DBP sudah lama terjemah natural

DBP sudah lama terjemah natural

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAH ‘tegas’ Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempopularkan kembali perkataan ‘sejadi’ melalui laman sosialnya baru-baru ini bukan sahaja menarik perhatian ramai warganet. Bahkan, tindakan tersebut turut membongkar ‘kisah lama’ bahawa istilah itu sebenarnya sudah pun lama wujud sebagai terjemahan tepat untuk perkataan bahasa Inggeris, iaitu natural.

Menerusi hantaran berbentuk infografik dimuat naik agensi berkenaan melalui slot Peka Bahasa, ia menerangkan ayat tepat ‘bunyi sejadi’ daripada dua istilah Inggeris iaitu natural sound. Bagaimanapun, sebilangan besar netizen ternyata masih keliru dan ada turut mempersoalkan perkataan sejadi itu sebagai singkatan kepada semula jadi yang lazim digunakan selama ini.

“Adakah sejadi itu akronim semula jadi?” tanya Rashidi Shaari manakala seorang lagi dikenali Neni Ayuzie Jaafar memberi komen: “Baru kali pertama saya dengar perkataan sejadi.”

Semakan lanjut saya menerusi Kamus Dewan Perdana terbitan DBP mendapati istilah itu memang sedia wujud dan merupakan perkataan terbitan untuk jadi. Ia menerangkan sejadi sebagai adjektif atau kata sifat yang bermaksud bersifat semula jadi dengan contoh ayat diberi ialah: “Sifat sejadi tanah liat ialah lembut dan halus mudah dibentuk.”

SYARAK

Malahan, perkataan ini sebenarnya telah lama diterbitkan DBP menerusi Kamus Dewan Edisi Keempat pada 2005 yang biasanya digunakan sebagai rujukan pelajar sekolah dan universiti. Ironi, laman sesawang rasmi peristilahan popular atas talian DBP, Pusat Rujukan Persuratan Melayu tidak mengandungi perkataan ini kecuali disemak menerusi pautan Khidmat Nasihat.

Berdasarkan semakan, istilah ini sudah dimasukkan DBP pada 11 Mei 2011 sebagai frasa kerja perbuatan yang merujuk perkataan asal natural daripada bahasa Inggeris.

Uniknya, ia disahkan semula oleh DBP menerusi rekod pencerahan pada 2013, 2014, 2015, 2017 dan 2018 sebagai mengulas beberapa soalan orang awam mengenai perkataan sejadi.

Kesemua persoalan yang dibangkitkan itu rupa-rupanya berpunca daripada isu asal berhubung istilah ‘kemenjadian’ yang digunakan Kementerian Pendidikan pada sekitar 2010 lagi. Difahamkan, sejadi adalah lebih tuntas sekali gus cuba mengelak berlaku polemik bahasa dalam kalangan agamawan yang selama ini mempertikaikan perkataan semula jadi.

Umum sedia maklum, ramai tokoh Islam di negara ini keberatan menggunakan istilah semula jadi kerana beranggapan makhluk dicipta oleh Allah dan bukan terjadi dengan sendiri. Justeru, usaha DBP ‘memurnikan’ kembali perkataan sejadi dilihat netizen yang peka bahasa sebagai amat tepat dan memenuhi kehendak konsep syarak bagi sifat asas kejadian makhluk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN