TEMPIAS gelombang pandemik sebelum ini turut meresahkan puluhan ribu penggiat industri kreatif termasuk nasib pengusaha pawagam yang hampir gulung tikar. Sejak September 2021, sektor industri kreatif semakin rancak. Pawagam kembali dibuka untuk mengembalikan rutin pembudayaan sinema. Sepertimana pengkarya filem yang teruja menunggu tarikh tayangan, begitu juga penonton ternanti-nanti untuk kembali memeriahkan pawagam.
Situasi semakin baik dan industri semakin pulih. Rekod tayangan cereka filem Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperlihatkan sekurang-kurangnya 18 filem telah terbit dan ditayangkan sehingga separuh pertama 2022.
Kami berkesempatan menonton Mat Kilau arahan Syamsul Yusof yang diterbitkan oleh Studio Kembara. Keterujaan kami bermula seawal pembelian tiket secara dalam talian. Melihat pada paparan pilihan kerusi di laman web, 80 peratus telah ditempah beberapa hari sebelum tarikh tayangan. Tanda pagar Mat Kilau menjadi sohor kini di media sosial lebih-lebih lagi apabila penerbit mengumumkan kutipan pada hari pertama tayangan mencecah RM1 juta ringgit.
Tiba hari tayangan, panggung seperti dijangkakan, penuh. Tidak ada gangguan sepanjang penontonan. Fokus penonton tertancap ke arah layar, teruja melihat imej-imej pahlawan ulung Pahang ini dijelmakan. Tayangan hampir dua jam diakhiri tepukan gemuruh penonton.
Reaksi dan apresiasi terhadap Mat Kilau terus tumbuh dan mekar di dunia digital. Tidak kurang juga kritikan-kritikan terhadap penceritaan dan lakon layar yang boleh dimurnikan lagi.
Era digital memperlihatkan bagaimana reaksi dan pendapat kedua dalam kalangan warga maya memberikan pengaruh hebat untuk membentuk budaya apresiasi filem. Terhasilnya video ulasan di platform TikTok, penciptaan mime menggunakan imej-imej dari filem Mat Kilau adalah suatu perkembangan apresiasi yang baik.
Pembikinan Mat Kilau bergelut dengan pelbagai halangan tersendiri. Pembangunan watak, kraf penceritaan dan mengimbangi fakta sejarah dengan jagat raya cipta merupakan sesuatu yang boleh menjadi perbincangan dalam kalangan penonton, malah dikembangkan menjadi wacana intelek oleh pengkaji sinema dan ahli akademik.
Ada persoalan ingin kami kemukakan, adakah pasukan produksi telah siap kajian atau memahami dengan mendalam berkaitan latar filem ini? Apatah lagi mengaitkan garapan filem berdasarkan kisah sejarah. Walaupun berinspirasikan kisah benar dan ingin menonjolkan hasrat yang amat besar untuk mengetengahkan kepahlawanan tokoh tersohor Mat Kilau, ada beberapa perihal yang sepatutnya ditelitikan oleh kumpulan produksi khususnya merujuk kepada latar tempat dan masyarakat serta kehadiran British di negeri yang makmur dan cukup terkenal sebagai lubuk emas ini.
PENINDASAN
Kami bagaimanapun amat berterima kasih dan menghargai usaha dibangkitkan oleh Syamsul dan pasukan produksi filem ini. Sekurang-kurangnya Syamsul dengan jelas dan berani mengetengahkan mesejnya berkaitan perjuangan bangsa terhadap penindasan kuasa asing. Namun, babak sewenang-wenang British membunuh penduduk kampung, kami rasakan agak keterlaluan dan tidak adil melihat sisi British menjadi sekejam ini.
Kami menanti juga babak Mat Kilau berunding dengan Sir Hugh Clifford dan babak ini sebenarnya amat penting menyerlahkan kebijaksanaan Mat Kilau dalam memimpin masyarakatnya ketika itu, termasuk memberikan jalan kepada British bagaimana boleh melaksanakan strategi dengan baik dan berkesan dan manfaat serta kebaikannya akan kembali kepada rakyat Pahang ketika itu, bukan semata-mata golongan tertentu sahaja.
Satu lagi yang kami ternanti-nanti mungkin lombong emas atau tembaga diwarisi oleh kegemilangan Pahang yang menjadikan negeri itu sebagai pengeluar emas utama di Semenanjung Tanah Melayu. Apabila visual dari udara menunjukkan kawasan penempatan British di Pahang dengan hanya sepetak dua lubuk emas, mungkin itu permulaan yang baharu untuk British memulakan lombong yang lebih besar selepas itu?
Babak di jeti Sungai Tembeling juga agak mendukacitakan kerana belum cukup kuat untuk membuktikan kejayaan Pahang sebagai lubuk rezeki bagi British. Babak di jeti sedikit melucukan kerana sungai di belakang lengang sahaja dan babak di jeti benar-benar jelas adalah babak untuk melengkapkan plot -plot filem ini.
Begitu juga persekitaran yang digambarkan masyarakat dalam suasana berjual beli, keadaan ini agak menyesakkan jiwa raga kerana kami yakin sekali British tidak begitu tamak untuk menghambatnya semua daripada rakyat jelata, barangkali pembesar yang melakukan sedikit masuk akal. British sudah tentu amat haloba kepada kejayaan hubungan terjalin antara pelombong-pelombong Cina dengan pembesar-pembesar yang memantau kemajuan lombong-lombong ini.
Ini antaranya perkongsian kami agar filem sedemikian sentiasa terus menjadi perhatian seluruh Keluarga Malaysia dan sudah tentu ada asas konkrit mengapa Mat Kilau muncul menjadi wira dalam membela masyarakatnya daripada penindasan. Memang benar filem ini berinspirasikan kisah sejarah yang benar dan produksi berhak untuk mengadaptasi lalu berkreasi dengan idea yang difikirkan wajar. Namun begitu, pihak-pihak seperti badan yang bertanggungjawab harus mempunyai panel yang cukup lunak dan pakar dalam mengangkat kisah sejarah menjadi filem.
Filem yang ditayangkan akan terus kekal sebagai sebuah filem. Jangka hayat filem bukan sahaja bergantung kepada tempoh tayangannya di pawagam. Selagi sesebuah filem terus diperkatakan, selagi itulah filem akan terus hidup. Kebangkitan budaya memberi reaksi dan apresiasi filem adalah petanda baik untuk membangunkan generasi yang menghargai kerja seni.
Syamsul mahu kita bangkit. Semangat kebangkitan pahlawan yang akhirnya divisualkan di layar perak ternyata berjaya mencetuskan kebangkitan. Pertama, kebangkitan semangat cintakan tanah air. Kedua, kebangkitan budaya apresiasi penontonan. Menonton Mat Kilau sememangnya membangkitkan 1,001 rasa yang secara tidak langsung mencetuskan reaksi dan polemik yang mengajak kita berfikir. – UTUSAN
AZRIE IZHAM HAMZAH ialah Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif & Filem, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).
RABI’AHTULADAWYAH MD. SALEH ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa & Pustaka (DBP).










