Hikmah terkejut di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Hikmah terkejut di Aidilfitri

Cerapan anak bulan Ramadan 1443H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini . – MINGGUAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi mereka yang berusia sekitar 50-an ke atas bukanlah sesuatu yang asing untuk kita menunggu di depan televisyen menantikan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sama ada keesokan hari adalah Hari Raya Aidilfitri atau tidak.
Keterujaan menunggu pengumuman Hari Raya Aidil­fitri tidak lagi wujud tahun-tahun kebelakangan ini kerana tarikh Hari Raya Aidilfitri yang termaktub di dalam tak­wim kelazimannya tepat. Na­mun detik pukul 8 malam 1 Mei 2022 amat mengujakan kerana ia mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak yang mana ibunda ketika itu akan bertungkus lumus menyediakan juadah hari raya sebaik sahaja pengumuman tarikh hari raya.
Jika hari raya diisytiharkan pada keesokan harinya maka bahan untuk dijadikan juadah pagi raya telah tersedia di atas meja dan jika diumumkan pada hari lusa pula maka bahan itu akan dimasukkan semula ke dalam peti sejuk dan kita pun di zaman kanak-kanak yang nakal itu dengan agak kecewanya bertarawih lagi pada malam tersebut.
Berbezanya kali ini, masih ramai yang tidak bersedia dengan bahan-bahan mentah untuk dijadikan juadah pagi raya dengan andaian per­sediaan tersebut akan dibuat pada Isnin 2 Mei 2022 kerana percaya Aidilfitri akan jatuh pada Selasa 3 Mei 2022.
Sudah lama sangat kita yakin mengatasi segala syak bahawa tarikh Hari Raya Aidilfitri yang termaktub di dalam takwim itu adalah amat tepat apatah lagi sejak 1992 terdapat persefahaman dalam kalangan menteri agama di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) yang menetapkan persetujuan agar tarikh hari raya bagi negara-negara serumpun itu hendaklah disepakati bagi mengelakkan tarikh hari raya yang berbeza-beza antara empat negara tersebut.
Di Malaysia anak bulan Syawal tahun ini kelihatan pada pukul 6.36 petang di Labuan dan kita dimaklumkan akan sambutan Aidilfitri yang ditetapkan sehari awal dari tarikh yang dinyatakan di dalam kalendar melalui pengisytiharan yang dibuat di televisyen pada pukul 8 malam. Anak bulan Syawal juga kelihatan di Indonesia, Brunei dan Kemboja.
Ironinya, pada tahun ini polemik berkaitan tarikh Aidilfitri yang dikatakan akan disambut sehari lebih awal mula hangat di media sosial dua minggu sebelum Syawal memandangkan terdapatnya kaedah baharu pencerapan yang dilaksanakan mulai awal Muharam 1443H/2021M berdasarkan kriteria kebolehnampakan hilal (imkanur rukyah).
Rentetan itu, maka ramailah ahli falak atau yang tiba-tiba menjadi ahli falak segera menyampaikan pandangan mereka hingga buat pertama kalinya sejak sekian lama tarikh Aidilfitri sekali lagi menjadi perdebatan dalam kalangan netizen.
Lebih menarik bagi mereka yang tinggal di Johor apabila negara seberang tambak, Singapura pula menyambut Aidilfitri pada Selasa 3 Mei, sehari lewat dari kita. Ramai dalam kalangan sahabat dan sanak saudara di Singapura marah-marah pada malam tersebut mempertikaikan keengganan pihak berkuasa agama Islam mereka mengikut ketetapan awal yang dibuat Menteri-Menteri Agama untuk berhari raya pada tarikh sama. Oleh kerana pintu sempadan negara telah dibuka maka ramai kenalan di Singapura mengeluarkan fatwa sendiri untuk tidak berpuasa dan datang berhari raya di Johor pada Isnin itu.
Saya menasihatkan mereka akan keperluan untuk patuh kepada Ulil Amri atau pemerintah di mana kita bermastautin tetapi oleh kerana sebahagiannya mempunyai keilmuan yang tinggi dalam bidang agama maka terlihatlah pelbagai pandangan yang ada berhujah bersandarkan nas dan atas pandangan mereka.
Ini juga membawa ingatan akan peristiwa pada 1982 ketika saya masih di sekolah rendah yang mana ketika itu negara kita mempunyai dua tarikh Hari Raya Aidilfitri berbeza, apabila Perak menyambut Aidilfitri sehari lebih awal dari negeri-negeri lain dan pada 1983 pula Johor dan Perak menyambut Ramadan sehari lebih awal.
Pengumuman Aidilfitri sehari awal ini rupanya mem­berikan rezeki yang melimpah ruah kepada peniaga lemang, ketupat dan rendang kerana sebahagian mereka telah pun memulakan perniagaan itu seawal 27 Ramadan lalu. Pa­da malam tersebut ramai beratur panjang untuk membeli lemang, ketupat dan rendang yang siap dimasak kerana itulah solusi termudah untuk sekurang-kurangnya mempunyai hidangan asas pada pagi raya keesokan harinya. Ada juga peniaga yang membuka gerai pada malam itu hingga dinihari bagi menjual ayam dan daging.
Ramai yang bukan Islam bertanya kenapa kita tidak boleh menetapkan hari raya pada tarikh yang lebih spesifik seperti penetapan Tahun Baharu Cina, Krismas atau Deepavali kerana kata mereka ketidaktentuan seperti itu merugikan perniagaan hinggakan pasaran saham dan kewangan ditutup secara tiba-tiba dan ini memerangkap mereka yang mempunyai komitmen perniagaan pada hari tersebut.
Saya katakan kepada mereka itulah keindahan Islam hinggakan umatnya sentiasa diminta bersedia akan apa jua kebarangkalian. Kita diminta mencari malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan malahan kita juga dilatih waktu solat lima waktu pun tidak pada waktu yang tetap dan sentiasa pada minit-minit yang berbeza-beza sebagai manifestasi waktu itu adalah amat bernilai dan setiap waktu yang berlalu tidak akan berulang dan perlu dipenuhi dengan persediaan yang rapi.
Tentunya kita bersyukur kerana sungguh pun bergelut dengan kejutan pada malam Syawal tersebut, Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan sebagai Ketua Agama Islam negeri-negeri memberikan perkenan untuk Aidilfitri disambut secara serentak dalam negara kita.
Kesepakatan ini amat penting sebagai lambang kesatuan umat Islam dalam negara ini dan ia tidak boleh hanya terhenti setakat itu. Masih terdapat lompang ketidakseragaman dalam hal ehwal agama dan perundangan Islam antara negeri yang boleh ditambah baik dan disepakati melalui kebijaksanaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh raja pemerintah secara bergilir selama dua tahun.
Bagi umat Islam selain mentaati Ulil Amri, kita pastinya mendapat pengajaran bernilai dari Aidilfitri tahun ini. Pengajaran kecil adalah jangan membuat apa jua persediaan dalam hidup pada saat akhir kerana yang bersedia awal akan dapat menuai manfaat dari perancangan mereka dan pengajaran makronya adalah dalam hidup ini kita perlu sentiasa bersedia dengan kebarangkalian. Mereka yang telah mempunyai perancangan dan persediaan teliti akan dapat menjalani kehidupan dengan lebih tersusun manakala yang gagal selalunya adalah yang gagal untuk merancang.

DATUK IKBAL SALAM ialah Peguambela dan Peguamcara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya