PEMILIHAN PKR melabuhkan tirai dengan keputusan tidak rasmi menyaksikan Rafizi Ramli menang jawatan Timbalan Presiden.
Tiga daripada empat Naib Presiden juga dimenangi faksi (pasukan) Rafizi. Begitu juga Ketua Wanita. Faksi Rafizi hanya terlepas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Ketika ini nama Rafizi dijulang hebat oleh penyokongnya. Beliau digambarkan harapan baharu untuk mengubah nasib PKR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada masa sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang tewas Timbalan Presiden baru-baru ini mengumumkan Kongres Tahunan PKR yang sepatutnya berlangsung dari 24 hingga 26 Jun ini terpaksa ditangguhkan ke 15 hingga 17 Julai depan. Hal ini kerana Jawatankuasa Pemilihan Parti memerlukan lebih masa untuk meneliti aduan dan bantahan yang diterima.
PKR juga sedang membuat audit forensik terhadap keputusan pemilihan. Langkah ini wajar dipuji, bahkan tidak memeranjatkan. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika debat isu Sapura Energy Berhad pun mencadangkan dibuat audit forensik ke atas Sapura Energy Berhad sebelum kerajaan mengambil langkah membantu syarikat yang bermasalah itu. Ketika keputusan pemilihan ikut dipertikai oleh beberapa pihak tertentu sahaja, munasabah untuk PKR menjalankan audit forensik.
Ketika Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR mengumumkan bahawa mereka telah melantik syarikat audit untuk menjalankan tugasnya, individu yang paling lega tentunya Farhash Wafa Salvador yang tewas bertanding Ketua Cabang Gombak melawan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Farhash orang pertama yang mencadangkan supaya PKR membuat audit forensik.
Rafizi pula setakat ini belum membuat sebarang kenyataan. Selagi proses audit tidak selesai, keputusan rasmi pemilihan PKR tidak dapat diumumkan. Rafizi sebaliknya mengumumkan beberapa inisiatif Ayuh Malaysia akan diluncurkan dalam masa terdekat. Sedikit aneh tindakan beliau. Jika beliau boleh bercuti selama tiga tahun, apalah sangat untuk menunggu beberapa hari lagi sehingga selesai keputusan rasmi diumumkan. Lagi pula dari segi disiplin organisasi, sebarang idea program dan aktiviti atas nama parti lazimnya dibentang sebelum digerakkan.
Audit forensik dibuat apabila beberapa keputusan pemilihan dilihat aneh dan pelik. Beberapa cabang di Selangor yang diketahui umum sangat anti-Rafizi menyaksikan Rafizi mendapat undi selesa. Misalnya Gombak, Kota Raja, Kuala Langat dan Hulu Langat. Di Kelantan pula, Gua Musang dan Tanah Merah. Di Sabah, cabang seperti Pensiangan dan Keningau. Ini mendorong pimpinan cabang berkenaan menulis aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR supaya keputusan itu diteliti.
Rafizi yang menguasai keseluruhan undian di semua negeri kecuali Sabah dan Perlis memperoleh 68,992 undi, mengatasi Saifuddin yang mendapat 50,038 undi.
MAJORITI TIPIS
Sementara bagi saingan Naib Presiden pula dimenangi Amirudin; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Amirudin memperoleh undian tertinggi di Selangor, 52,845 undi keseluruhan diikuti Lih Kang (41,290 undi), Nik Nazmi (40,506 undi) serta Aminuddin (38,894 undi).
Bagi saingan Ketua AMK, dimenangi bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang memperoleh 13,650 undi, mengatasi pesaingnya, Fahmi Zainol (11,888 undi).
Sementara bagi jawatan Ketua Wanita dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang memperoleh 21,962 undi, mengatasi pencabarnya,
Ahli Dewan Negara, Senator Fadlina Sidek dengan majoriti tipis iaitu 400 atau 21,562 undi keseluruhan.
Dalam pemilihan kali ini, beberapa pemimpin kanan tewas dalam saingan merebut jawatan Naib Presiden, antaranya Ketua Penerangan, Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd. Akin; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid serta Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Meninjau reaksi penyokong Rafizi dalam media sosial, jelas mereka kurang senang dengan tindakan melantik audit forensik ini. Maka dipertikai kredibiliti syarikat audit yang dilantik. Mereka malah menyalahkan Presiden dan Setiausaha Agung kerana tidak menyekat Jawatankuasa Pemilihan PKR yang melantik syarikat audit.
Satu perkara yang menghairankan ialah mengapa faksi Rafizi tidak setuju kongres ditangguhkan untuk memberi lebih masa supaya aduan diteliti dan audit forensik diselesaikan? Bukankah itu lebih baik untuk PKR? Kelak nanti kemenangan Rafizi adalah suatu kemenangan yang bersih. Bukankah PKR sebuah parti yang sentiasa memperjuangkan pilihan raya yang adil, bersih dan telus? Mengapa ada pihak yang kurang senang dengan langkah parti menjalankan audit forensik?
Adalah suatu yang menarik untuk dilihat hasil audit forensik itu nanti. Adakah benar aduan penyelewengan berlaku atau sekadar tanggapan pihak yang tewas? Jika benar berlaku penyelewengan, sejauh mana PKR akan bertindak? Kewibawaan PKR benar-benar teruji. Reputasi PKR sedang diperhatikan. Rafizi sendiri akan dilihat bersedia tidak menerima keputusan sebaliknya jika hasil audit forensik mengesahkan wujud penyelewengan. Atau Rafizi lebih senang menerima ‘kemenangan yang cacat?’
Pemilihan PKR baru-baru ini menarik minat hampir 11,000 calon bertanding. Lebih 150,000 ahli mengundi. Dengan jumlah aduan yang diterima lebih 2,000, tentunya proses menyelesaikannya memakan masa.
Adalah lebih baik semua pihak yang terlibat bersabar menunggu proses audit selesai. Keputusan rasmi pemilihan boleh diumumkan selepas itu. Dan barulah Kongres Tahunan PKR kemudian dapat dilangsungkan. – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.