Kenapa perlu import sari, veshti?

Kenapa perlu import sari, veshti?

SARI juga pakaian tradisional di Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Nepal, kini digayakan wanita diaspora India di seluruh dunia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAH satu pakaian tradisional kaum India yang paling lazim dan mudah dikenali ialah sari. Pakaian ini merupakan sehelai kain sepanjang empat hingga lapan meter yang dililit dengan penuh kemas dan teliti mengelilingi tubuh wanita. Kita biasa mengaitkannya dengan wanita kaum India yang nenek-moyangnya berasal dari India.

Sebenarnya, sari juga pakaian tradisional di Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Nepal. Kini, sari digayakan wanita diaspora India di seluruh dunia. Apatah lagi kerana sering dipromosi menerusi filem dari India.

Bagi lelaki kaum India, pakaian tradisional ialah veshti iaitu kain sepanjang dua hingga empat meter yang diikat atau dililit kemas sekeliling pinggang. Sebagaimana sari bagi wanita, veshti bagi lelaki juga sehelai kain yang tidak dijahit. Maka, boleh diikat dan diperagakan dalam pelbagai gaya.

Satu lagi pakaian tradisional kaum India yang sangat lumrah di Malaysia ialah shalwar kameez. Selalu juga disebut sebagai Punjabi suit kerana berasal dari Punjab iaitu negeri di bahagian utara India.

Baru-baru ini, saya berbual dengan dua rakan tentang pakaian tradisional kaum India. Kami sama-sama kagum kerana generasi muda tetap berbangga berpakaian tradisional seperti sari dan veshti. Malah, sejak 2014, tarikh 6 Januari diisytihar sebagai Veshti Dhinam atau Hari Veshti Sedunia.

Memanglah ada sari dan veshti ‘pasang siap’ di mana pemakai tidak perlu bersusah-payah mengikatnya seperti yang selalu dilakukan sejak zaman dahulu. Lama-kelamaan selepas membiasakan diri, pengguna sari dan veshti pasang siap diharap akan mula berminat memakai sari dan veshti asli yang diikat dengan betul.

Topik perbincangan kami bertiga lebih menjurus kepada realiti di mana rata-rata pakaian tradisional kaum India seperti sari, shalwar kameez, khurta, veshti dan jibba diimport dari India. Kami tertanya-tanya, kenapa diaspora India di Malaysia tidak menghasilkan sendiri pakaian tradisional ini? Kita masih menjadi pembeli dan pengguna, bukannya pengeluar atau pengusaha pakaian tradisional itu.

Permintaan bagi pakaian tradisional ini memang sentiasa ada. Selain komuniti Tamil yang merupakan kumpulan majoriti kaum India di Malaysia, terdapat juga minoriti seperti Malayali, Telugu, Punjabi, Gujarati dan Bengali.

Huraian mendalam tentang sari terdapat dalam buku Mandala Bicara (2016), manakala penjelasan tentang veshti dan pelbagai komuniti yang dinyatakan di atas boleh dibaca secara terperinci dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

LITTLE INDIA

Perayaan Deepavali, ponggal (pesta menuai), Ugadi (Tahun Baharu Telugu), Onam, Vishu (Tahun Baharu Malayali) serta upacara keagamaan di kuil tidak lengkap tanpa pakaian tradisional. Bagaimanapun, pakaian tradisional ini tidak berciri keagamaan. Sebaliknya, ia turut dipakai dalam majlis perkahwinan, keramaian, upacara rasmi dan pelbagai acara kebudayaan.

Jika mahu membeli atau sekadar melihat koleksi sari, veshti, shalwar kameez, khurta, veshti dan jibba dalam pelbagai corak, warna dan saiz, kita boleh pergi ke kedai-kedai yang menjual pakaian tradisional kaum India. Kawasan Little India di Brickfields dan Jalan Masjid India (Kuala Lumpur); Jalan Tengku Kelana, Klang dan Jalan Welman, Rawang (Selangor); Georgetown (Pulau Pinang); Jalan Lahat, Ipoh (Perak) dan Johor Bahru (Johor) antara lokasi yang menjanjikan pelbagai pilihan menarik.

Bagaimanapun, rata-rata pakaian tradisional ini diimport dari India. Bagi shalwar kameez, ada kala kain diimport dan baju serta seluar dijahit di sini mengikut saiz dan fesyen pilihan si pemakai. Begitu juga dengan ravikei (blaus) yang biasanya dijahit di kedai tempatan untuk dipadankan dengan sari dari India.

Perbincangan saya bersama dua rakan tadi turut menyentuh aspek rintangan yang dihadapi bagi memulakan perusahaan pakaian tradisional kaum India di Malaysia serta rasional untuk terus mengimport dari India.

SUTERA

“Industri pakaian tradisional kaum India di Malaysia kurang mendapat tempat dalam kalangan pengeluar tempatan disebabkan kekangan kuasa beli dan kos pengeluaran yang tinggi,” kata Suwedan Sellappan, seorang pesara guru dari Kapar, Selangor.

Pada pemerhatiannya, rata-rata peniaga tekstil di Malaysia lebih berminat mengimport pakaian tradisional dari India disebabkan harga murah, beraneka pilihan serta kualiti lebih dipercayai berbanding keluaran tempatan.

“India sebagai pengeluar pakaian tradisional menikmati pelbagai kelebihan yang tidak terdapat di Malaysia. Misalnya, bilangan tenaga kerja pakar yang tinggi dan kos pengeluaran yang rendah berbanding negara lain,” kata Malini Lakshmi Bai, seorang guru dari Cheras, Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, India juga kaya dengan bahan mentah seperti sutera, jut dan kapas untuk memenuhi keperluan industri pakaian dan fesyen sehingga mampu pula dieksport ke seluruh dunia.

Sekiranya difikirkan, memang Malaysia belum memiliki tenaga kerja pakar yang mampu mengusahakan pengeluaran kain dan pakaian tradisional seperti sari dan veshti.

Kos membuka dan menguruskan kilang secara besar-besaran juga perlu difikirkan. Belum lagi mengambil kira aspek pemasaran dan jumlah permintaan dalam kalangan pengguna tempatan.

Sekadar perbandingan, penduduk kaum India di Malaysia hanya 6.6 peratus iaitu hampir dua juta orang daripada keseluruhan penduduk sekitar 32 juta orang. Jumlah penduduk di Tamil Nadu sekitar 72 juta orang, Andra Pradesh (49 juta orang), Telangana (35 juta orang) dan Kerala (34 juta orang). Angka ini belum mengambil kira beberapa negeri lain di India.

Maka secara perbandingan, amat jelas bahawa kuasa beli dan saiz pasaran di Malaysia bagi pakaian tradisional kaum India amat kecil. Tentulah tidak berbaloi untuk membuka kilang pengeluaran sari, veshti, jibba dan shalwar kameez di sini. Tambahan pula, tenaga kerja pakar serta bahan mentah seperti sutera masih perlu diimport dari India.

Buat masa ini, kita wajar menumpukan kepada usaha mempelbagaikan fesyen dan gaya pakaian tradisional kaum India supaya boleh turut menarik minat masyarakat pelbagai kaum dan budaya di Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×