APABILA tiba abad ke-21, aspek status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini tidak lagi dipersoalkan. Namun, banyak persoalan yang wujud dalam abad ke-20 ikut terbawa ke abad ke-21. Salah satu aspek penting ialah sikap terhadap bahasa kebangsaan itu sendiri.
Walaupun tidak timbul lagi persoalan penggunaan bahasa Melayu di Parlimen, tidak demikian halnya di mahkamah. Walaupun tidak timbul lagi persoalan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian, namun beberapa dasar seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan dasar dwibahasa tetap diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan.
Bahasa Melayu dilaungkan dengan kuatnya sebagai bahasa utama negara, namun banyak pihak termasuk pucuk pimpinan negara dan golongan terpelajar masih lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi.
Dengan kata lain, banyak persoalan abad ke-20 kekal menjadi isu dan cabaran pada abad ke-21. Di samping itu, wujud pula isu dan cabaran bahasa baharu yang timbul dalam abad ke-21 yang perlu juga ditangani.
Salah satu cabaran besar yang dihadapi ialah sikap terhadap bahasa Melayu. Walaupun wujud penerimaan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sikap pucuk pimpinan dan sebahagian besar rakyat adalah sebaliknya. Keadaan ini menghambat kejayaan pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan.
Mengikut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (1994), dasar bahasa di negara ini bermula dengan idealisme, iaitu idealisme untuk menyaksikan satu rupa bangsa yang bersatu, idealisme untuk memupuk ciri-ciri pengenalan yang relatif seragam, dan idealisme untuk menobatkan bahasa Melayu sebagai sarana komunikasi yang berkesan dalam sektor-sektor penting negara.
Dengan kata lain, konsep idealisme atau cita-cita membentuk rupa bangsa yang memiliki ciri pengenalan yang sama amatlah penting.
Ini selari dengan pandangan Le Page (1964) yang mengatakan bahawa bahasa kebangsaan menjadi salah satu lambang negara yang baru merdeka, sebagaimana lagu kebangsaan, bendera kebangsaan, pakaian kebangsaan dan ciri-ciri lain yang diketengahkan untuk menonjolkan suasana kedaulatan sesebuah negara baharu, sekali gus menimbulkan rasa persatuan dalam kalangan rakyat jelata.
Dalam konteks ini, dua lagi konsep perlu ditimbulkan kerana pertalian yang amat rapat, iaitu kesetiaan bahasa dan perasaan bangga terhadap bahasa kebangsaan.
Kesetiaan bahasa bermaksud rasa setia kepada bahasa sehingga bersedia, bahkan mahu menggunakan bahasa itu pada setiap waktu dan peluang. Kesetiaan kepada bahasa kebangsaan ialah sikap bersedia menggunakan bahasa tersebut dalam semua situasi rasmi dan kebangsaan, baik di dalam mahupun di luar negara.
Dalam konteks negara ini, kesetiaan kepada bahasa kebangsaan menjadi sebahagian daripada ramuan pembinaan jati diri bangsa kita. Demikian juga kesetiaan bahasa amat rapat kaitannya dengan rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan sendiri.
Rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan pula ialah sikap tidak malu, bahkan sangat-sangat mahu menggunakan bahasa kebangsaan dalam setiap situasi yang relevan, baik di dalam mahupun di luar negara.
MEGAH
Orang Perancis misalnya, terkenal dengan rasa bangga dan kesetiaan bahasa mereka dan terang-terang menolak penggunaan bahasa lain terutama bahasa Inggeris. Jepun, China dan Korea, tiga buah negara yang berjaya sangat menghormati bahasa kebangsaan masing-masing. Mereka tidak ragu-ragu menggunakan bahasa kebangsaan dalam konteks antarabangsa.
Aspek sikap ini merupakan satu isu besar di Malaysia terutama dalam kalangan pucuk pimpinan dan golongan atasan. Kebanyakan mereka, baik orang Melayu mahupun bukan Melayu tidak mempunyai sikap rasa bangga dan rasa setia kepada bahasa kebangsaan sebaliknya lebih megah dengan penggunaan bahasa Inggeris.
Alhamdulillah, baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seorang menteri Kabinet lain memulakan langkah dengan menggunakan bahasa Melayu dalam arena antarabangsa. Mereka benar-benar memperlihatkan rasa megah untuk menggunakan bahasa kebangsaan sendiri di khalayak antarabangsa.
Dalam ucapan perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu baru-baru ini, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa amalan ini akan dipegang oleh beliau setiap kali berada di luar negara. Beliau bukan sekadar bercakap sahaja tetapi mengotakannya.
Ini dapat kita lihat dalam lawatan Perdana Menteri ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand, Vietnam malah sewaktu Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) bersama dengan Presiden AS. Terbaru beliau bercakap bahasa Melayu sepenuhnya bila menyampaikan ucapan di satu forum antarabangsa yang besar, iaitu di Persidangan Nikkei, Jepun.
Ini merupakan satu corak kepimpinan yang dapat dicontohi. Bila ketua kerajaan sendiri menunjukkan kesetiaan bahasa dan kebanggaan berbahasa maka sudah semestinyalah rakan-rakan pemimpin dalam kerajaan dan penjawat awam lain akan perlahan-lahan mengikutinya.
Ia penting kerana pada hemat saya, isu kesetiaan bahasa dan kebanggaan berbahasa merupakan cabaran besar dan perlu diatasi dalam abad ke-21 sekiranya Malaysia ingin berjaya dalam pelaksanaan dasar bahasanya.
Seperti yang Perdana Menteri nyatakan, kita tidak perlu malu ataupun kekok bila menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri. Kita sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara.
Harapan saya semoga Perdana Menteri terus diberi sokongan padu oleh para pencinta bahasa, golongan ilmuwan dan seluruh rakyat supaya usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak tersekat separuh jalan andai kata jawatan tersebut bertukar. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim ialah pakar tatabahasa dan sosiolinguistik Melayu serta pejuang bahasa yang juga bekas penyandang Kursi/Profesor Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan pernah menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia selama 18 tahun.











