KEBELAKANGAN ini terdapat kandungan internet atau maya yang tular di media sosial mengundang kecaman netizen. Terbaru, kandungan bersifat prank tarik tudung wanita tular di media sosial.
Bagi saya prank sedemikian bukan bersifat gurauan sebaliknya pihak yang terkesan boleh membuat laporan polis atas dakwaan gangguan seksual atau niat untuk mencabul.
Pihak yang melakukan kesalahan tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.
Sebaiknya semua pihak menyedari bahawa kandungan terbabit boleh menjadi bahan bukti yang kukuh untuk menyokong sesuatu pendakwaan.
Harus diingat kepada golongan muda yang terlalu taksub dengan media sosial, kita mempunyai undang-undang untuk mengawal tatacara hidup bermasyarakat.
BERPELUKAN
Norma hidup berlandaskan agama Islam sewajarnya dipelihara oleh semua pihak bagi mengelak kontroversi. Mungkin ada pihak yang menganggap menularkan kandungan lelaki dan wanita berpelukan dan menepuk punggung kawan sebagai tidak salah, namun pada pihak lain ia dianggap mencolok mata.
Justeru, berdasarkan bukti bergambar yang tular, pihak berkuasa mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan perundangan atau memberi nasihat kepada pihak terbabit. Jika tindakan yang menyebabkan kecaman dan ancaman kepada golongan tertentu tidak diambil tindakan sewajarnya, dibimbangi ia dianggap tidak salah dilakukan.
Sebaiknya semua pihak dinasihatkan menghasilkan kandungan internet yang bermanfaat untuk masyarakat seperti bagaimana hendak berjimat cermat semasa kenaikan kos barangan makanan.
Tepuk dada tanya iman, adakah mengejar hit dan like adalah segala-galanya dalam hidup kita? Jika kandungan yang dihasilkan menyebabkan pihak berkuasa dan pihak terkesan mengambil tindakan, ‘takut makan tak habis’ bak kata orang tua. – UTUSAN










