PADA 22 hingga 24 Mei ini, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu bakal dilangsungkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Ia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Simposium antarabangsa ini adalah anjuran Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama DBP; Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Simposium ini merupakan maklum balas kepada pengumuman Perdana Menteri dalam sidang Dewan Negara pada 23 Mac lalu mengenai hasrat kerajaan untuk memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu. Perdana Menteri menyebut, bahasa Melayu mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara-negara ASEAN. Justeru, beliau berkeyakinan bahawa suatu hari nanti bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN.
Seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa, kerajaan juga membuat keputusan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam negara dengan antara lainnya meminda Akta DBP 1959 bagi memberikan lebih kuasa kepada DBP.
Komitmen Ismail Sabri dalam memartabatkan bahasa Melayu tertonjol bila beliau menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan-ucapannya bersempena lawatan-lawatan rasmi ke negara-negara ASEAN malah Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Cadangan penganjuran simposium ini terhasil daripada perbincangan saya dengan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP merangkap Pengarah ATMA UKM, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan pada 27 Mac lalu mengenai keperluan untuk mendapatkan maklum balas rakyat ke atas cetusan idea dan gagasan Perdana Menteri ini. Berdasarkan pemerhatian kami, cetusan idea dan gagasan Perdana Menteri ini sebenarnya mendapat sokongan kuat daripada pelbagai lapisan rakyat termasuk bukan Melayu. Ini terbukti daripada pernyataan sokongan berterusan daripada mereka yang dinyatakan secara rasmi mahupun tidak rasmi melalui pelbagai saluran.
Hanya sanya terdapat sebahagian kecil pihak sesetengahnya tanpa berani mendedahkan nama yang menyuarakan tentangan ke atasnya melalui media-media tertentu dengan cuba memberikan gambaran seolah-olah mereka mewakili golongan majoriti, walhal ia tidak begitu. Ada yang membuat tohmahan liar bahawa cetusan idea dan gagasan ini kononnya dibuat kerana ketidakupayaan Perdana Menteri untuk berbahasa Inggeris dengan baik. Walhal fakta sebenarnya tidak begitu kerana Ismail Sabri seorang lulusan undang-undang, tidak mempunyai masalah sedemikian.
Sebaliknya seperti yang sering dinyatakan oleh beliau, kita tidak perlu malu ataupun kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa kerana kita perlu berasa bangga jika dapat memartabatkannya sebagai salah satu jati diri kita.
Apatah lagi bila usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa ini sebenarnya adalah selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri yang dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.
INTELEKTUAL
Sebab itulah difikirkan amat perlu untuk dianjurkan satu forum sebagai wahana bagi semua golongan rakyat menzahirkan maklum balas mereka ke atas hasrat kerajaan untuk memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu ini. Lebih penting lagi adalah untuk mendapatkan input daripada semua pemegang taruh termasuk golongan intelektual bagi mengenal pasti halangan-halangan yang ada bagi merealisasikan cetusan idea dan gagasan ini selain mengemukakan cadangan-cadangan mengatasinya dalam satu bentuk gerak-kerja yang lebih tersusun.
Tokoh penting di sebalik penganjuran simposium ini adalah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Nor Nazimah Hashim memberi sokongan penuh dan nasihat selain memandu perjalanannya sebaik sahaja cadangan mengenai penganjurannya disampaikan kepada beliau. Begitu juga Perdana Menteri sendiri yang turut menyokong penuh penganjuran simposium ini di mana beliau telah mencadangkan supaya dilibatkan sama tokoh-tokoh dari negara-negara ASEAN dan seluruh dunia serta diperluaskan lagi aktivitinya.
Akhirnya simposium ini berjaya menjadi satu simposium yang bersifat antarabangsa dengan penyertaan tokoh-tokoh bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari AS, Russia, Perancis, Jerman, Belanda, Australia, China, Korea Selatan, Uzbekistan, Azerbaijan, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja dan Filipina.
Tiga ucap utama adalah bertajuk Martabat Bahasa Kebangsaan, Strategi Mengangkat Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi ASEAN dan Pelan Tindakan Strategik Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.
15 sidang pula masing-masing menangani isu-isu berbeza. Antaranya Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21; Bahasa Melayu dalam Pelbagai Bidang Pendidikan; Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-undang serta Bahasa Melayu dan Ekonomi.
Seterusnya ialah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Diplomasi; Bahasa Melayu sebagai bahasa Supranasional dan Diaspora bahasa Melayu; Bahasa Melayu di Forum Antarabangsa; Bahasa Melayu Tunjang Peradaban Bangsa serta Bahasa Melayu dan Pembinaan Negara.
Ia diikuti oleh Pengembangan Bahasa Melayu Melalui Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi; Bahasa Melayu dan Pengurusan, Pengajian Melayu Antarabangsa; Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam Peningkatan Bahasa Melayu; Bahasa Melayu Pelestarian Kearifan Setempat serta Gagasan Bahasa Melayu: Dari Negara ke Serantau dan Antarabangsa.
Program lain ialah forum-forum bertajuk Dunia Melayu Dunia Islam dan Bahasa Melayu Menuju Globalisasi; Mesyuarat Meja Bulat Wakil-wakil ASEAN untuk Program Pengembangan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi; pameran, sayembara dan debat.
Tahniah diucapkan kepada seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di samping pihak lain yang bertungkus-lumus membuat persiapan dan membantu menjayakan simposium dalam waktu yang singkat, iaitu sejak mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Induk Simposium dilangsungkan pada 31 Mac lalu. Semoga simposium ini mampu menjadi satu titik penting dalam sejarah negara. – UTUSAN
DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.











