Bina badan demi cari duit 'haram'? Cukup saya tahu niat sebenar - Ezaidi Aziz - Utusan Malaysia

Bina badan demi cari duit ‘haram’? Cukup saya tahu niat sebenar – Ezaidi Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ezaidi Aziz menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa usahanya kembali membina badan adalah bagi mencari sumber pendapatan haram atau menarik perhatian golongan tertentu.

Ezaidi atau nama sebenarnya, Mohamed Ezaidi Ab Aziz, 31, berkata, keputusan untuk kembali aktif ke gimnasium dibuat semata-mata bagi memenuhi tuntutan kerjaya lakonannya selain meningkatkan tahap kesihatan dan keyakinan diri.

Menurutnya, perubahan fizikal yang dilakukan juga berkait rapat dengan watak yang sedang dilakonkannya ketika ini.

“Perkara itu langsung tidak pernah terlintas di fikiran saya. Saya kembali membina badan kerana komitmen kerja dan mahu kelihatan lebih sihat serta yakin ketika berada di hadapan kamera.

“Sebelum ini saya terlibat dalam penggambaran dan watak yang diberikan memerlukan saya tampil segak serta tegap seperti Prince Mateen. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk membina semula bentuk badan seperti dahulu.

“Itulah tujuan sebenar saya. Mengenai dakwaan kononnya mahu mencari duit haram, saya tidak mampu menghalang sesiapa daripada bercakap. Cukuplah saya tahu niat sebenar saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ezaidi mengakui perubahan fizikal yang dicapai selepas beberapa bulan menjalani latihan di gimnasium telah membantu meningkatkan keyakinan dirinya.

Katanya, sebelum ini dia berdepan masalah kurang keyakinan diri dan bersifat pemalu, namun keadaan itu semakin berubah selepas menjalani rutin kecergasan secara konsisten.

“Dulu saya agak kurus dan kurang yakin dengan diri sendiri. Sekarang saya rasa lebih selesa dan yakin apabila berhadapan dengan orang ramai.

“Saya memang mempunyai masalah keyakinan diri dan seorang yang pemalu. Jadi, usaha ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan keyakinan diri saya,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai tuduhan yang diterimanya, Ezaidi berkata, dia tidak memahami mengapa dakwaan sedemikian boleh timbul dan menyifatkannya sebagai tidak wajar.

Malah, katanya, sebarang spekulasi sepatutnya disahkan terlebih dahulu dengan individu terlibat sebelum disebarkan kepada umum.

“Saya tidak tahu mengapa ada pihak memberi komen sedemikian. Kita semua manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Jangan terlalu cepat menghukum kerana bimbang perkara itu kembali kepada diri sendiri.

“Jika tidak mengetahui cerita sebenar, lebih baik kita tidak berkata apa-apa,” katanya.

Terdahulu, hantaran Ezaidi di platform Threads yang memaparkan usahanya membina badan mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk dakwaan bahawa tindakannya itu bertujuan untuk ‘memancing’ perhatian golongan kenamaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN