SEKURITI makanan sepatutnya ditangani serupa dengan ancaman keselamatan seperti dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan.
Yang saya maksudkan di sini adalah keadaan terdapat bekalan makanan mencukupi secara tetap. Makanan itu pula dapat dibeli dengan harga berpatutan, bernutrisi atau berada dalam kualiti yang baik.
Dunia hari ini sememangnya memerlukan buah fikiran mana-mana kerajaan yang kritis, lebih penting lagi kreatif dalam menangani isu dan masalah ekonomi. Sama seperti memastikan sekuriti makanan negara terus terjamin, meskipun hakikatnya rakyat amat bergantung kepada sumber makanan diiimport.
Kenapa kita perlu ‘jalan jauh’ sedangkan penyelesaiannya di depan mata dan cuma memerlukan pendekatan mudah dan berbaloi? Ambil contoh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Dalam usaha membantu penternak ayam, PKPS bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) membangunkan tapak projek ternakan lembu (NFC) terbengkalai di Gemas dengan tanaman jagung bijirin.
Projek dijangka dimulakan tahun ini. Buat permulaan, ia membabitkan kawasan seluas kira-kira 160 hektar daripada keseluruhan lebih 600 hektar.
Dalam hal ini, kerajaan sepatutnya memberi geran input pertanian kepada pengusaha ladang ternakan ayam berkenaan dan pemilik ladang jagung tersebut. Sekarang memang ada program aktiviti tambahan di Felda dan Felcra tetapi tidak cukup besar.
Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) menerusi Risda misalnya adalah untuk menggalakkan pekebun kecil berusaha menceburi bidang lain sebagai sumber pendapatan tambahan selain hasil tanaman komoditi. Tetapi peruntukannya amat sedikit. Had maksimum bantuan AET adalah RM20,000 bagi setiap keluarga pekebun kecil. Bagi penerima AET sebelum 2016, had maksimum hanya RM10,000.
Antara masalah dalam jaminan bekalan makanan mencukupi adalah kekurangan penggunaan teknologi dan pergantungan kepada beras sebagai makanan utama.
Demikian juga kekurangan modal dan industri sokongan bagi meningkatkan pengeluaran.
Bagi mengatasi masalah ini, satu dasar alternatif perlu dicadangkan seperti menggantikan atau menampung penggunaan beras kepada sumber-sumber lain seperti ubi, jagung dan pisang. Begitu juga pengeluaran dan kekurangan tanah boleh ditingkatkan melalui penggunaan teknologi sebagaimana di Jepun dan Korea Selatan.
Justeru, wajar kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk tujuan ini. Sepatutnya kerajaan menjadi pemain utama dalam industri ini bagi menjamin bekalan mencukupi dan harga terkawal. Ia untuk mengelak harga ditentukan oleh pemain industri makanan swasta yang sentiasa mengambil kesempatan mengawal pengeluaran.
Mesyuarat Kabinet sehari sebelum lawatan Perdana Menteri ke Jepun baru-baru ini yang memutuskan beberapa usaha mengatasi isu kekurangan bekalan makanan hanya pelan jangka pendek. Ia cuma meredakan sementara kebimbangan terhadap sekuriti makanan dunia yang meruncing waktu ini.
AYAM
Antara langkah-langkah diputuskan Kabinet adalah menghentikan eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini hingga harga dan pengeluaran kembali stabil; mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); memansuhkan permit import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.
Hakikatnya, kerajaan memeterai banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA) termasuk bahan pertanian dan makanan. FTA berkaitan bahan pertanian dan bekalan makanan kebanyakannya sifar tarif. Namun pelbagai rintangan dan halangan berlaku, salah satunya AP.
Persoalannya, siapa pemegang AP? Kerajaan melindungi pemegang AP atau melindungi rakyat? Bila isu ini timbul, AP dimansuhkan. Bagaimanapun masih ada lagi AP yang berkuat kuasa.
Menteri dan pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU) juga harus memikirkan memberi peruntukan atau geran berkaitan input pertanian. Harus peka terhadap perkara asas kepada rakyat. Daripada subsidi untuk mengekang kenaikan harga, lebih wajar memberikan peruntukan kepada input pertanian yang dapat mengawal harga.
Pemansuhan AP ayam juga tidak menyelesaikan masalah kerana tidak semestinya ayam import lebih murah daripada ayam tempatan. Kerajaan sepatutnya mengkaji isu sebenar di sebalik permasalahan ini. Salah mengenal pasti isu, salahlah solusi dan tindakan dibuat. Apakah menteri dan dua timbalannya tidak dapat merungkai isu ini atau ada udang di sebalik batu?
Sudah sampai masanya kerajaan menceburi secara langsung termasuk industri hiliran bagi mengawal rantaian bekalan makanan. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Felda, serta Felcra hendaklah mengusahakan sendiri makanan dan rantaian bekalan.
Peruntukan hendaklah disediakan oleh kerajaan. Tindakan ini lebih berkesan daripada memperuntukkan subsidi dalam usaha mengekang kenaikan harga. Dan kita sebenarnya lagi terkejut kerana estet padi hanya ada satu, iaitu di Seberang Perak. Gila!
Sebenarnya dasar sekuriti makanan sudah ada. Kita tahu cabaran-cabaran dan pelan mitigasinya, cuma perlu dilaksana dan dikuatkuasakan mengikut dasar sedia ada.
Adakah disebabkan kepentingan pihak tertentu menyebabkan dasar agromakanan negara terbantut atau terencat, sekali gus tidak dilaksanakan?
Banyak isu dikatakan menyelubungi MAFI waktu ini. Dasar ada, tetapi tidak buat.
Selain untuk memastikan industri makanan berdaya saing dan berkembang, isu tenaga kerja jangan sesekali dilupakan. Ini berikutan kemasukan pekerja asing yang perlahan disebabkan tindakan monopoli pihak-pihak berkepentingan.
Kepada menteri berkenaan, tolonglah ambil tindakan berdasarkan kepentingan negara. Jangan burukkan lagi keadaan. – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.











