RUNDINGAN damai antara kerajaan Thailand dengan kumpulan pemisah Pattani kembali berlangsung pada 11 Januari lalu di Kuala Lumpur.
Malaysia terus memainkan peranan sebagai pemudah cara rundingan. Hampir sembilan tahun Malaysia menjadi orang tengah yang diyakini dalam mencari damai di Pattani. Namun, kemajuan yang tercapai sangat perlahan.
Rundingan yang bermula pada Januari lalu belum menunjukkan kemajuan positif untuk melepasi tahap kemajuan bagi membolehkan ia bergerak ke fasa lebih kompleks. Malah setelah sembilan tahun, tiada pencapaian konkrit yang boleh kita ketengahkan sebagai kemajuan.
Ada beberapa parameter penting yang mesti ditangani bagi membolehkan rundingan tersebut bergerak ke fasa seterusnya. Pertama, keterangkuman. Malaysia telah merundingkan ikhtiar damai ini dengan pelbagai wakil gerakan pemisah. Terakhir, rundingan ini dilakukan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) atas sebab yang umum sangat maklum.
Namun, amatlah penting juga untuk kita menerima kenyataan bahawa tanpa penglibatan semua kumpulan pemisah, rundingan yang dilaksanakan adalah tempang. Kita mesti mencari formula untuk membawa semua kumpulan pemisah menjadi satu ketumbukan yang padu dalam rundingan.
Walaupun ini adalah situasi yang ideal, tetapi ia juga prasayarat kejayaan usaha damai ini. Kita mesti mengiktiraf peranan, sumbangan serta penglibatan semua kumpulan sama ada sebelum mahupun selepas 2013 dalam konflik Pattani ini.
Menafikan pelbagai ikhtiar rundingan damai secara formal mahupun tersembunyi oleh pelbagai pemegang taruh selama berpuluh-puluh tahun krisis ini berlangsung adalah rumus yang akan membantutkan kemajuan usaha damai yang diusahakan. Membangunkan kesepakatan dan muafakat antara semua kumpulan pemisah adalah sangat strategik dan utama walaupun ia sangat kompleks. Jika hanya mencari jalan yang liner, maka kesannya akan jadi sia-sia dan tidak berhasil.
FORMAL
Kedua, keberkesanan pemudah cara rundingan ini. Setelah dua tahun, Malaysia wajar menilai semula keupayaan pemudah caranya dan penglibatan pelbagai institusi formal dan tidak formal yang menyokong proses rundingan. Adakah kita meletakkan seorang yang benar-benar diyakini dan dipercayai oleh semua pihak dan boleh menghasilkan impak yang terlihat? Adakah beliau didukung dengan padu oleh semua kumpulan, agensi dan aktor rentas negara bagi membolehkan rundingan tersebut berjalan dengan lancar dan berkesan?
Ketiga, dalam setiap proses rundingan sebegini, amatlah penting untuk pelbagai pihak disokong oleh brain trust yang mampu memberikan konteks sejarah, perbandingan dengan konflik global lain serta pelbagai rumusan penyelidikan dan kajian yang sahih dan boleh menjadi pedoman dalam rundingan. Rundingan yang berjaya mesti disokong dengan idea bernas, maklumat sahih, kajian berwibawa dan nasihat tuntas. Pemerhatian selama sembilan tahun lepas tidak menunjukkan adanya brain trust yang menyokong segala proses usaha damai ini.
Keempat, sokongan antarabangsa juga penting dalam memastikan keberkesanan rundingan damai. Tanpa sokongan antarabangsa, Malaysia tidak akan mencapai kejayaan dalam ikhtiar ini. Malangnya sehingga kini, Malaysia tiada usaha untuk mendapatkan dukungan antarabangsa bagi membantunya.
Terakhir ialah consistency dan willpower Malaysia dan semua pihak lain dalam meneruskan rundingan ini. Rundingan seperti ini adalah ‘maraton’ yang panjang, ia tidak boleh terhenti-henti. Untuk membolehkannya berjaya, ia mesti dipacu dengan konsisten walau dalam keadaan rundingan yang sangat sukar sekali pun seperti sewaktu pandemik.
Usaha mencari damai tidak boleh tertangguh hanya kerana sempadan negara ditutup dan pertemuan fizikal tidak boleh berlaku. Teknologi tidak lagi boleh dikesampingkan dalam menjayakan rundingan berkesan. Hasil yang baik hanya akan terbit daripada ikhtiar berdaya tahan dan disokong dengan sumber yang wajar dan secukupnya. – UTUSAN
DR. Abdul Razak Ahmad ialah Pengarah dan Pengasas Bait Al Amanah










