TEMA sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA memberi gambaran cukup signifikan tentang fungsi dan peranan guru dalam proses kemenjadian murid berpaksikan penerapan elemen kesejahteraan di sekolah. Konsep Sekolahku SEJAHTERA yang diumumkan Kementerian Pendidikan sebelum ini menerapkan 14 elemen nilai kehidupan secara semula jadi kepada murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.
Kesemua elemen itu dirangka untuk diterapkan seawal prasekolah dan diteruskan sehingga sekolah menengah untuk dijadikan amalan dalam kehidupan murid baik di dalam mahupun luar sekolah. Secara umumnya, konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.
Ironinya, kejayaan konsep ini bergantung sepenuhnya kepada peranan dan komitmen para guru yang perlu menerapkannya secara santai dan semula jadi dalam sesi PdP.
Justeru, tugas guru dilihat kian mencabar kerana bukan sahaja kena fokus kepada apa yang ada dalam buku teks tetapi perlu juga bijak mengadun sesuatu mata pelajaran bersama mana-mana 14 elemen tersebut yang difikirkan relevan dan wajar diterapkan kepada murid. Pada akhirnya kita percaya jika perkara ini dapat dilaksanakan dengan baik, negara dapat mencapai matlamat kemenjadian murid iaitu dididik secara holistik dalam pengurusan sekolah yang cekap, berupaya mencapai potensi diri sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.
Sudah tentu ia juga sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam melahirkan murid yang mempunyai kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, berpengetahuan, beretika dan berpaksikan nilai-nilai kerohanian serta mempunyai identiti nasional dan jati diri yang tinggi.
Maka dalam menuntut guru memainkan peranan seperti ini, seeloknya kita juga wajar sama-sama melipatgandakan inisiatif bagi meningkatkan lagi aspek kesejahteraan dan kebajikan para guru. Jujurnya, tugas guru pada ketika ini semakin mencabar dan kompleks terutama sejak penularan wabak Covid-19 yang mengganggu pengoperasian sekolah serta proses PdP sehingga terpaksa dilaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Setelah sesi persekolahan dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan kehadiran murid secara fizikal, guru kini perlu menilai tahap prestasi dan keciciran pelajaran murid sepanjang pelaksanaan PdPR sebelum ini. Dalam hal ini, kita perlu memastikan guru tidak tertekan atau dibebani dengan pelbagai tugasan lain sehingga boleh mengganggu fokus mereka dalam sesi PdP.
Hakikatnya, kita perlu menilai dan meneliti apa sebenarnya kayu ukur yang boleh memberikan gambaran sebenar tahap kesejahteraan seorang guru. Hal ini sangat penting untuk dibincangkan kerana kita tidak mahu wujud keadaan di mana guru sudah tidak seronok lagi dalam melaksanakan sesi PdP disebabkan pelbagai faktor sampingan.
Oleh kerana guru diangkat dan diiktiraf sebagai tunjang, maka sudah tiba masanya kerajaan memberikan perhatian yang lebih serius kepada aspek kesejahteraan guru dan sebagai permulaan adalah dicadangkan diwujudkan Indeks Kesejahteraan Guru (IKG). Kementerian perlu membangunkan IKG untuk mengukur secara terperinci tahap kesejahteraan guru dari pelbagai perspektif seperti kepuasan bekerja, pengurusan tekanan serta kadar beban tugas, pemeliharaan kebajikan termasuk dalam konteks laluan kerjaya dan kenaikan pangkat serta penyediaan kemudahan dan infrastruktur untuk membantu guru melaksanakan tugas dengan berkesan.
Ini adalah antara indikator penting perlu diukur kerana menjadi elemen yang sering menghantui para guru sekian lama. Misalnya, walaupun dalam Belanjawan 2022 kerajaan bersetuju untuk membayar Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru sebagai menghargai jasa mereka menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid semasa tempoh pandemik, namun adakah ia mencukupi? Harus diingat, guru masih perlu membeli sendiri pelbagai keperluan untuk membantu proses PdP menggunakan duit gaji mereka. Antaranya kertas A4, peralatan menulis hinggalah perkara yang agak besar seperti katrij dakwat mesin pencetak, mesin pencetak dan komputer.
Isu seperti ini perlu diberi perhatian yang serius kerana sangat berkait rapat dengan aspek kesejahteraan para guru. Jujurnya, kita tidak mahu profesion perguruan dilihat tidak mesra guru iaitu tidak mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan warga pendidik sehingga ramai yang mula bersara awal kerana tertekan. Kita khuatir jika keadaan seperti ini berterusan, minat rakyat kita untuk menjadi guru akan semakin berkurangan dan jangan hairan jika suatu hari nanti sudah tidak ada orang lagi yang mahu menjadi guru atau kerjaya guru menjadi pilihan terakhir.
Jujurnya, kesejahteraan dan kebajikan guru perlu dijadikan agenda utama dalam mewujudkan ekosistem sekolah yang sejahtera sekali gus menjayakan konsep Sekolahku SEJAHTERA. Kita yakin kesejahteraan guru akan menjadi faktor penting yang menyumbang kepada kesejahteraan dan kemenjadian murid.
Semoga kementerian dapat membangunkan IKG dengan segera supaya boleh mengetahui tahap sebenar kesejahteraan guru.
Selamat Hari Guru kepada semua guru dan terima kasih di atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan yang dicurahkan selama ini dalam membentuk dan mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna. – UTUSAN
PENULIS ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang dan penganalisis isu semasa.











