Bahasa: Yang gila siapa?

Bahasa: Yang gila siapa?

Gilakah kita jika hendak memperkukuh kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUDAH melontarkan kata ‘gila’ kepada orang yang hendak mengangkat bahasa negara ke mercu maruahnya yang hak. Soalnya, siapa yang gila? Gilakah Perdana Menteri kerana hendak memperkukuh kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara seperti ketetapan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan undang-undang lain? Gilakah beliau kerana menetapkan bahasa Melayu untuk urusan kerajaan di luar negara? Jika demikian, banyak pemimpin dunia yang gila kerana menggunakan bahasa kebangsaan mereka di forum antarabangsa.

Jaminan Ketua Setiausaha Negara untuk memastikan bahasa Melayu dilaksanakan dalam pentadbiran negara pun adakah tindakan gila? Jika begitu, gilalah penggubal Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam seperti dalam Perkara 152(6)?

Menurut lunas Islam, apabila orang yang didakwa itu tidak seperti yang didakwa, maka dakwaan itu berbalik kepada pihak yang mendakwa. Perdana Menteri pasti tidak gila kerana tindakan beliau memenuhi ungkapan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu ‘bahasa kebangsaan ibarat roh pada jasad.’ Orang yang berusaha mengisi dasar negara termasuk dasar bahasa kebangsaan pasti bukan orang gila.

Yang banyak wujud ialah orang yang tergila-gilakan kebudayaan Barat termasuk bahasanya. Soalnya, orang di dunia Barat sendiri tidak tergila-gilakan bahasa Inggeris.

Orang Jerman, orang Perancis, orang Belanda, orang Finland, orang Sepanyol dan bangsa Barat yang lain tetap siuman meraikan bahasa mereka dalam mengejar kemajuan. Orang di Asia Timur, iaitu orang Czhina, orang Korea dan orang Jepun pun begitu. Orang Russia, orang Turki, orang Iran pun demikian. Tidak pula semua mereka itu dikatakan gila.

Kegilaan memuja bahasa asing yang dianggap satu-satunya bahasa dunia itulah sikap gila. Pejuang bahasa tidak pernah gila kerana perjuangan itu tidak pernah menjadikan mereka memusuhi mana-mana bahasa lain. Setiap bahasa ada faedahnya tetapi mengutamakan bahasa negara menjadi kewajaran. Maka berhentilah daripada mendakwa orang yang memperjuangkan bahasa negara gila kerana khuatir pendakwa itulah yang sebenarnya gila bahasa dan budaya asing. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ialah Pengarah Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN