SUDAH lebih sebulan Ramadan meninggalkan kita. Beruntunglah bagi mereka yang dapat kekal istiqamah dalam beribadat terutama solat fardu jemaah, membaca al-Quran dan membanyakkan sedekah. Semua itu jika dapat dilakukan, barulah kita menjadi Muslim mukmin dan orang bertakwa.
Bagaimanapun, realitinya, masjid dan surau bagaikan hilang ‘serinya’ persis berlalunya Ramadan. Jika kita perhatikan masjid dan surau tidak lagi melimpah dengan jemaah pada solat fardu lima waktu. Jika melimpah pun, hanyalah ketika solat Jumaat, seminggu sekali. Solat fardu biasanya tidak sampai 10 saf.
Inilah yang mengundang kebimbangan. Ramai salah faham lalu melakukan ibadat bermusim. Umat Islam beribadat bukan kerana menjadi hamba Ramadan. Sebaliknya kerana kita adalah hamba Allah SWT. Buat kebaikan bukan bermusim tetapi sepatutnya pada setiap masa selagi hidup dikandung badan.
Mengulas hal ini, ulama kontemporari, Profesor Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata, jadilah kamu hamba-hamba Allah SWT dan jangan kami menjadi hamba Ramadan.
Ringkasnya ini bermaksud jangan berbuat baik hanya bermusim.
Orang yang tidak menunaikan rukun Islam terutamanya solat fardu adalah orang yang ‘sombong.’ Sombong kerana mengingkari perintah Allah, yang menciptakan sekalian makhluk. Sombong kerana berasakan kekayaan dan harta yang dimiliki itu adalah milik mutlaknya. Walhal semua itu adalah kurniaan Allah yang bersifat Maha Kaya dan istighna.
Ada yang dikurniakan dengan kuasa, pangkat dan kekayaan sudah ditipu oleh syaitan sehingga melalaikan hidup. Mereka lupa tujuan penciptaan kita. Ia ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (az-Zariyat: 56)
Ada yang apabila ada kuasa di tangan menjadi seperti Firaun yang hidup sezaman dengan Nabi Musa. Di satu tahap dalam pemerintahannya, Firaun percaya dia adalah tuhan di samping menolak agama Allah SWT yang dibawa oleh Nabi Musa.
Ada orang yang berjawatan tinggi tetapi tidak mahu sujud menyembah Allah. Golongan beginilah yang dikatakan persis ‘Firaun’ zaman moden.
Taksub akan kekuasaan dan keagungan pemerintahannya, Firaun percaya dia tidak akan mati, tiada siapa yang boleh menggantikannya dan akan memerintah selama-lamanya. Begitulah angkuhnya Firaun, namun akhirnya dicabut nyawanya dan hanya tinggal jasad yang bercerai daripada nyawanya.
Pada zamannya, Firaun dikenali sebagai penguasa yang kejam dan ditakuti. Tidak ada berani melawan perintahnya. Bahkan seperti diceritakan dalam al-Quran iaitu surah an-Nazi’at ayat 24, Firaun mengumpulkan seluruh rakyatnya kemudian dia mengaku sebagai tuhan paling tinggi dan tak ada satu pun yang berani membantah.
Bagi yang dikurniakan kekayaan melimpah ruah, ingatlah bahawa kesenangan itu juga adalah ujian daripada Allah.
Janganlah kita menjadi seperti Qarun yang hidup pada zaman Nabi Musa yang kisahnya dicatat dalam al-Quran untuk dijadikan pengajaran.
Qarun jika ditakrifkan di era moden ini adalah antara manusia terkaya di muka bumi ketika itu. Kekayaannya melimpah ruah sehingga ada dalam kalangan ahli sejarah menyifatkan kekayaannya sejauh mata memandang.
Disebabkan kekayaannya, Qarun sentiasa menunjukkan dirinya di khalayak ramai. Bahkan, begitu banyak kekayaan dimilikinya sampai anak kunci untuk menyimpan hartanya terpaksa dipikul oleh sejumlah orang yang kuat.
ANGGUR
Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri.” (al-Qasas: 76)
Namun akibat kaya dan berkuasa di samping keangkuhannya serta kesombongannya, Qarun dan kekayaan serta istananya ditelan bumi sebagai azab mahupun balasan atas sikap dan perlakuannya. Pengajarannya, usahlah kita sombong dan bongkak dengan kekuasaan, kekayaan mahupun harta.
Bagi yang kedekut dan takut bersedekah pula, ingatlah teguran Allah ke atas pemuda pemilik ladang anggur yang dibutakan akibat kenikmatan dunia hingga mengingkari hari kiamat.
Kisah ini disebutkan dalam surah al-Kahfi ayat 32 hingga ayat 43. Allah memberikan pelajaran akibat seseorang yang sombong dengan menimpakan musibah iaitu angin taufan yang menghancurkan ladangnya.
Pada suatu masa ada dua orang lelaki yang bersahabat sejak kecil. Walaupun bersahabat, kedua-duanya memiliki kehidupan berbeza.
Salah seorang adalah pemilik ladang atau si kaya dan satunya lagi hanya lelaki biasa atau si miskin.
Sayangnya, si kaya ini sombong disebabkan ia memiliki dua kebun anggur sangat luas. Kebun anggurnya dikelilingi pohon kurma yang lebat. Di tengah-tengahnya mengalir sungai yang airnya sangat jernih, indah dan kawasan kebun itu indah dipandang seakan-akan tak ingin lepas daripada pandangan.
Akibat keangkuhannya, si kaya itu berkata: “Aku kira hari kiamat tidak akan terjadi. Seandainya aku mati nanti pasti Allah akan menempatkanku di tempat yang lebih baik dari sekarang.”
Melihatkan rakannya yang kufur itu, lelaki yang miskin mengingatkan kepada si kaya agar segera bertaubat. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setetes air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna? (al-Kahfi: 37)
Si miskin juga menasihatkan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu “Masya-Allah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan.” (al-Kahfi: 39)
Diringkaskan cerita, Allah membinasakan harta milik si kaya yang sombong. Setelah kehilangan hartanya, barulah si kaya menyesal. “Dan harta kekayaannya dibinasakan, lalu ia membolak-balikkan kedua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang ia telah belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur itu roboh bersama para-paranya dan dia berkata, “Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Tuhanku.”
Jangan kita sombong dan bongkak dengan sedikit kemewahan, harta dan pangkat yang Allah kurniakan.
Ingatlah semua itu adalah pinjaman untuk menguji sejauh mana kita bersyukur atau sebaliknya. Hidup kita bukan menongkat dunia.
Kuasa tidak menjamin kelangsungan hidup kita. Kuasa juga bukan hak mutlak kita sampai bila-bila. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










