PADA minggu ini, perhatian dunia tertumpu kepada kota raya Barcelona di Sepanyol. Kebetulan serentak dengan sambutan Hari Guru, termasuk pensyarah yang tidak lain tidak bukan juga guru pada hakikatnya. Kota raya tersebut terkenal sedunia melalui bola sepak yang diminati jutaan penyokong.
Kali ini mereka mengalih pandangan kepada pendidikan khususnya pendidikan tinggi. Anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Persidangan Pendidikan Tinggi Dunia (WHEC) 2022 merupakan kali ketiga pendidikan tinggi disemak semula secara besar-besar dengan hasrat memugar asas serta prinsip pendidikan yang mana jelas terpesong daripada matlamat asalnya.
Ia didesaki rebakan jangkitan Covid-19 serta pandemik yang masih belum reda sepenuhnya. Ini belum lagi mengambil kira pelbagai masalah alamiah yang kini menyelubungi masa hadapan dunia serta seluruh kehidupan semula jadi yang menghuninya. Sekali gus mencakupi setiap satu daripadanya, malah banyak mendepani ancaman kepupusan secara berleluasa. Hal ini dikenali sebagai sixth mass extinction yang didakwa sudah pun bermula sejak sedekad lalu.
NADI MASA HADAPAN
Namun dunia tidak mempedulikannya termasuk dunia pendidikan yang sepatutnya menjadi nadi serta isyarat terawal sejagat tentang masa hadapan untuk semua. Dan turut segara bertindak sebagai penyelamat atau sekurang-kurang menyempurnakan amanah Ilahi sebagai khalifah yang patuh menjaga segala kejadian, anugerah serta nikmat yang memberkatinya.
Namun, ini tidak berlaku sebaliknya apabila sejenis makhluk yang tidak kelihatan mata kasar mula mengganas dan meragut jutaan nyawa tidak berdosa seantero.
Keupayaan manusia melawannya kelihatan begitu lesu sekali dan tidak terdaya mengekalkan keberadaannya di muka bumi ini. Walaupun mereka sering mendabik dada dengan pelbagai kejayaan itu dan ini, ilmu pelbagai rupa dan warna, pada hakikatnya mereka gagal mempersiapkan diri untuk kesejahteraan generasi mendatang.
Pendek kata, mereka ketandusan sebagai pewaris alam sekitar yang seimbang lagi harmonis fitrahnya. Bertentangan pula dengan naluri manusia yang dihembus roh ke dalam jiwa raganya sebagai insan sejahtera yang membawa serta menyebar risalah Tuhan ke seluruh alam semesta.
PENDIDIKAN DAN ROH
Akibatnya, dunia kini punah di tangan manusia tatkala pendidikan tidak lagi berpandukan roh kudus tersebut. Bahkan mula menjadi sumber pemusnah pelbagai aspek.
Terkini, soal krisis iklim dan pemanasan suhu muka bumi yang semakin ‘mendidih’ hari demi hari, malah detik demi detik. Jika takat didih ini dilampaui sekadar dua darjah Celsius sahaja. perubahan besar-besaran yang teruk akan tercetus dan tidak akan dapat dipulihkan lagi.
Maka kepupusan makhluk yang dijangka terus berlangsung tidak terkecuali manusia itu sendiri. Mereka memasuki suatu era baharu bergelar Anthropocene di mana manusia mula merungkai ketamadunan berkurun lamanya sehingga nilai keseimbangan serta keharmonian baik bersama alam sekitar mula kucar-kacir, begitu juga sesama manusia, mahupun dengan fitrahnya sendiri, apatah lagi dengan Pencipta Yang Esa.
Dengan kata lain, pendidikan semasa sudah sesat jalan angkara kedurjanaan ilmu yang tidak lagi berhala tuju dengan tepat dari kaca mata Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), yakni manusia tidak lagi beroleh ‘kesejahteraan diri’ melalui pendidikan yang dihidangkan.
WHEC 2022
Inilah antara isu utama yang cuba digarap oleh para peserta dan pakar di WHEC 2022, Barcelona dari 16 hingga 20 Mei ini. Kosa kata baharu, socio-emotional intelligence, well being, wellness, spirituality, indigenous wisdom serta pelbagai lagi mula muncul untuk menzahirkan ‘insan sejahtera’, bukan ‘modal insan’ yang kontang kesejahteraannya mengikut perspektif FPK yang jitu.
Bukan juga tafsiran sembarangan atau sesuka hati bagaikan suatu slogan politik atau ekonomi untuk yang cukup cetek kerana kefahaman pendidikan masih dinodai oleh faktor ‘kebolehpasaran’ berserta angka-angka petunjuk utama prestasi (KPI) dan bercanggah dengan faktor ‘kebolehhidupan’ beteraskan nilai-nilai yang dititip erat oleh FPK berpaksikan keseimbangan serta keharmonian sejajar kepatuhan dan ketaatan kepada Tuhan. Bukannya teori neoliberalisme tentang modal insan yang menyesatkan sama sekali.
Natijahnya, pendidikan pascapandemik bukan semata-mata untuk mencari ‘kemewahan hidup’ tetapi lebih penting lagi untuk ‘melunaskan kesejahteraan hidup’ yang belum tentu dapat diselesaikan dengan kemewahan wang ringgit semata-mata sepertimana yang tertonjol dengan amat jelas sekali melalui pelbagai peristiwa tragedi pandemik di semua peringkat dan segenap pelosok.
Mahu tidak mahu, tibalah masanya untuk bertindak berani terutama sekali bagi anak muda yang masih di bangku sekolah serta menghadapi pelbagai ketidaktentuan masa hadapan. Apalagi dihimpit dengan ancaman kesihatan mental serta roh dan emosi lantas mencabar ‘kebolehhidupan’ segenerasi yang kebelakangan ini menjadi lebih sengsara, bukan sejahtera.
Sebabnya, pendidikan hanya berfokus kepada asas-asas sempit modal insan walaupun terpaksa mengandaikan nilai murni keinsanan termasuk aspek mental, rohani serta emosi sejak begitu lama seperti diselongkari Covid-19. Dengan lain perkataan, formula kebolehpasaran tidak lagi sesuai dengan masa hadapan yang pantas, menolak sama sekali prinsip-prinsip yang mempertaruhkan pendidikan sebagai suatu komoditi yang boleh dijual beli bagi meraih keuntungan material semata.
Serentak melayani usaha dangkal ranking rekaan syarikat swasta umpama QS dan sebagainya, begitu juga ura-ura untuk meningkatkan dana dalam menampung tujuan ini. Sepertimana di Barcelona, semua asasnya kini diperbahas semula agar kerangka memanusiawikan pendidikan untuk meletakkan sejahtera di tempat tertinggi dapat disempurnakan, bukan sekadar nyanyian dan laungan retorik tanpa rohani.
Maksudnya, para pendidik mesti mampu lagi berani menukar langkah dan kerangka seperti para pemain pasukan Barcelona yang begitu licik dalam mencari kejayaan sesuai dengan cabaran semasa selaku kumpulan benar-benar profesional yang kental rohnya. Maka, barulah mereka dapat menunjangi sejahtera sepenuhnya. Tanpa roh ini, pasti tidak akan berlaku. Tunggu sahajalah. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











