Berjaya capai sasaran pendidikan DEB

Berjaya capai sasaran pendidikan DEB

ARSHAD AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA disebut nama Tun Dr. Arshad Ayub yang terlintas dalam fikiran kita ialah antara individu yang berjaya mencapai dan merealisasikan sasaran pendidikan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Arshad, 93, ialah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1965 hingga 1975 yang sekarang dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah melahirkan ramai golongan profesional dan kelas menengah bumiputera.

DEB diperkenalkan pada 1971 oleh Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Hubungan rapat kedua-dua mereka dapat ditonton dalam filem Tanda Putera pada 2013 yang dilakonkan oleh Rusdi Ramli (Abdul Razak) dan Fizz Fairuz (Arshad).

Allahyarham dilahirkan pada 1928 di Muar, Johor. Beliau memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Parit Keruma, Muar sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Kerajaan Muar.

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya, Singapura (1949-1951), Kolej Pertanian Serdang (1951) dan University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom (1954-1958).

Kali terakhir saya menemu bual Arshad adalah pada 26 Ogos 2021 di rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, tidak jauh dari kampus induk UiTM. Banglo yang didiami bersama isteri, Toh Puan Zaleha Arshad yang dikahwini sejak 62 tahun lalu.

Zaleha ketika berusia 23 tahun pernah menjadi wajah penghias poster mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan, Visit Happy Malaysia pada 1964 yang menjadi poster pelancongan terbaik dunia pada tahun itu.

Daripada temu bual itu, saya mendapati beliau masih mengikuti rapat perkembangan UiTM dan mempunyai semangat sama seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkobar-kobar untuk terus memberi sumbangan kepada negara walaupun usia sudah lebih sembilan dekad.

Kisah Allahyarham boleh dibaca dalam buku bertajuk Arshad Ayub: Menanam Pokok Tempat Berteduh terbitan 2018 yang menghimpunkan artikel tulisan bekas pelajar ITM dan mereka yang pernah mengenali beliau secara peribadi.

Agenda pembangunan pendidikan Arshad menjadi teras pentadbiran Abdul Razak dengan pemikiran yang merentasi zamannya kerana bukan sahaja mahukan pelajar berkemahiran dwibahasa malah tribahasa.

Meskipun dilahirkan dalam keluarga penoreh getah dan terpaksa berjalan kaki ke sekolah, Allahyarham yang merupakan anak sulung tidak menjadikan kekurangan itu termasuk kematian bapa terlalu awal sebagai penghalang untuk terus berusaha mengubah nasib hidupnya.

Penglibatan Arshad dalam pengurusan pendidikan bermula pada 1965 apabila dilantik sebagai Pengetua Kolej Perniagaan dan Pengajian Profesional Majlis Amanah Rakyat (Kolej Mara) yang kemudian dinaik taraf kepada ITM.

Di ITM, Arshad memperkenalkan kursus profesional seperti Pengurusan Perniagaan, Sebaran Am dan Pengurusan Hartanah. Beliau turut memperkenalkan program berkembar dan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran dan pengajaran.

NASIONALIS

Beliau menjadi individu yang memperkenalkan sistem pendidikan perakaunan (ACCA) dan undang-undang (LLB) di Malaysia.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam tulisannya dalam buku itu mendedahkan antara halangan dihadapi Allahyarham ialah pelajar diterima masuk ke ITM kebanyakannya dari luar bandar yang kurang keyakinan diri dan tidak mampu berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa Inggeris.

Tulis Johan lagi, sama seperti sekarang, ketika era 1960-an semangat nasionalis bahasa Melayu cukup kuat yang menuntut supaya bahasa kebangsaan menjadi pengantar di semua institusi pengajian tinggi (IPT).

Semangat itu amat bertentangan dengan prinsip yang dipegang oleh Arshad. Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid turut menulis ungkapan Arshad ketika itu: “I am here to save the Malay race, not the Malay language.”

Saya tidak pasti sama ada pendirian itu telah berubah berikutan usaha bersungguh-sungguh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memartabatkan bahasa Melayu sekarang.

Ketegasan itu, kemudiannya menimbulkan masalah yang menyebabkan khidmatnya di ITM tidak berpanjangan. Arshad mengakui sendiri kepada saya ketika ditemu bual mengenai hubungan dingin dengan Menteri Pendidikan ketika itu, Tun Abdul Rahman Ya’kub.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob pula menulis langkah drastik tokoh pendidikan itu untuk mengubah budaya pelajar bumiputera dari segi pemakanan.

“Di ITM saya dan pelajar dari pelbagai kursus pengajian diberi makan sandwic dan kadang-kadang nasi. Ini disebabkan Arshad inginkan supaya kami tidak berasa mengantuk sewaktu di dalam kelas.

“Teringat lagi saya pada kebengisan air mukanya. Kami amat takut walaupun untuk berselisih dengannya, takut-takut ditanya soalan yang tidak dapat kami jawab,” tulisnya.

Tambah Hashim, pada waktu makan tengah hari di kantin ITM, Arshad tidak suka melihat pelajar beratur panjang kena baginya masa yang terbuang itu lebih baik digunakan untuk belajar.

Sebenarnya banyak lagi kehebatan Arshad yang menerima Anugerah Merdeka 2013 bagi kategori pendidikan termasuk bertugas sebagai Ketua Setiausaha bagi tiga kementerian serta pernah dilantik sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia.

Arshad dianugerahkan gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2020 setelah bergelar Tan Sri selama 40 tahun yang dianugerahkan ayahanda Seri Paduka, Almarhum Sultan Ahmad Shah pada 1980.

Allahyarham selepas bersara menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan badan berkanun.

Pada akhir hayatnya, Allahyarham memberi tumpuan menguruskan inap desa, Rebungan Resort di Langkawi yang turut menerima kesan pandemik Covid-19.

Al-Fatihah. Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya