bahkan kesannya jauh lebih besar di negara lain.
Berdasarkan laporan terbaharu Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 7 Julai lalu, krisis kos sara hidup global disebabkan oleh peperangan di Ukraine menyebabkan berpuluh-puluh juta rakyat terjerumus ke dalam kemiskinan. Bahkan 71 juta rakyat di negara membangun jatuh miskin dalam masa tiga bulan sahaja akibat kesan langsung daripada lonjakan harga makanan dan tenaga global. Kesan ke atas kadar kemiskinan secara drastik lebih cepat daripada impak pandemik Covid-19.
Berdasarkan UNDP juga, negara-negara yang berhadapan kesan paling drastik adalah Armenia, Uzbekistan, Burkina Faso, Ghana, Kenya, Rwanda, Sudan, Haiti, Pakistan dan Sri Lanka.
Bahkan di Habsyah, Mali, Nigeria, Sierra Leone, Tanzania dan Yemen, kesannya boleh menjadi semakin menekan pada garis kemiskinan terendah. Albania, Republik Kyrgyzstan, Moldova, Mongolia dan Tajikistan pula kesannya boleh jadi paling sukar untuk dihadapi.
Di Turkiye, kadar inflasi sudah mencecah 78 peratus iaitu yang tertinggi dalam tempoh 24 tahun berbanding Malaysia, 2.8 peratus. Berdasarkan data daripada Institut Statistik Turkiye, harga pengguna meningkat sebanyak 78.6 peratus pada bulan lalu berbanding Jun 2021, didorong oleh kos makanan dan minuman serta pengangkutan yang melambung tinggi. Harga makanan meningkat hampir dua kali ganda dalam setahun manakala kos pengangkutan naik 123 peratus.
Selain itu, Jerman juga tidak terkecuali daripada krisis kenaikan harga barang dan inflasi. Menurut angka terbaharu daripada Pejabat Statistik Persekutuan Jerman (Destatis), kadar inflasi di negara itu pada Mei lalu mencecah paras tertinggi sejak 50 tahun iaitu sebanyak 7.9 peratus. Ia disebabkan oleh kenaikan harga tenaga dan makanan yang mendorong inflasi di Jerman ke paras tertinggi sejak krisis minyak lebih 50 tahun lalu. Ini bermakna negara-negara maju seperti Jerman juga berhadapan krisis luar biasa ketika ini yang memberikan tekanan hebat kepada sebahagian rakyatnya untuk bertahan.
Berdasarkan data daripada Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS), kadar inflasi di United Kingdom meningkat kepada 9.1 peratus iaitu tertinggi dalam 40 tahun pada ketika kos makanan melambung tinggi dan peningkatan harga petrol dan diesel. Barangan makanan terutama roti, bijirin dan daging menjadi lebih mahal manakala kenaikan harga petrol dan diesel juga mendorong inflasi lebih tinggi apabila melonjak hampir satu pertiga sepanjang tahun lalu, peningkatan tahunan terbesar dalam rekod sejak 1989.
Krisis dihadapi ketika ini merentasi batasan geografi dan global yang menggoncang kekentalan ekonomi negara di seluruh dunia. Banyak faktor berlaku secara serentak termasuk permintaan jauh lebih tinggi berbanding penawaran, kenaikan harga minyak dan bahan api, peperangan antara Ukraine dan Russia serta kesan penularan Covid-19 yang masih meninggalkan kesan besar kepada negara dan rakyat.
PEKERJA ASING
Perkara sama juga berlaku di negara kita. Harga barangan makanan naik dan ia turut melibatkan kenaikan harga barangan lain seperti alat ganti kenderaan termasuk bateri, tayar, minyak enjin. Perkara sama juga terjadi kepada bahan binaan yang mana berlaku kenaikan harga bahan mentah berkaitan pembinaan yang akhirnya berpotensi untuk mendorong kepada kenaikan harga rumah.
Kerajaan dalam masa sama sedang berusaha untuk mengekang kenaikan harga barang antaranya dalam konteks minyak masak, komitmen dan jaminan untuk terus kekal memberikan subsidi minyak masak melibatkan jumlah RM4 bilion untuk tahun ini, sekitar 1.8 bilion lebih tinggi dari 2021 iaitu 2.2 billion.
Namun, mutakhir ini didapati sebahagian minyak masak yang diberikan subsidi oleh kerajaan tidak dirasai oleh rakyat dan ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan aktiviti penyeludupan minyak masak peket bersubsidi ke Thailand.
Ketirisan bekalan minyak masak subsidi yang berlaku ketika ini menyebabkan kekurangan stok minyak masak peket di dalam negara.
Selain ketirisan ini, minyak masak peket yang diberikan subsidi turut dinikmati oleh kebanyakan pekerja asing dalam negara kita. Rakyat kita terutama golongan B40 dan M40 terpaksa bersaing dengan pekerja asing untuk membeli minyak masak peket yang sememangnya terhad di pasaran akibat kegiatan penyeludupan.
Sebelum ini saya mencadangkan peralihan subsidi secara e-tunai atau e-dompet yang dikreditkan ke dalam kad pengenalan penerima atau dalam e-dompet penerima dan hanya digunakan untuk membeli barangan keperluan harian termasuk minyak masak dapat mengurangkan potensi berlaku ketirisan dan lebih berfokus bagi membantu B40 dan M40 secara keseluruhannya. Kaedah bantuan seumpama ini perlu diberikan secara bulanan dan dicadangkan sebahagian bantuan tunai contohnya antara RM100 hingga RM200 dikreditkan melalui e-tunai atau e-dompet dan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan tunai oleh rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Peralihan subsidi dalam bentuk ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk mengurangkan ketirisan yang berlaku pada ketika ini disebabkan oleh subsidi yang diberikan oleh kerajaan acap kali disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk meraih kepentingan peribadi. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan & Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).











