WALAUPUN mempunyai perwatakan tegas dan garang, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), ROSLAND MOHD. ARIF sebenarnya seorang yang mudah untuk dibawa berbincang bagi mencari penyelesaian menang-menang untuk faedah pengguna dan syarikat pemberi pinjaman wang.
Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di pejabatnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini, beliau menjelaskan, pihaknya lebih mengutamakan pendekatan bekerjasama yang berbeza sama sekali dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang cenderung berkonfrontasi dengan pihak-pihak dituduh menindas pengguna.
Ketika temu bual itu, beliau meluah kebimbangan tentang pelbagai tekanan yang digunakan pemungut hutang lapuk boleh menyebabkan peminjam yang baru hendak pulih daripada pandemik Covid-19 hilang pertimbangan dan cuba membunuh diri.
HUTANG LAPUK
UTUSAN: Apa isu berbangkit melibatkan hutang lapuk ini?
ROSLAND: Apa yang kita hendak sentuh ialah pertama, peminjam tidak mendapat notis sebelum akaunnya dijual (bank) kepada pihak ketiga. Apabila telah dipindahkan, peminjam terkejut kerana tiba-tiba pihak ketiga yang tidak dikenali menuntut sedangkan buat pinjaman dengan bank. Jadi, peminjam keliru dan berat hati nak bayar.
Alasan pihak ketiga, ada vesting order (perintah meletak hak daripada mahkamah) untuk mengutip hutang sedangkan bila kita minta tunjuk arahan mahkamah itu, tak pernah pun dia tunjukkan. Tetapi kalau dia nak dapatkan perintah mahkamah, kita kena ingat ini hutang lapuk, takkanlah hakim senang-senang nak beri kebenaran.
Di sini tidak ada keadilan. Jadi, kita hendaklah berlaku adil kepada rakyat iaitu peminjam supaya mereka tahu apa yang sedang berlaku (kepada akaun mereka). Bila dia tahu, dia (akan) reda dan puas hati.
Kedua, tuntutan yang dibuat syarikat yang membeli hutang lapuk ini begitu tinggi. Jumlah dahulu asal katakan RM3,000, sudah jadi RM40,000, siapa tak terkejut dan ketakutan? Bukan satu, tetapi banyak kes. Yang lagi teruk, akaun-akaun bankrap pun dipindahkan dan dibeli oleh syarikat-syarikat ini. Sedangkan yang bankrapkan (peminjam) dahulu ialah bank.
Kes sebegini banyak?
Terlalu banyak. Beribu, berjuta-juta akaun. Bukan sikit. Berjuta akaun (berstatus hutang lapuk) dari 2000, 2001, 2003 dan 2004. Dahulu benda ini tak terjadi. Penjualan ini bermula pada 2019.
Jadi, orang-orang ini (peminjam) terkejut, siapa dia orang ini? Dengan akaun dahulu tinggal (baki tunggakan) RM2,000, sudah naik sampai RM40,000, RM50,000 atau RM60,000. Ini membuatkan orang stres.
Kenapa tunggakan meningkat?
Ia berpunca kerana kadar faedah terkumpul. Sedangkan bila gagal bayar hutang, amaun itu tak boleh lagi terkumpul kerana sudah dipanggil hutang lapuk dan dikira write off (dilupuskan) akaun. Prosedur sudah mati dekat situ. Ini boleh terkumpul hari demi hari, itu yang naik sampai RM60,000 atau RM80,000.
HARGA RENDAH
Berapa harga bank jual akaun hutang lapuk ini?
Bank jual akaun dilupuskan dengan harga lebih RM1,000 sahaja. Aduan yang kami terima, kenapa akaun hutang rumah dan kereta pun dijual kepada pihak ketiga?
Sedangkan telah ada tuntutan pemilikan oleh pihak bank yang sepatutnya tak boleh jual kepada pihak ketiga. Patut mesti kekal di bank-bank asal. Kita rasa tidak adil dan tidak sesuai, berlaku perkara (macam) ini.
Adakah pihak bank melakukan kesalahan?
Kita boleh cabar melalui mahkamah. Hutang-hutang dahulu itu, you nak tuntut boleh. (Cuma) kita punya hujah sekarang, kenapa hutang (terkumpul) itu terlalu tinggi? Ada yang sampai RM1.7 juta, pinjaman perniagaan, contohnya.
Ada yang daripada RM3,000 sudah jadi RM60,000. Ini buat orang terkejut, bila dengar hutang mereka menjadi begitu tinggi. Peminjam menjadi sakit hati, tertekan dan tak nak bayar.
Pihak ketiga yang beli ini sangat tidak berperikemanusiaan kerana menuntut amaun sangat tinggi daripada orang yang sedang mengalami masalah tekanan hidup, ditekan lagi dengan tuntutan yang begitu besar. Pemungut hutang tak mahu tahu perkara ini, dia tahu tuntut duit sahaja.
JUMPA 4PM
Ada syarikat pembeli hutang lapuk kurang senang dengan 4PM. Benarkah?
4PM yang boleh dihubungi melalui talian 019-2531000 adalah satu-satunya NGO yang beri tumpuan sepenuhnya pada permasalahan hutang piutang. Kita nak bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang beli hutang lapuk. Kita nak jadi wakil bantu rakyat dan menyelesaikan masalah mereka.
Kita mengharapkan syarikat pembeli hutang lapuk yang besar-besar ini mempunyai maruah, integriti dan kredibiliti tinggi serta keikhlasan untuk beri kerjasama demi membantu rakyat di luar sana. Ini supaya rakyat tidak tertekan, boleh menjalani hidup dengan keadaan aman, mengelak mereka daripada kemurungan dan bunuh diri.
Bagaimana cara 4PM bantu peminjam?
Kita dengar masalah peminjam. Masalah itu kita bawa kepada syarikat pembeli hutang lapuk supaya mereka tahu kemampuan peminjam. Sekarang pemungut hutang hanya tahu tekan dan tekan, tanpa tahu hidup peminjam macam mana, nak makan pun susah.
Kita mahu syarikat menyelesaikan masalah ini dengan keadaan sopan santun. Budaya kita ialah pendekatan secara baik dan bukan tekanan.
CAMPUR TANGAN KERAJAAN
Apa kesan tekanan ini?
Rakyat kita yang baru dua tahun lalu menghadapi pandemik Covid-19, lepas itu tiba-tiba dapat panggilan daripada pihak ketiga dengan tuntutan yang mendesak untuk bayar.
Hutang mesti bayar. Saya puji orang Islam. Sebab dia tahu, tak bayar hutang kena jawab dekat akhirat esok. Bukan tak nak bayar tapi mereka tak mampu.
Mereka dalam keadaan ketakutan, stres. Ada yang sakit jantung, bercerai-berai, lari dari rumah dan hendak bunuh diri. Ramai macam ini. Nak bunuh diri paling ramai 4PM selamatkan.
Rayuan kepada kerajaan?
Bank Negara Malaysia (BNM) perlu ambil tahu pasal ini. Sebab BNM kena tahu bahawa bank yang menjual hutang lapuk telah melakukan kesilapan sebenarnya kerana tiada notis kepada peminjam. – UTUSAN










