Mana pergi sumpah jawatan wallahi… - Utusan Malaysia

Mana pergi sumpah jawatan wallahi…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABINET yang sentiasa bergolak atau dicetuskan dengan masalah anggotanya bertukar parti hanya menampakkan seolah-olah macam ‘sarang kerengga’. Risikonya tentu menyebabkan kerajaan itu gawat kerana tidak boleh buat keputusan yang solid. Hal ini mesti dipandang serius oleh pemimpin yang tinggi wibawanya.

Tambah merisaukan lagi jika sebahagian pengundi sekarang tidak berpenghulukan rule of law. Nilai itu nampaknya belum lagi tertanam dalam kalangan masyarakat Malaysia, khasnya orang Melayu. Kuncinya – barang siapa yang menolak terima duit, merekalah sebenarnya rakyat sebenar.

Itu ‘santan kelapa’nya. Kalau Kabinet hendak survive, ia mesti letakkan individu yang tidak berkepentingan politik tinggi. Kalau tidak, bergolaklah sentiasa. Dalam keadaan hari ini sehinggalah Parlimen dibubar yang tidak ketahuan bila tarikhnya, harus diusahakan oleh kerajaan yang berkuasa dalam konteks “sudah terkesankah manifesto dalam rancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tempoh hari”?

Katalah skalanya melebihi 60 atau 70 peratus. Misalnya transformasi Parlimen telah dilaksanakan separuh jalan. Kemudian, soal lompat parti. Ketiga, perjanjian dengan para pembangkang. Dan keempatnya, bagaimana kedudukan Peguam Negara dengan kes-kes berprofil tinggi? Itu harus dijawab.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Zuraida Kamaruddin pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di Istana Negara pada 30 Ogos tahun lalu. – FB ZURAIDA KAMARUDDIN

SEPARUH JALAN

Jika sudah separuh jalan semua itu, Perdana Menteri boleh menyatakan “oleh kerana perkara itu belum selesai, saya berharap kerajaan ini harus diteruskan”. Maksudnya, kerja-kerja PM diteruskannya. Di wisel penamat, Kabinet berjaya membentuk satu kumpulan yang kuat. Itu lunasnya.

Dalam hal lompat parti yang sampai sekarang belum ditemukan titik noktahnya, mungkinkah tidak akan ada yang bersetuju dengan rang undang-undang antilompat parti ini? Bukankah Perkara 10 Perlembagaan kita menjamin hak seseorang untuk sertai mana-mana pertubuhan? Kalau hendak dibuat juga, pindaan ke atas Perkara 10 mesti dibuat.

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi. Kalau diperkenal satu akta baharu pun, akta itu tertakluk kepada Perkara 10. Perkara 10 tetap mengatasi mana-mana undang-undang kecil. Dan bagaimana sudahnya nanti Kabinet jika ada ahli Parlimen lain turut ikut jejak Zuraida Kamaruddin yang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masuk Parti Bangsa Malaysia (PBM)?

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimana? Kalau turut mahu ikut sertai Zuraida, jawabnya ‘yang mengikut itu’ turut daif. Itu maknanya dia ‘berpenghulukan’ Zuraida, padahal Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi peluang keemasan kepada kedua-duanya. Seorang jadi menteri kanan.

Dari tak pernah jadi menteri, tiba-tiba jadi menteri kanan pula, cuba fikir-fikirkan. Yang keduanya, Zuraida ‘lantang’ serta kelihatannya tidak tetap pendirian. Banyak lompat sini, lompat sana.

Dan Zuraida dilihat sebagai insan yang tidak suka berketuakan seseorang. Macam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pun, apa yang Anwar tak tolong dia? Maka adakah wajar kita tolak mana-mana pemimpin ‘yang ligat tak tentu arah’ ini? Pengundi Ampang perlu teliti hal ini dalam waktu terdekat.

Muhyiddin ambil dua orang ini sebagai menteri dan menteri kanan sedangkan orang Bersatu cukup marah kerana kedua-duanya masuk Bersatu dan kerajaan ‘melalui tingkap, bukannya pintu’ terus jadi penghulu. Dari segi sumbangan pada parti, sesetengah khidmat tak nampak pula berkesan.

Tindakan Zuraida keluar Bersatu mengesahkan apa yang dinilai orang Bersatu selama ini – hanya jadikan Bersatu ‘batu loncatan’. Gunakan tangga nak naik ke atas, kemudian buang tangga kerana hendak buat parti baharu. Dan sebenarnya bukanlah mudah untuk mana-mana parti baharu menang pilihan raya. Tengok Bersatu sendiri pun ‘koyak’.

Dalam menjelaskan semua ini, hairannya mengapa Muhyiddin tidak mahu gunakan media untuk buat penjelasan? Ada kenyataannya keluar dalam sehari dua ini, tapi kebanyakannya bertulis (kenyataan akhbar).

GETIR

Kestabilan politik Malaysia hari ini cukup getir. Padahal penting diperkuatkan demi mengimbau pelaburan yang banyak. Politik yang goyah mengakibatkan penanam modal tidak ada konfiden.

Terus terang cakap, dengan Kabinet tidak ada dasar sekuriti makanan dan ada menteri ‘tak reti bab pertanian’ serta tidak ada dasar ekonomi pelaburan yang jelas, inilah semua ramuan yang akan menyegerakan PRU15.

Dan kalau Kabinet dirombak, bermakna PRU15 lewatlah lagi. Adakah pula sampai terpaksa rombak Kabinet jika nak survive? Dan bermaksud Zuraida harus terima realiti ‘ditendang keluar’ jika betul-betul ikut falsafah demokrasi ala Westminster yang diamalkan kita di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Yang kita bimbang lagi sekiranya hampir semua menteri tak ingat lagi sumpah jawatan. Jika benar, ia cukup mendukacitakan. Kalau dia tak lupa sumpah jawatan, dia takkan berhenti (letak jawatan) sebab hormat pada perlembagaan.

Bukankah kena lafazkan wallahi, wabillahi, wattallahi waktu terima jawatan? Lafaz yang bukan kecil anak perkataan itu. Bahkan, sebelum dia berhenti, dia kena ada alasan-alasan yang jelas dan besar. Ini dia mesti hurai. Moga-moga kalangan ahli Kabinet jangan ada lagi macam orang ini yang tolak ke tepi sahaja apa yang telah disumpahkan.

Adakah pelaku lompat parti atau yang buat onar ini akan dihukum oleh pengundi? Sukar untuk temukan jawapan yang bersih kala ini. Elok jangan lagi cakap “oh! rakyat akan hukum si polan, pengundi akan tunjukkan dia jalan keluar”.

Sebab barangkali kumpulan pengundi tertentu itulah ‘penyangak besar’. Diberi RM10, RM20 atau RM150, kemudian hanyut, padam. Yang kita hari ini amat risau kalau-kalau ada kumpulan besar masyarakat pengundi jadi ‘hantu’ dalam PRU nanti. Mana orang atau parti yang ‘bagi lebih’, dia berbondong-bondong ke situ.

Dia ambil duit dan tak kisah lagi sama ada pemimpin itu baik atau tidak. Tapi berbeza dengan wakil rakyat yang selalu menampakkan diri berbuat perkara baik di kawasannya. Pengundi tentunya tak kisah terimanya kembali.

Kedudukan sipi-sipi kerajaan yang berkuasa hari ini cuma dibezakan dengan pembangkang satu dua kerusi menyebabkan aura PRU15 makin terasa. Ya, salahkan diri sendiri yang memandang politik kedudukan dan parti daripada menjaga hal ehwal rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN