PENENTUAN kalah menang dalam mana-mana pilihan raya tidak hanya bergantung kepada segmen pengundi tertentu. Komponennya meliputi pengundi-pengundi tegar, luar dan atas pagar. Peratusan mewakili setiap kategori pengundi ini dikatakan lebih kurang sama, iaitu kira-kira 30 peratus yang bersifat penyokong sebati atau tegar terhadap parti tertentu dan selebihnya kalangan pengundi yang membuat pilihan berdasarkan daya tarikan politik semasa.
Sementara satu lagi kategori yang kerap memberi kejutan kecewa (upset) pada setiap pilihan raya umum (PRU) ialah pengundi luar. Kalangan mereka ini berada di luar kawasan tempat mengundi. Mereka sama ada berkhidmat, belajar atau berniaga di tempat lain (kebanyakannya di Lembah Klang) tetapi apabila tiba tarikh pilihan raya, akan berada di kampung asal bagi menunaikan hak sebagai pengundi.
Di Kelantan, Barisan Nasional (BN) sering membuat perhitungan beroleh kemenangan mudah untuk mengambil alih pemerintahan negeri pada setiap PRU. Ini terutama bagi PRU selepas 2000. Apa yang mengecewakan mereka ialah kepulangan pengundi luar yang menjadi faktor kekalahan di saat-saat akhir.
Bayangkan, setelah bekerja keras dengan segala perancangan dan strategi, kekalahan hanya datang dengan mudah, iaitu ekoran kembalinya pengundi-pengundi dari luar yang membawa 1,000 cerita, sama ada betul atau berbaur sentimen tertentu.
Kalangan pengundi luar ini dikatakan dengan mudah dapat mempengaruhi ibu bapa atau ahli keluarga, malah masyarakat sekitar di kampung asal mereka. Dibawa cerita-cerita berbentuk negatif yang kononnya terdapat pada persekitaran kehidupan di sekitar ibu negara dan Putrajaya.
Diceritakan mereka kononnya banyak yang tidak kena di sana sini. Catatan ini ditulis berdasarkan pandangan dan pengakuan banyak pihak bahawa faktor pengundi luar tidak boleh dipandang mudah. Ada yang menyebut, walaupun peratus mereka tidak besar, tetapi gelombang kepulangan mereka tetap membawa kesan.
Perihal pengundi luar yang boleh mempengaruhi keputusan PRU khususnya bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) ini membuatkan ada sesetengah pihak mengeluh kesal dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak adil. Mereka bermaksud, rakyat yang menjadi pemastautin tetap sentiasa merasa dan mengalami sendiri segala kekurangan dan kelemahan dari aspek memperoleh layanan kebajikan daripada kerajaan sedia ada dan memang bercadang mahu menukar kepada sebuah kerajaan yang diharap lebih efisien, namun kerap upset di saat akhir.
UNDI ADALAH RAHSIA
‘Tidak adil’ yang mereka maksudkan bahawa para pengundi terutama yang tinggal sekitar Lembah Klang dapat menikmati kehidupan segar dan selesa dengan pelbagai kemudahan prasarana serta persekitaran yang maju membangun, sedangkan rakyat yang menghuni negeri secara tetap sentiasa tercari-cari makna kemajuan dan pembangunan untuk dinikmati.
Barangkali perlu ada kaedah dan pendekatan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyampaikan mesej kepada pengundi-pengundi luar yang dimaksudkan supaya mereka dapat memberi pertimbangan dengan sebaik-baiknya dalam pemilihan pada setiap PRU. Mereka sepatutnya perlu mengambil kira kemudahan dan keselesaan untuk ibu bapa dan keluarga yang tinggal di kampung.
Bagi golongan yang dianggap pengundi atas pagar, buatlah ketetapan terbaik. Tidak salah bersikap sentiasa melihat dan memerhati. Malah, pada satu aspek, sikap mereka dihormati memandangkan mereka bersifat lebih objektif. Mereka tidak mudah taksub atau memberi sokongan tanpa mengambil kira isu atau perkembangan semasa.
Bagi kalangan pengundi tegar, pendirian mereka juga perlu dihormati. Mereka sentiasa meletakkan keyakinan tinggi terhadap parti yang mereka anuti. Namun, seperkara yang perlu mereka lihat (check back) ialah sama ada parti yang diberi sokongan padu selama ini benar-benar relevan atau misalnya, sekadar berdiri atas perjuangan retorik dan slogan?
Apa pun, undi adalah rahsia. Amalan demokrasi memberi kebebasan memilih. Pilihlah dengan jujur dan menepati keperluan. Jangan iringi pemilihan dengan marah, benci atau dendam. Elak terpesona dengan kata janji yang tidak mungkin tertunai. Kenali kemampuan sebenar yang boleh diterjemahkan oleh mana-mana parti atau calon.
PRU perlu membawa makna ke arah kehidupan maju dan menyenangkan semua. Belajar daripada pengalaman, sedar daripada kesilapan. Sejarah politik Malaysia pernah membawa rakyat menelusuri kehidupan maju, makmur, stabil dan harmoni. Kenapa tidak? Yang baik dihargai, yang buruk diketepi.
Lalu, tidak salahnya kiranya semua pengundi tidak kira dari pelbagai segmen dan kategori dapat disepadukan tumpuan dan pilihan mereka ke arah membina semula sebuah Malaysia yang makmur, sejahtera tanpa ada gangguan dan defisit keyakinan rakyat.
Suasana di Malaysia masih terbuka ruang untuk diperkemas demi kemakmuran dan kestabilan. Berilah peluang kepada kalangan mereka (parti atau calon) yang benar-benar layak dan berkemampuan. Berpolitik di Malaysia tidak perlu dilingkari agenda negatif seperti perkauman atau terlalu kedaerahan. Yang dicari adalah damai dan harmoni.
Beringat-ingat, ghairah mencari yang tiada, jangan sampai terlupa nikmat yang sudah tersedia. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air











