PONTIAN: Terkesan dengan hebahan di media sosial, Nur Hairani Husna Chairil Yazid, 19, telah meninggalkan kereta Proton Saga Maroon milik bapanya yang digunakan untuk `lari’ dari rumah pada waktu subuh, 24 April lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kereta bernombor pendaftaran SU 8020 J ditemui oleh orang awam di Dewan Orang Ramai Kampung Telok Kerang sekitar pukul 3 hingga 5 pagi ini.
Bagaimanapun katanya, kereta tersebut kosong dan kelibat gadis itu masih gagal dikesan.
“Namun, orang hilang (OH) belum ditemui dan tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Media melaporkan Nur Hairani Husna Chairil Yazid, 19, pelajar Kolej Komuniti Johor Bahru telah lari dari rumah keluarganya di TL 327-C, Lorong Haji Salim, Telok Kerang kerana enggan menyambung pelajaran.
Bapa gadis itui, Chairil Yazid Mohamad telah membuat laporan polis di Balai Polis Permas mengenai kehilangannya pada 1.45 petang, kelmarin.
Tambah Mohammad Shofee, memandangkan tiada sebarang unsur jenayah, kereta tersebut telah diserahkan kembali kepada Chairil Yazid Mohamad.
“ Kami akan meneruskan usaha mengesan Nur Hairani Husna dan meminta orang ramai membantu sekiranya mengetahui di mana dia berada,” ujarnya.
Sementara itu, Chairil Yazid Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pihak polis mengenai penemuan kereta Proton Saga itu dan memberitahu, tiada perselisihan berlaku antara mereka.
Dia menjangka Nur Hairani Husna berada di beberapa lokasi seperti Taman Adda Height, Taman Mount Austin dan Bandar Dato Onn, Johor Bahru seperti dimaklumkan oleh rakan-rakannya.
“Bagaimanapun, dia telah menghalang panggilan masuk daripada rakan-rakan setelah mereka cuba membantu mengesan di mana Nur Hairani Husna berada,” katanya.
Tambah Chairil Yazid, Nur Hairani Husna dipercayai mengambil wang tunai kira-kira RM300 milik ibunya ketika keluar dan beberapa lagi yang ada di dalam kereta.
Dia juga tidak menolak andaian kemungkinan ada pihak lain yang membawa Nur Hairani selepas kereta terbabit ditinggalkan.
“Saya hanya memintanya supaya meneruskan pelajaran yang kini di Tahap 2 Sijil Kemahiran dan tidak meninggalkan latihan pratikal yang sedang berjalan,” ujarnya lagi. – UTUSAN










