HFMD: Endemik bukan pandemik - Utusan Malaysia

HFMD: Endemik bukan pandemik

murid-murid perlu membasuh tangan sebelum memasuki kelas ketika peningkatan kes HFMD yang banyak berlaku di di taska dan pusat jagaan harian di seluruh negara. – MINGGUAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyakit HFMD (hand, foot, mouth disease) adalah penyakit berjangkit, endemik di Malaysia yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak di bawah 5 tahun, berbanding remaja dan dewasa. Penyakit tangan, kaki, dan mulut ini biasanya ringan, dan disebabkan jangkitan beberapa jenis virus iaitu virus Enterovirus 71 (EV-71) dan Coxsackievirus.
Virus ini memasuki badan melalui sentuhan langsung ulser pesakit, melalui udara apabila tersedut titisan air liur pengidap (apabila pengidap batuk, bersin atau meleleh air liur), dan jangkitan melalui najis pengidap. Virus boleh dikeluarkan melalui najis selama beberapa minggu.
Sesuatu kawasan dikira sebagai berlakunya wabak apabila terdapat sekurang-kurangnya dua kes atau lebih di dalam sesuatu lokaliti.
Ada yang bertanya adakah HFMD ini daripada endemik boleh bertukar menjadi pandemik? Jawabnya, pandemik adalah wabak seluruh dunia. Penularan melalui udara adalah mekanisme utama dan terlalu mudah untuk dijangkiti. Kriteria ini tidak ada pada virus HFMD. Jadi ia tidak akan menjadi satu pandemik.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes HFMD meningkat 15 kali ganda dengan 31,661 kes dilaporkan setakat Mei berbanding tempoh sama tahun lalu.
Selangor merekodkan angka tertinggi sehingga Khamis lalu dengan 8,864 kes diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing 4,421 kes, Sabah (2,650), Perak (2,638) dan Kelantan (2,493).

Tanda jangkitan
HFMD boleh meng­aki­batkan tanda seperti ulser dikeliling dan dalam mulut, ruam di kaki, tapak kaki, punggung dan tangan. Kebiasaannya tanda akan hilangan dalam 5 hingga 7 hari selepas mula terjangkit. Tanda awal adalah seperti demam selsema, sakit kepala, hilang selera makan dan sakit tekak. Kemudian dalam masa dua hari, pesakit akan mengeluarkan ulser yang sakit di tekak, lelangit (palate) dan di tonsil. Ia turut dipanggil ‘herpangina’ jika disebabkan virus Coxsackie di mulut dan tidak melibatkan kulit.
Penyakit HFMD akan mengakibatkan ruam kemerahan yang timbul di tapak tangan, tapak kaki dan kawasan punggung kanak-kanak dan ruam ini biasanya tidak gatal tetapi sakit. Mata pengidap boleh kemerahan dan kadang kala cirit birit boleh berlaku. Kulit yang terkena ruam, mungkin akan mengelupas tetapi ini biasanya tidak mengakibatkan apa-apa kesan teruk. Kelenjar limfa leher boleh turut bengkak dan sakit, semasa serangan mulut berlaku.
Orang dewasa boleh terjangkit virus HFMD ini tetapi risiko ini rendah. Kadangkala jangkitan boleh terjadi tanpa apa-apa simptom. Mereka yang berisiko tinggi adalah warga emas, yang sistem imun lemah dan wanita mengandung. Jangkitan dalam kalangan wanita mengandung boleh mengakibatkan kematian bayi dan keguguran dalam kandungan walaupun kadar ini rendah.
Rawatan HFMD
Oleh kerana ia jangkitan virus, rawatan antibiotik adalah tidak diperlukan. Prognosis jangkitan selalu adalah baik dan pulih sepenuhnya dalam 7 hingga 21 hari. Bagaimanapun, ubat demam seperti sirap Panadol dan tahan sakit boleh memberi keselesaan kepada anak-anak dan preskripsi adalah menurut beban sakit dan berat kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak digalakkan minum air banyak dan makanan yang lembut. Teruskan penyususan ibu atau penyusuan biasa, jika kanak-kanak masih menyusu. Masa kritikal adalah jika kanak-kanak mengalami demam tinggi (>38 darjah Celsius) yang lama, sukar menurunkan suhu demam panas, jika sawan akibat demam tinggi, dehidrasi contoh seperti tiada air mata apabila menangis, kurang zat kerana hilang selera makan dan jika tidak mengeluarkan kencing lebih dari 4 hingga 6 jam. Ini masa penting untuk mendapatkan rawatan segera di klinik. Kecemasan juga adalah jika anak anda pengsan, tidak keruan dan masih tidak sihat walaupun sudah beberapa hari di rumah akibat HFMD.
Sungguhpun jangkitan HFMD kebiasaannya ringan, ia masih boleh menyebabkan komplikasi terjadi dan jangkitan ke otak, paru-paru dan jantung masih boleh terjadi dan mengakibatkan kematian. Kadar kematian HFMD secara umum, adalah rendah iaitu sekitar 0.06% hingga 0.11% (kajian dari Amerika). Masih belum wujud vaksin khas untuk HFMD ini, dan penyakit mudah berjangkit dalam minggu awal jangkitan.

Pencegahan HFMD
Oleh kerana HFMD ini mudah menjangkit, dan masa awal jangkitan akan menyerupai seolah jangkitan lain seperti denggi, Covid-19, Campak dan Rubella, maka mengelakkan jangkitan adalah sangat penting. Basuh tangan kerap dengan sabun dan air, atau menggunakan sanitizer tangan jika memegang anak anda. Ajar anak membasuh tangan dengan kerap. Jangan berkongsi bekas air, berus gigi, pengetip kuku, perkakas makan yang sama dan tuala badan. Pastikan anak bersin ke tisu atau tuala dan kemudian dicuci bersih atau dibuang dengan selamat.
Kajian pada 2015 oleh Ventarola menunjukkan kadar jangkitan dalam kalangan ahli rumah yang sama, adalah tinggi hingga mencapai 52 hingga 84%.
Elakkan anak dari bercampur gaul di luar rumah dan elakkan dari pergi ke tadika dan sekolah pada masa ini, kerana virus itu masih boleh berada di dalam badan. Kanak-kanak hanya boleh ke sekolah apabila ruam sudah hilang dan anak sudah tidak lagi mengalami demam. Pencarian kes-kes lain dan kontek mereka, juga boleh dilaksana di kawasan tadika atau sekolah dan mereka yang dikesan mempunyai simptom boleh dirujuk untuk tindakan lanjut di klinik terdekat.
Tadika atau sekolah terkesan patut ditutup sementara untuk 10 hari. Guru-guru atau pengurusan tadika dan sekolah boleh diajar cara mengesan kes lain yang turut bermasalah, dan meletak kes ke isolasi sementara sebelum dirujuk jika perlu.
Untuk mengelakkan kekeliruan bawalah anak ke klinik jika demam panas untuk kepastian. Pencegahan adalah penting supaya wabak ini tidak merebak lebih luas lagi. Pengesanan virus boleh dilakukan melalui ujian swab tekak atau najis kanak-kanak terinfeksi.

PENULIS ialah Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya