Bangun ekonomi negara ikut acuan kita - Utusan Malaysia

Bangun ekonomi negara ikut acuan kita

RUNGUTAN majikan mengenai kekurangan pekerja seolah-olah mengakui telahan bahawa kita sebenarnya terlalu bergantung harap kepada buruh asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kekurangan pekerja asing masih berterusan sehingga kini walaupun sempadan negara telah dibuka semula. Malah, penarikan semula pembekuan pengambilan buruh akibat pandemik pada Februari lalu juga tidak menyaksikan kemasukan pekerja asing yang ketara disebabkan kelulusan kerajaan secara berperingkat dan perbincangan yang berlarutan dengan negara sumber mengenai perlindungan pekerja.

Baru-baru ini, Indonesia juga telah menghentikan sementara penghantaran pekerja ke Malaysia termasuk beribu-ribu yang diambil untuk sektor perladangan berikutan dakwaan pelanggaran perjanjian pengambilan pekerja yang ditandatangani antara kedua-dua negara.

Kekurangan pekerja asing ini dilihat mula mencetuskan panik dalam kalangan majikan sekali gus memberi tamparan hebat kepada proses pemulihan ekonomi dalam pelbagai sektor.

Hakikatnya, Malaysia bergantung kepada berjuta-juta pekerja asing yang kebanyakannya berasal dari Indonesia, Bangladesh, India dan Nepal untuk mengisi pekerjaan kilang dan ladang yang diketepikan oleh penduduk tempatan.

Sektor pembinaan negara yang sedang berusaha bangkit daripada impak pandemik Covid-19 berdepan isu kekurangan kira-kira 500,000 tenaga buruh disebabkan ramai pekerja asing yang meninggalkan Malaysia sebelum ini tidak kembali.

Industri pembuatan automotif juga dilaporkan sedang menghadapi isu kekurangan pekerja yang meruncing dan situasi ini dikhuatiri boleh menjejaskan ekosistem pembuatan automotif nasional (NAM).

Ekosistem NAM dilaporkan mungkin boleh musnah dengan kehilangan lebih 500,000 pekerjaan dan menghapuskan sehingga 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekiranya isu tenaga kerja dalam industri itu tidak ditangani segera.

Selain itu, lebih 2,000 restoran mamak juga dilaporkan terpaksa ditutup kerana kekurangan tenaga kerja dalam sektor makanan dan restoran. Industri perkhidmatan makanan antara yang terjejas teruk sehingga sekarang.

Malah, sektor perladangan kelapa sawit dianggarkan mengalami kerugian sebanyak 7.52 juta tan metrik membabitkan nilai RM10.46 bilion bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berikutan kekurangan tenaga kerja asing.

Laporan kesan kekurangan pekerja asing dalam pelbagai sektor ekonomi seperti ini dengan jelas menunjukkan betapa kuatnya pengaruh dan peranan para pekerja asing dalam proses pembangunan ekonomi negara.

Gambaran pada ketika ini ialah seolah-olah banyak sektor akan ‘tutup kedai’ andai tiada bantuan pekerja asing, sekali gus membawa kepada persoalan, apakah tenaga kerja asing ini yang mengawal ekonomi negara selama ini?

Rungutan majikan seolah-olah mengakui telahan bahawa kita sebenarnya terlalu bergantung harap kepada tenaga pekerja asing. Jadi, sampai bila kita mahu membiarkan keadaan ini berlarutan dan sampai bila mahu membiarkan pekerja asing menjadi penentu pembangunan ekonomi negara?

Untuk penyelesaian jangka pendek terutamanya ketika semua sektor baru hendak memulakan proses pemulihan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita berharap kerajaan segera selesaikan isu kemasukan pekerja asing.

Semoga tiga pendekatan yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi baru-baru ini untuk mendepani cabaran pengambilan pekerja asing dapat meleraikan kekusutan yang sedang berlaku.

RUNGUTAN

Tiga pendekatan tersebut ialah Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama industri, persatuan perniagaan serta pihak berkenaan perlu mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu pengambilan pekerja asing sehingga hujung bulan ini.

Bagi pendekatan kedua, majikan digesa mempertimbang pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja. Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temu duga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di pusat sehenti (OSC) mengikut zon dan negeri.

Bagaimanapun, untuk jangka panjang, kita perlu ada perancangan lebih jelas dan menyeluruh bagi mengurangkan kebergantungan sektor ekonomi tempatan kepada orang luar. Kita perlu membangunkan ekonomi dan negara dengan acuan kita menggunakan anak tempatan sendiri.

Justeru, segala isu yang berlegar tentang keengganan warga tempatan bekerja di sektor tertentu sehingga majikan terpaksa juga menggunakan pekerja asing seperti dalam sektor perladangan dan industri perkhidmatan makanan perlu diteliti dan ditangani secara efisien. Jika tidak, kita akan terus bergantung harap kepada pekerja asing untuk selama-lamanya.

Antara rungutan majikan selama ini adalah walaupun diberikan pelbagai ganjaran dan kemudahan, warga tempatan masih tidak berminat untuk bekerja dalam bidang tertentu khususnya yang sering dikategorikan sebagai sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

Akibatnya berlaku kekosongan jawatan yang cukup ketara membabitkan bidang perladangan, pembuatan, pembangunan, pertanian dan perkhidmatan.

Misalnya, walaupun ditawarkan gaji RM1,500 dengan pelbagai kemudahan lain seperti tempat tinggal dan makan secara percuma, warga tempatan masih tidak berminat untuk bekerja di restoran mamak.

Jadi dalam situasi ini, kita tidak boleh menyalahkan para majikan lagi atas alasan mereka yang tidak mahu mengambil pekerja tempatan sebaliknya perlu mengkaji kenapa warga tempatan masih menolak untuk bekerja dalam sektor seperti ini.

Tiada gunanya kita membuka dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tetapi pada akhirnya terpaksa diisi oleh pekerja asing. Persoalan klise yang masih tiada jawapan jelas ialah kenapa anak tempatan tidak mahu bekerja dalam bidang tersebut sedangkan tawaran gaji semakin menarik?

Jadi, kita berharap kerajaan memandang serius isu ini kerana kita tidak mahu ekonomi negara dikawal oleh faktor luaran yang amat membimbangkan. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan ialah memperbanyakkan sesi libat urus dengan golongan belia dan dapatkan maklum balas mereka bagi mengetahui faktor penolakan terhadap bidang kerjaya tertentu supaya kita dapat memenuhi kehendak mereka.

Anak muda juga perlu disedarkan tentang tanggungjawab mereka untuk bersama-sama membantu memulihkan ekonomi dan membangunkan negara.

Kesimpulannya, majikan perlu bersedia untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing manakala kerajaan perlu ada pelan perancangan jangka panjang terutama melalui inisiatif tambahan untuk menarik golongan belia menceburi bidang kritikal yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Ingat, sampai bila nak harapkan pekerja asing semata-mata. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya