BALING: Seorang warga emas maut ditimpa sebatang pokok dalam kejadian angin kencang ekoran hujan lebat di kawasan perumahan berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, pada pukul 3.35 petang tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mangsa, Rafiah Zakaria, 86, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
“Sebelum kejadian, kira-kira pukul 3 petang berlaku hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di sekitar daerah ini dan berterusan sehingga pukul 3.40 petang.
“Pada pukul 3.45 petang, Balai Polis Kupang menerima maklumat kejadian seorang mangsa dihempap pokok tumbang akibat hujan berhampiran kawasan rumahnya,” katanya.
Menurutnya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Perkhidmatan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Pihak bomba telah memotong pokok bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Setelah diperiksa oleh anggota KKM, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN










