DI negara kita Malaysia yang tercinta ini apa yang tidak dikaitkan dengan kartel? Minyak masak peket hilang di pasaran kerja kartel. Industri ikan dikuasai kartel. Ayam, anak ayam, telur ayam dan harga ayam dikawal mereka.
Malah dalam industri pembinaan, kontrak kerajaan, kemasukan pekerja asing, pengangkutan dan lain-lain lagi semuanya dikaitkan dengan kartel.
Berdasarkan daripada pendedahan dan berita-berita yang disiarkan, kehidupan rakyat Malaysia ini seolah-olah dikawal oleh kartel.
Kartel yang menentukan berapa ekor ayam yang perlu dijual. Mereka yang tentukan berapa ringgit harga ikan sekilogram dan lain-lain lagi.
Nasib baik negara kita tidak ditadbir oleh kartel. Namun kita bimbang pengaruh-pengaruh kartel ini telah meresap masuk ke agensi-agensi kerajaan kita yang berkait rapat dengan kepentingan pengguna. Mungkin disebabkan itu isu kepenggunaan di Malaysia tidak pernah selesai.
Isu harga ayam naik bukan perkara baharu. Dari dahulu hingga sekarang setiap kali musim perayaan tiba, krisis bekalan dan harga mesti berlaku. Cuma tahun ini agak serius kerana ia membabitkan kenaikan harga.
Begitu juga dengan kes-kes penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran. Minyak masak, tepung, gula, petrol dan diesel kita bukan baru sehari dua diseludup ke negara jiran, sudah berkurun ia berlaku. Tetapi kita tidak mampu untuk mengawalnya. Anak-anak di negara jiran yang tinggal di kawasan bersempadan dengan Malaysia membesar hasil barang-barang subsidi dari negara kita.
Mungkin disebabkan rangkaian mereka ini terlalu hebat, terlalu sistematik dan terlalu canggih menyebabkan pihak penguat kuasa kita tidak mampu mengatasinya atau hanya mampu tengok sahaja.
Apabila isu kartel ini dibangkitkan, kita tertanya-tanya apa jadi dengan agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal-hal seperti ini?
Kalau kita tengok susun atur agensi-agensi yang terletak di bawah setiap kementerian, ia meliputi hampir semua aspek kehidupan rakyat. Peranan agensi-agensi ini adalah untuk melindungi rakyat. Memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas terutama yang berpunca daripada golongan tidak bertanggungjawab, yang mengambil kesempatan dan mahu mengaut keuntungan segera.
Tetapi itu nampaknya tidak menjadi realiti. Berdasarkan kepada perkembangan terkini, daripada laporan-laporan berita, agensi-agensi kerajaan kita nampaknya tewas kepada kartel. Berpuluh-puluh agensi kerajaan yang wujud di negara ini mustahil tidak ada satu pun yang mampu mengawal atau mengatasi kerakusan kartel-kartel yang mengambil kesempatan di atas kesengsaraan rakyat.
Kalau lihat dalam industri pertanian kita ada Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa lagi.
Namun para petani dan pekebun sayur kita tetap berhadapan dalam mendapatkan input pertanian dan menjual hasil mereka. Mereka tetap perlu bergantung kepada kartel-kartel yang wujud.
Begitu juga dalam industri perikanan. Kita ada Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat). Tetapi siapa yang mengawal hasil laut kita? Kenapa wujud masalah nelayan terpaksa bergantung kepada kartel?
Mengapa timbul isu kartel menguasai pasaran ikan di negara ini? Apa jadi dengan agensi-agensi kerajaan kita?
Rakyat mengharapkan apabila berlaku krisis dan timbul isu yang menjejaskan kehidupan dan kepentingan rakyat, agensi-agensi kerajaan ini perlu muncul muncul sebagai ‘kartel’ yang mampu meneutralkan segala masalah.
Sepatutnya agensi-agensi kerajaan inilah kartel yang paling besar kerana mereka bukan sahaja mempunyai sumber tetapi juga kuasa penguatkuasaan untuk memastikan kepentingan rakyat terjaga.
Adakah kartel-kartel yang wujud ini lebih berkuasa daripada kuasa yang ada pada agensi-agensi kerajaan terbabit? Rasanya tidak? Jika tidak kenapa segala isu yang timbul ini terus berlarutan dan langsung tidak ada penyelesaian?
Kita sebagai rakyat hairan apabila berhadapan dengan krisis ekonomi bergelut dengan gelombang inflasi, makanan-makanan utama yang menjadi keperluan harian dikawal oleh kartel-kartel yang melanggarkan undang-undang.
Sebab itu, timbul persoalan apa jadi dengan fungsi agensi kerajaan yang majoritinya ditubuhkan untuk membantu rakyat meringankan beban rakyat. Untuk membantu petani, peladang, penternak dan nelayan. Apabila golongan ini dibantu dari segi pengeluaran dan penjualan hasil kita percaya rakyat tidak akan berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan dan kartel-kartel tidak boleh bermaharajalela.
Kuasa yang dimiliki oleh kerajaan sepatutnya mengatasi segala kuasa yang dimiliki oleh kartel ini. Kita tidak tahu di mana silapnya hingga rakyat terpaksa berhadapan dengan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan kos.
Kita cukup yakin mereka yang mengetuai setiap agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan rakyat ini mempunyai integriti yang tinggi. Daripada pengerusi, ketua pegawai eksekutif, ketua pengarah hingga ke kakitangan bawahan mereka ini tidak mungkin terlibat mudah digula-gulakan dengan rasuah atau mudah dibeli oleh kartel-kartel ini. Majoriti yang mengetuai agensi-agensi kerajaan adalah orang Islam. Sudah tentu mereka tidak akan menerima rasuah atau menjual nasib rakyat kepada kartel-kartel. Semua ini haram dan dosa besar dalam Islam.
Cuma kita harapkan segala kelemahan yang berlaku hingga memberi ruang kepada kartel-kartel ini berkuasa secara berleluasa diatasi segera.
Dengan kuasa dan kewibawaan yang ada, agensi-agensi ini sendiri perlu menjadi ‘kartel’ dengan menguasai rangkaian pengeluaran dan pengedaran setiap sektor ekonomi yang di bawah tanggungjawab mereka.
Itu fungsi penubuhan semua agensi ini. Kita percaya jika mereka berfungsi dengan baik, rakyat dan negara tidak akan berhadapan dengan masalah. Yang penting kartel-kartel yang hidup dengan memerah darah dan keringat rakyat juga tidak akan wujud.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










