‘Orang pandang pemotong rumput kelas bawahan’ - Utusan Malaysia

‘Orang pandang pemotong rumput kelas bawahan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
Belum pun reda isu kualiti padang dalam perlawanan kelayakan Piala Asia , pentas bola sepak sekali lagi dikejutkan dengan masalah kerja menaik taraf Stadium Shah Alam yang dikatakan tergendala.
Apa yang mendukacitakan, semua isu berkaitan kualiti padang seolah-olah menemui jalan buntu.Lebih parah ada segelintir yang cuba mencari ‘kambing hitam’ untuk dipersalahkan dan mengamalkan sikap ‘tuding jari’ terhadap pelbagai pihak.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Pengarah Pusat Sukan Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) NUR EKMAL BUHARY bagi mendapatkan pandangan beliau.

MINGGUAN MALAYSIA: Isu kualiti padang bola sepak masih berlaku sehingga kini. Adakah disebabkan wujudnya faktor lain seperti cuaca, sistem saliran atau ia sememangnya disebabkan kelemahan manusia?
EKMAL: Memang kita tidak nafikan ada beberapa faktor. Selain kualiti padang, ia turut bergantung kepada kaedah dan pengkhususan di Malaysia termasuklah taburan hujan yang tinggi.
Dan pastinya apabila kita menghadapi masalah ini, aspek pengurusan daripada peringkat pembinaan dan penyelenggaraan perlu diambil kira. Pengurusan padang yang sistematik harus mengambil kira beberapa faktor keadaan dan taburan hujan.
Sekiranya taburan hujan tinggi, sistem saliran perlu dalam keadan baik. Sistem perparitan juga perlu lebih baik dan teratur. Kedua, kalau bercakap berkenaan kemudahan padang yang sudah siap, aspek pengurusan perlu melihat pula beberapa kaedah sistematik seperti tatacara pembajaan, rawatan serangga dan cara pemotongan rumput yang betul.
Semua perkara ini kalau dibuat dengan betul akan beri kesan kepada padang. Kalau hendak buat padang perlu mengambil kira keadaan setempat dan kontur padang. Adakah kita buat padang di tempat yang rendah dan bagaimana sekiranya air bertakung juga antara faktor yang perlu diambil kira.

JADUAL PENJAGAAN TIDAK KONSISTEN
Adakah faktor jadual penjagaan padang yang tidak konsisten dan sambil lewa antara faktor kepada kurangnya kualiti?
Ya. Apabila penyelenggaraan dibuat secara konsisten dengan mengikut jadual termasuk dengan sistem pemotongan sistematik, ia akan memberi kesan kepada padang itu sendiri. Jika tidak kualiti akan terjejas.

Berapa peratus risiko kecederaan bagi seseorang atlet sekiranya padang yang digunakan rosak?
Risiko amat tinggi. Kalau kita lihat atlet atau pasukan ketika menjalani latihan, faktor padang diambil kira sama ada selamat atau tidak untuk digunakan. Ini kerana pasukan-pasukan peringkat profesional akan menjalani latihan sepenuh masa.
Di Malaysia tidak banyak padang dikawal selia oleh kelab. Antara pasukan yang ada kemudahan padang sendiri seperti JDT dan Terengganu. Untuk menjadi pasukan yang berdaya saing bukan sahaja melihat tempat bertanding, tetapi tempat latihan berkualiti agar dapat mengurangkan risiko kecederaan.

Adakah wajar sesebuah agensi seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau kerajaan negeri mahupun pusat termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil alih semua stadium di negara ini?
Kita tidak boleh harap semua tanggungjawab pada Kerajaan Pusat semata-mata. Kalau ia dikendali dan dimiliki universiti, ia mestilah menjadi tanggungjawab universiti.
Ada padang atau stadium diselenggara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka dapat sumber daripada cukai untuk kegunaan masyarakat.
Kalau semua nak serah pada KBS pun, ia tidak membantu. Kita perlu beri didikan dan pengetahuan kepada mana-mana pihak yang mengurus supaya ada pengetahuan sekali gus memastikan penyelenggaraan padang dijalankan dengan baik.
Pada saya kalau mahu diberikan kuasa tanggungjawab penuh kepada Kerajaan Pusat atau negeri ia kurang sesuai.

PERLU AUDIT
Sekiranya ada pihak tertentu yang bertanggungjawab dalam menguruskan sesebuah stadium, adakah perlu audit dilaksanakan?
Sebenarnya apabila sebut berkenaan audit, ia berkaitan tadbir urus dan melaksanakan prosedur betul.
Di negara Barat, tiada audit secara total. Apabila semua faham dengan pendekatan yang betul pada saya ia tidak perlu dibuat secara komprehensif.
Cuma kita boleh buat audit untuk tambah perkara baik. Sebagai contoh, kalau satu-satu kemudahan memerlukan peruntukan menaik taraf atau tambah keperluan, barulah audit dilaksanakan.
Audit bukan semata-mata kewangan, sebaliknya untuk pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).

Apakah rumput yang sebenarnya sesuai untuk digunakan dalam bola sepak?
Sebenarnya rumput ini perkara subjektif, ia berbeza hidup dengan beberapa iklim. Kalau kita lihat, ada sesetengah rumput ditanam di negara empat musim. Cuaca dan iklim kita tidak sama.
Kalau mahu sebut dari segi kualiti, kita ada pilihan bergantung pada cara penjagaan dan selenggara.
Ada sesetengah spesies tertentu digunakan untuk latihan. Pasukan JDT pakai jenis ‘Zoysia’ sebab pasukan itu nak bawa perlawanan ke standard yang tinggi.
Kalau rumput jenis ‘Cow grass’ intensiti berbeza, sebab tekstur dan cara tumbuh lain berbanding rumput ‘Zoysia’ yang memberikan tempo permainan berbeza.
Pada saya pasukan JDT mahu pergi lebih jauh, sebab itu memerlukan rumput berkualiti tinggi. Jadi memilih sumber terbaik bergantung kepada keupayaan stakeholder. Tambahan pula JDT ada stadium dan padang latihan sendiri.

Negara manakah yang kita wajar contohi dalam aspek penjagaan padang?
Paling hampir kita boleh lihat Vietnam, Singapura dan Thailand. Tengok kualiti padang mereka dengan liga yang kompetitif. Kelab bola sepak di sana ada kemudahan padang dan stadium dengan memastikan penyelenggaraan baik.

TIADA KEPAKARAN
Adakah negara kekurangan tenaga kerja atau pakar dalam bidang seperti penjagaan rumput atau dalam aspek lebih teknikal?
Kita kekurangan pakar. Kalau kita ambil contoh negara maju dalam sukan bola sepak di Eropah, mereka meletakkan orang yang menjaga rumput dalam bidang profesional dan pakar, tidak macam di Malaysia.
Di negara kita, orang potong rumput dianggap kelas bawahan. Di negara Barat, contoh di Liga Perdana Inggeris (EPL), dia berjawatan tinggi dibayar kerana berpengalaman luas hanya untuk menjaga padang.
Malah, mereka diberi kebebasan untuk beri nasihat yang betul bagi memastikan pastikan padang dalam keadaan baik. Di luar negara kalau kita lihat jawatan penjaga padang diberi pengiktirafan dan dipandang tinggi berbanding di Malaysia ia tidak dilihat sebagai satu keutamaan.
Walaupun ada lepasan ijazah dalam bidang lanskap, peranan mereka hanya jaga padang di kelab golf. Ia tidak menjadi satu industri serius dan penting melainkan untuk jaga kelab-kelab golf berkenaan.

Adakah kualiti rumput kita gunakan ketinggalan zaman dan lapuk?
Kita tidak boleh cakap rumput ini lapuk atau tidak. Di Malaysia cara kerja dan cara penyelenggaraan sudah lama dan tidak diberi latihan sewajarnya.
Kalau kita mahu cakap lapuk pada rumput tidak tepat. Sebenarnya perlu juga didik pengunjung dengan mentaliti baik. Sampah tidak buang merata-rata.
Kalau ada padang bagus tapi perangai tidak bagus tidak guna juga.

Apakah cadangan tuan untuk pastikan semua kemudahan yang digunakan atlet profesional mempunyai kualiti padang yang baik?
Kita perlu mula dengan budaya kerja. Perlu ada kesepakatan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran secara bersama dengan kelab atau persatuan.
Sekarang mereka ikut kefahaman yang mereka boleh buat sahaja. Jika ada satu institusi yang boleh berkongsi di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi, kita boleh amalkan budaya baik dan jadi ikutan.
Pada saya kualiti rendah bukan sebab kemudahan tetapi budaya kerja. Maknanya pihak yang mengurus padang atau pengunjung perlu buat kerja dengan lebih teratur, guna dengan cara betul.
Kalau ada kemudahan bertaraf dunia tapi kebersihan tidak dijaga, pergi stadium tinggalkan sampah, ia berbalik kepada keadaan sekeliling.
Di Jepun, rakyatnya sayang pada padang. Mereka melaksanakan kerja dengan baik dan jaga kemudahan yang ada. Sampah dikutip oleh pengguna bukan pekerja stadium.
Kalau berlatih atau buat dril, mereka akan buat di luar padang. Apabila semua faham dengan peranan masing-masing dari A sampai Z, ia akan jadi satu budaya yang baik.
Kita tidak boleh cakap atau tuduh kepada pengurusan stadium semata-mata jika kualiti padang teruk.
Contohnya, baru-baru ini dalam acara kelayakan Piala Asia. Penganjur sepatutnya cadangkan satu lagi tempat berbeza untuk elakkan perlawanan berterusan yang akhirnya memberikan kesan kepada kualiti padang.

Adakah hanya padang atau banyak lagi kemudahan lain yang mempunyai kualiti rendah?
Kita belum ada mentaliti untuk menjaga padang secara serius. Kalau dalam industri bola sepak, walaupun ada liga profesional, kita boleh lihat jumlah padang serba lengkap yang kita ada. Perlu diingat jika kelab atau pasukan boleh bayar pemain ratusan ribu atau jutaan ringgit, mengapa untuk uruskan padang tiada peruntukan?
Kita masih bersusah payah untuk menyelesaikan perkara ini. Di Thailand, mereka sudah jauh tinggalkan kita.
Pasukan bola sepak ada padang latihan dan stadium sendiri. Sebenarnya mentaliti dan budaya penggunaan stadium masih belum di tahap membanggakan. Sebab itu saban tahun isu yang sama kerap berlaku. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×