11 tahun derita perang, berbaloikah?

11 tahun derita perang, berbaloikah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA Mac 2011 sehingga kini, bumi Syria masih berada dalam ‘zon merah’, bergelut konflik yang tidak diketahui bila masanya akan berakhir.

Selama 11 tahun ini, ratusan nyawa terkorban. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan angka korban seramai 350,209 orang. Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) pula mendokumentasikan jumlah kematian 494,438 orang (sehingga Jun 2021).

Namun SOHR percaya, jumlah kematian melebihi 600,000 orang.

Habuan bom, tembakan dan konflik berdarah dilalui saban hari cukup menderitakan penduduk Syria yang sebelum perang dihuni 22 juta orang penduduk.

Separuh daripada angka itu terpaksa meninggalkan rumah mereka, hidup bergelandangan, lebih dua juta tinggal di khemah-khemah pelarian yang memiliki kemudahan asas cukup terhad. Menurut rekod, 6.8 juta pula menumpang teduh di negara luar terutama di Lebanon, Jordan dan Turkiye.

Memetik laporan PBB, sehingga Februari lalu, 14.6 juta penduduk di Syria memerlukan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan. Lebih 12 juta daripadanya bergelut untuk mendapatkan bekalan makanan mencukupi setiap hari, peningkatan 51 peratus berbanding 2019, dan setengah juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang kronik.

Kemelesetan ekonomi dan pandemik Covid-19 dalam dua tahun kebelakangan ini, mencengkam derita Syria, menyebabkan mata wang negara ini menjunam 80 peratus, harga barang pula melambung tinggi.

PBB menyebut, kadar kemiskinan mencapai 90 peratus.

Berdasarkan analisis satelit PBB, seluruh kawasan dan infrastruktur di Syira masih berbekas dengan kesan-kesan peperangan. Pelbagai kemudahan awam, khususnya hospital juga tidak mampu melayani orang ramai dengan baik. Belum lagi dikira berapa banyak tapak warisan dunia yang musnah terutama zaman para nabi.

Demikian kehidupan kelam di Syria, sebuah harga yang perlu dibayar lantaran cetusan konflik Mac 2011.

Kisah si anak kecil bernama Omran Daqneesh, gambarnya tular secara meluas dengan kepalanya berlumuran darah serta badan diselaputi debu ketika diselamatkan di Aleppo, merupakan antara jutaan cerita sedih yang cukup menangkap rasa kecewa dunia terhadap nilai-nilai kemanusiaan di sana.

Sebagai orang luar yang melihat Syria melalui kaca mata media asing, ada sesuatu yang perlu dilihat kembali, apakah Mac 2011 itu satu keperluan? Konfliknya cukup kompleks kerana melibatkan banyak, banyak dan banyak puak atau kumpulan atau ‘pemikir.’ Semuanya ada motif tersendiri. Namun, apa jua kehendaknya, apakah nilai-nilai kemanusiaan itu atau darah anak-anak yang mengalir terkorban menjadi taruhan memuaskan? Berbaloikah?

Sama juga di Libya atau Iraq. Berapa ramai yang sudah membuat pengakuan, rasa kecewa dan menyesal selepas ‘melakukan sesuatu’ sehingga tercetusnya konflik tak berkesudahan?

PERANG UKRAINE BURUKKAN KEADAAN

Dalam pada itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan ketika diajak berbicara mengenai keadaan semasa Syria membawa kepada perspektif kaitan perang di Ukraine dengan tahap kemiskinan di Syria.

“Sebelum perang Ukraine itu, hampir 90 peratus rakyat Syria berada di bawah paras kemiskinan dan hampir dua pertiga daripada rakyatnya bergantung kepada bantuan makanan daripada PBB dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan).

“Tetapi seperti juga tempat-tempat lain, Syria merasai peritnya bila berlaku perang Ukraine, dan juga dikatakan bekalan gandum dari Russia terhad dan terhenti. Walaupun dunia merasai keperitan bekalan gandum, saya melihat Syria lagi perit akibat perang di Ukraine,” jelasnya.

Menurut pandangan beliau, biarpun perang di Ukraine tidak akan mengubah kedudukan semasa tampuk pemerintahan Syria, tetapi ia memberi impak negatif cukup besar dan mendalam terhadap penduduk awam yang amat bergantung kepada misi kemanusiaan, bantuan bekalan makanan.

“Perang Ukraine menjadikan keadaan lebih buruk lagi,” katanya.

Begitulah manusia, perang seolah-olah menjadi satu kemestian biarpun yang ‘memakan’ deritanya adalah kita sesama manusia.

MISI KEMANUSIAAN MYCARE-ECONSAVE

Bercakap mengenai misi kemanusiaan, terbaharu MyCare dengan kerjasama Econsave berganding bahu melancarkan kempen kemanusiaan membantu pelarian di Syria.

Satu misi memasuki Syria menyasarkan bantuan untuk pembinaan sebuah sekolah bernilai RM1 juta bagi menampung keperluan anak-anak pelarian Syria. Selain itu misi akan menyampaikan bantuan makanan panas, pek makanan keluarga, pakaian kanak-kanak, peralatan pembelajaran, kerusi roda untuk mereka yang cacat anggota, pembinaan perigi air bersih, program akikah dan lain-lain bantuan di kem-kem pelarian dan hospital.

Misi Kemanusiaan ke Syria disertai oleh aktivis MyCare, Econsave serta media yang membuat liputan sepanjang misi.

Hulurkan keprihatinan anda dengan menyumbang ke tabung kemanusiaan Syria di tabung-tabung yang terletak di pintu keluar pasar raya Econsave di seluruh negara atau akaun MyCare iaitu CIMB Islamic 8602135592. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya