PENUBUHAN Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sebagai pengasas berkait rapat dengan perjalanan penuh liku industri minyak sawit Malaysia menyambut ulang tahun ke-105 pada tahun ini.
Sejarah industri minyak sawit di negara ini bermula pada 1917 dengan pembukaan ladang kelapa sawit secara komersial yang pertama iaitu Ladang Tennamaran, Batang Berjuntai (kini Bestari Jaya) di Kuala Selangor. Sejak itu, ladang-ladang kelapa sawit terus berkembang terutama selepas penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada awal 1960-an.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermula pada 1971 menjadikan kelapa sawit sebagai komoditi utama dalam agenda membasmi kemiskinan bagi merapatkan jurang ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar. Harga kompetitif berbanding minyak sayuran lain dan kegunaannya yang pelbagai menjadikan minyak sawit Malaysia mendapat permintaan tinggi.
Perkembangan pesat perusahaan minyak sawit ini dilihat sebagai ‘ancaman’ kepada minyak sayuran lain seperti kacang soya, bunga matahari, biji sesawi dan jagung. Maka bermulalah persaingan tidak sihat.
Golongan atau kumpulan tertentu termasuk kumpulan hijau digunakan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk memburuk-burukan minyak sawit.
Kempen antiminyak sawit di Amerika Syarikat (AS) pada 1986 menunjukkan bagaimana agenda perdagangan berselindung di sebalik isu kesihatan. Persatuan Kacang Soya Amerika menyebarkan kononnya minyak sawit mengandungi lemak tepu tinggi yang meningkatkan risiko penyakit jantung.
ORANG UTAN
Malaysia berjaya menangkis dakwaan itu dengan mengemukakan bukti-bukti hasil daripada kajian-kajian saintifik oleh Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) di beberapa negara termasuk di AS. Kempen itu akhirnya dihentikan pada Ogos 1989.
Selepas serangan menerusi isu kesihatan tidak berkesan, kumpulan-kumpulan hijau yang dipercayai ditaja pihak-pihak tertentu menggunakan isu alam sekitar pula.
Mereka mengaitkan ladang-ladang kelapa sawit dengan kemusnahan hutan dan mengancam populasi hidupan liar terutama Orang Utan dan Gajah Borneo di Sabah.
Banyak maklumat yang disebarkan itu tidak tepat, ditokok tambah dan pukul rata.
Bagi melindungi industri minyak sawit, kerajaan menubuhkan Tabung Pemuliharaan Hidupan Liar Minyak Sawit Malaysia (MPOWCF) pada 2006 yang diuruskan oleh MPOC.
Pada 2020, MPOWCF dinaik taraf menjadi yayasan dan dinamakan MPOGCF. Penubuhan MPOGCF bertujuan membolehkan usaha-usaha pemuliharaan biodiversiti dan hidupan liar diberi keutamaan dan lebih berfokus bagi memastikan industri sawit Malaysia kekal mampan. MPOGCF sebagai entiti baharu memulakan operasi secara rasmi pada 1 April 2021.
Projek dan inisiatif pemuliharaan biodiversiti dan hidupan liar yang dimulakan oleh MPOC melalui MPOWCF telah diambil alih dan diteruskan oleh MPOGCF. Antaranya Program Konservasi Harimau Malaya dan Taman Perlindungan Gajah Borneo di Kinabatangan, Sabah serta penajaan Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah.
Usaha-usaha pemuliharaan biodiversiti dan hidupan liar ini perlu disebar luas untuk membersihkan imej negara dan membuktikan industri sawit adalah mampan.
Walaupun kita tahu serangan terhadap minyak sawit ini sebenarnya untuk melindungi kepentingan minyak sayuran lain tetapi ia berselindung di sebalik isu kesihatan dan alam sekitar.
Kerjasama pihak media amat diperlukan bagi melindungi dan memperkasakan industri minyak sawit yang menjadi penyumbang keempat terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – UTUSAN
PENULIS ialah Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).










