Peralihan subsidi, bukan pemberhentian subsidi

Peralihan subsidi, bukan pemberhentian subsidi

PERDAGANGAN borong dan runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan pada Julai. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA ingin dilihat sebagai sebuah negara yang cukup prihatin terhadap kesejahteraan rakyat tetapi pada masa sama sentiasa berhemah mengurus kewangan. Pengalaman Sri Lanka sentiasa dilihat sebagai tauladan penting.

Sri Lanka yang terlalu menonjolkan subsidi untuk rakyat dalam kos bahan bakar, minyak masak, gula, beras, tepung, pengangkutan dan perumahan menyebabkan kerajaan terpaksa meminjam melebihi keupayaan setiap tahun untuk meneruskannya. Akhirnya, seluruh Sri Lanka terjejas dari segi kewangan dan ekonominya.

Malaysia perlu dilihat jauh daripada mengikuti jejak Sri Lanka walaupun kita juga amat giat dalam mewujudkan skim subsidi dan bantuan kepada isi rumah. Pengumuman pemberhentian subsidi ayam dan pembatalan subsidi minyak masak dalam botol membayangkan langkah berhemah kerajaan sambil pada masa sama terus menunjukkan keprihatinan terhadap kumpulan isi rumah yang memerlukan.

Kerajaan memperkenalkan subsidi minyak masak berbotol pada Ogos 2021 untuk tempoh tiga bulan bagi membantu Keluarga Malaysia menangani kesan pandemik Covid-19. Jumlahnya menjangkau RM55 juta sebulan. Ia sepatutnya berakhir pada 31 Oktober ini, namun kerajaan melanjutkan tempoh subsidi sehingga 30 Jun ini atas dasar ihsan. Disebabkan penyalahgunaan subsidi, kerajaan mengumumkan untuk memberhentikannya berkuat kuasa 1 Julai ini.

MINYAK PAKET

Walaupun begitu, kerajaan masih terus memberikan subsidi ke atas minyak masak kampit 1 kilogram (kg.) dengan mengenakan harga kawalan pada RM2.50 sekampit berbanding kos sebenar RM9 sekampit (iaitu subsidi sebanyak RM6.50 sekg). Sejumlah 60,000 tan minyak dalam kampit dijual setiap bulan menjadikan jumlah subsidi bernilai RM390 juta sebulan. Ini sudah berlanjutan sejak 2016, mencapai jumlah subsidi lebih RM33 bilion.

Pada tahun ini sahaja dianggarkan RM2.2 bilion dibelanjakan untuk membayar subsidi minyak paket. Subsidi ini juga mempunyai masalahnya sendiri kerana lebih 5,000 tan minyak disalahgunakan oleh penjual dan pembeli.

Subsidi minyak masak dalam botol disasarkan kepada kumpulan M40 sebagai tandingan kepada minyak-minyak masak import. Kumpulan ini kini perlu menggunakan minyak masak kampit jika mereka merasakan masih memerlukan subsidi kerajaan.

Di bawah prinsip sama, kerajaan mengumumkan pemberhentian subsidi pengeluaran ayam dari ladang pada kadar 60 sen sekg. kepada penternak melibatkan lebih 1.2 juta tan ayam setahun. Jumlah penjimatan daripada pemberhentian subsidi ini disasarkan diagihkan terus kepada kumpulan memerlukan melebihi 8.6 juta (4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang). Kerajaan mengumumkan pembahagian tambahan bayaran RM100 untuk setiap kumpulan sasar khusus ini dalam bentuk tunai.

AGROBANK

Oleh itu, istilah ‘pemberhentian subsidi’ bukanlah tepat digunakan kerana sebenarnya apa yang berlaku ialah ‘peralihan subsidi.’ Pemberian subsidi ke atas pengeluaran ayam dilihat tidak berkesan kerana walaupun kerajaan memperuntukkan RM720 juta, hanya RM168 juta yang benar-benar digunakan. Ini berbanding pembahagian bersasar sebanyak RM638 juta yang diberikan terus kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Di samping sejumlah RM2,500 bagi setiap keluarga yang diumumkan dan dibayar secara bertahap pada tahun ini dalam bentuk BKM. Ia melibatkan kos kerajaan berjumlah RM1.74 bilion. Jumlah RM2,500 adalah tahap tertinggi pernah dibayar kepada kumpulan sasar sejak skim sebegini dimulakan hampir 10 tahun lalu.

Selain pemberhentian subsidi, kerajaan juga memulakan langkah melaksanakan Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) di bawah Agrobank membabitkan peruntukan sebanyak RM800 juta.

DPAKM menawarkan kemudahan pembiayaan khusus mengikut agihan pembiayaan iaitu RM300 juta bagi ternakan ayam, ternakan ruminan iaitu lembu dan kambing (RM200 juta), tanaman sayur-sayuran (RM100 juta), usahawan mikro (RM100 juta), usahawan mikro baharu (RM50 juta) dan usahawan muda (RM50 juta). Bila bekalan makanan negara dipastikan mencukupi malah berlebihan maka pastilah harganya termasuk ayam akan kembali stabil di pasaran.

Selepas ini kerajaan perlu mengkaji semula subsidi lain dan mengubahnya daripada bentuk subsidi umum kepada subsidi khusus dan bersasar. Ini perlu dilakukan secara bertahap dan beransur-ansur untuk tidak menjejaskan kos kehidupan isi rumah keseluruhannya.

Pada masa hadapan, pemberian kepada isi rumah yang memerlukan perlu diberikan secara khusus dan tersasar. Penggunaan baucar makanan yang boleh dipraktikkan di pasar, kedai runcit dan pasar raya misalnya adalah mekanisme yang cekap dalam membantu mengurangkan kos hidup kumpulan memerlukan ini.

Satu mekanisme dilihat paling berkesan ialah mewujudkan tabung endowmen berasaskan skim wakaf untuk menarik sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat dan individu dengan galakan cukai dalam bentuk rebat atau potongan. Tabung ini akan dilaburkan dan hasilnya digunakan untuk membiayai kumpulan memerlukan.
Ini boleh menjadi asas pembentukan sistem keselamatan sosial yang akan menjadi asas kepada pewujudan sistem pembiayaan lestari untuk kumpulan memerlukan dalam ekonomi negara. – UTUSAN

DR. Barjoyai Bardai ialah Profesor Emeritus di Universiti Tun Abdul Razak (UTAR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×