BDR bukan setakat kurang kesesakan jalan raya

BDR bukan setakat kurang kesesakan jalan raya

PENULIS berpendapat bekerja dari rumah bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan jalan raya tetapi juga menyelesaikan perkara-perkara lain. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU yang hangat diperkatakan di media sosial dan juga media cetak kebelakangan ini adalah berkaitan kesesakan jalan raya terutama di sekitar Lembah Klang. Senario yang berlaku ialah kesesakan luar biasa di Lembah Klang hampir setiap masa. Ramai mengeluh terhadap situasi ini kerana banyak masa dibazirkan sekali gus mengurangkan produktiviti negara.

Pelbagai pendapat dikemukakan dan di sini saya ingin memetik beberapa pandangan berkaitan isu kesesakan jalan raya. Pertama, pertambahan kenderaan yang begitu banyak adalah antara faktor utama kepada kesesakan trafik. Menurut data yang dikemukakan, terdapat 33.3 juta buah kenderaan didaftarkan di seluruh negara sepanjang 2021. Daripada keseluruhan jumlah ini, 44.6 peratus adalah motosikal. Kenderaan perdagangan pula 4.7 peratus dan bakinya kenderaan-kenderaan seperti bas, teksi, kereta sewa pandu sendiri dan jenis lain.

Pandangan ini juga mengemukakan cadangan untuk membina lebuh raya baharu, melebarkan jalan dan menambah baik pengangkutan awam.
Kedua, cadangan sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) agar kenderaan di negara ini mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun. Menurut mereka, polisi ini bertujuan menyeimbangkan antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya. Justeru, mana-mana kenderaan yang melepasi had tempoh ditetapkan perlu dilupuskan supaya tidak berada di atas jalan raya.

Ketiga, berkongsi kenderaan atau menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Cadangan ini dikemukakan oleh Kumpulan Rundingan Boston (BCG). Menurut mereka, kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur mampu dikurangkan sehingga 91 peratus jika orang ramai sedia berkongsi kereta bagi laluan perjalanan dan waktu yang sama. Menurut mereka lagi, jumlah terkini kereta di Kuala Lumpur sudah melebihi 5.8 juta dan kajian ini merumuskan bahawa warga ibu negara menghabiskan hampir RM16,000 setahun untuk kos lalu lintas dan tempat letak kereta.

IPU

Terdapat banyak lagi pandangan lain disuarakan oleh orang ramai berkaitan kemelut kesesakan jalan raya.

Saya berpandangan, bekerja dari rumah (BDR) adalah jalan terbaik ke arah mengatasi kesesakan jalan raya di sekitar bandar-bandar utama buat masa ini. BDR bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan jalan raya tetapi dapat menyelesaikan perkara-perkara lain.

Pertama, dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan penurunan paras pencemaran udara apabila BDR khususnya di bandar-bandar utama. Penurunan ini disebabkan pengurangan aktiviti dan pengurangan pelepasan bahan pencemar ke udara. Secara ringkas dari Mac hingga Disember 2020, bacaan karbon monoksida (CO) ialah 0.473 hingga 0.620 bahagian setiap juta (Mac-Disember 2020) berbanding 0.565 hingga 0.888 bahagian setiap juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Kedua, dapat menjimatkan kos. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan BDR mampu meningkatkan produktiviti. Situasi sama dikatakan berlaku di Malaysia dengan anggaran peningkatan produktiviti kira-kira lima peratus. Majikan atau kerajaan dapat menjimatkan kos sekiranya dilaksanakan BDR. Contohnya, ruang pejabat mungkin sudah tidak diperlukan lagi. Begitu juga kos seperti bil air dan elektrik serta lain-lain.

PRODUKTIVITI

Menurut pengasas Gig X Global, Shareen Shariza Abdul Ghani, BDR juga membolehkan majikan menggaji pekerja dari serata dunia. Jadi, mereka ada pool of talent (sekumpulan tenaga kerja berbakat) untuk memajukan syarikat atau agensi.

Ketiga, kajian oleh Cisco, iaitu sebuah agensi menyelidik berkaitan pekerjaan global menunjukkan 86 peratus pekerja di Malaysia lebih gembira apabila majikan membenarkan mereka melakukan kerja di mana-mana tempat termasuk di rumah. Ini kerana mereka dapat menjimatkan penggunaan bahan api perjalanan ulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

Selain menjimatkan wang, pekerja juga dapat menjimatkan masa antara empat hingga lapan jam seminggu. Sebanyak 60 peratus pekerja di Malaysia percaya kualiti kerja mereka bertambah baik dan 55 peratus lagi menyatakan produktiviti mereka meningkat.

Jika kita lihat dari perspektif Islam pula, kesesakan jalan raya ini telah mengorbankan banyak masa. Dalam surah al-Asr mafhumnya: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Jika kita rujuk kepada tafsir pimpinan Ar-Rahman, kerugian itu membawa maksud tiap-tiap satu detik yang berlalu dari umur kita kalau digunakan kepada perkara sia-sia atau perkara maksiat tidak syak lagi akan ruginya. Kalau pun dihabiskan dengan perkara-perkara yang harus, maka itu pun merugikan juga kerana habisnya waktu itu tidak meninggalkan sebarang faedah yang dapat menolongnya ketika mati.

Akhir sekali, kita sepatutnya dapat memanfaatkan teknologi masa kini ke arah kehidupan berkualiti dalam menyahut seruan kerajaan membina Keluarga Malaysia. Dengan BDR, kita dapat melaksanakan dua perkara atau dua dalam satu iaitu bekerja dan berkeluarga kecuali dalam kes-kes tertentu yang memang memerlukan pekerja hadir secara fizikal di tempat kerja. – UTUSAN

DR. Nor Azaruddin Husni Nuruddin ialah Felow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×