PETALING JAYA: Seorang pelanggan wanita sebuah restoran terkenal di Uptown, Kota Damansara dekat sini tidak menyangka menjadi mangsa intipan selepas dipercayai dirakam oleh seorang pekerja premis terbabit ketika berada di dalam tandas malam tadi.
Wanita dikenali Lysa, 23, berkata, dia ketika itu sedang makan di restoran terbabit sekitar pukul 9.50 malam sebelum ke tandas untuk membuang air kecil.
Menurutnya, ketika di dalam tandas dia terdengar orang bersiul sebelum mencari bunyi itu kerana terlalu kuat.
“Tetapi ketika itu saya masih berfikiran positif dan beranggapan mungkin salah dengar.
“Tetapi tidak lama kemudian saya masih dengar orang bersiul dan terus pandang ke arah kipas penghawa dingin dan terlihat telefon bimbit.
“Apabila saya melihat lebih dekat dengan membuka lampu telefon bimbit saya sebelum menyedari ada orang sedang merakam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, indvidu terbabit terus menarik telefon bimbitnya sebelum wanita itu keluar dari tandas dan memaklumkan kejadian itu kepada penyelia restoran.
“Saya juga sudah membuat laporan polis dan rakaman kamera tertutup (CCTV) mendapati individu terbabit adalah salah seorang pekerja mereka.
“Saya juga kecewa apabila pihak restoran itu seperti tidak mahu bertanggungjawab apabila difahamkan lebih 20 video sudah diambil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jayaz Asisten Komisioner Shamsudin Mamat mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa.
“Tindakan mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










