Bahasa Melayu perlu nilai ekonomi - Utusan Malaysia

Bahasa Melayu perlu nilai ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperlihatkan iltizam yang luar biasa apabila memberi ucaptama dalam bahasa Melayu di Persidangan Nikkei Ke-27, Tokyo, Khamis lalu. Tindakan seperti ini belum pernah dibuat oleh mana-mana Perdana Menteri kita walaupun bukan suatu yang luar biasa bagi sesetengah pemimpin negara lain.

Ucaptama itu lancar dan tidak memberikan masalah kepada delegasi negara lain. Teknologi terjemahan secara langsung yang cekap di persidangan antarabangsa dimanfaatkan dengan sebaiknya. Malah bukan perkara yang asing atau pelik apabila menggunakan bahasa rasmi negara di pentas antarabangsa.

Cuma sesetengah pemimpin kita berasa rendah diri berucap dalam bahasa Melayu. Ini adalah kesan jangka panjang penjajah yang membentuk psikik masyarakat terutama Melayu yang rasa tinggi dan maju apabila berbahasa Inggeris.

Langkah Ismail Sabri pasti dilihat pelik walaupun mereka menerima negara seperti Jepun, Korea atau Perancis tidak berbahasa Inggeris. Dalam keadaan kita rasa rendah diri dan malu, pemimpin negara yang jauh lebih maju berbangga menggunakan bahasa rasmi negara masing-masing.

Pemimpin negara lain yang berucap dalam bahasa rasmi ibunda bukan tidak mahir berbahasa Inggeris. Tetapi mereka memilih untuk berjiwa besar mengantarabangsa bahasa rasmi negara masing-masing.

Barangkali mereka itu datang dari negara-negara yang tidak pernah dijajah British. Penjajahan bukan sahaja menjarah hasil bumi, tetapi mencederakan dengan parahnya jiwa anak watan terhadap jati diri. Semua yang ada kaitan dengan penjajah British dianggap tanda kemajuan.

Walaupun terlambat enam dekad, tetapi Ismail Sabri telah memulakan suatu yang memberikan erti sangat besar dalam konteks bahasa Melayu di pentas dunia. Hal ini bukan suatu yang baharu dan sejarah membuktikan bahasa ini telah lama mendunia. Bahasa Melayu mengunjur jauh dari gugusan kepulauan Melayu hingga Parsi dan Hawaii.

Semasa berucap di Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu baru-baru ini, Ismail Sabri menjelaskan cadangan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959. Pindaan itu akan mengubah status DBP menjadi pihak berkuasa bahasa, sekali gus memastikan badan itu bertaring untuk bertindak terhadap kesalahan atau pengabaian bahasa Melayu.

Gagasan memartabatkan bahasa Melayu di peringkat domestik di tangan Ismail Sabri tampak jelas. Beliau bukan beretorik yang enak di telinga, tetapi menzahirkan ekosistem iaitu penguatkuasaan yang boleh menjadi pemangkin pelestarian bahasa Melayu.

Inilah pendekatan yang sebetulnya untuk memberi nilai ekonomi pada bahasa Melayu. Penguatkuasaan menerusi pindaan Akta DBP itu mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan, ekonomi, ilmu setidak-tidaknya di peringkat dalam negara.

Apabila tidak menguasai bahasa Melayu boleh mendatangkan kesukaran dalam urusan perdagangan atau perniagaan, dengan sendirinya bahasa ini diletakkan dalam senarai kepentingan yang utama. Kalau segala surat selain bahasa Melayu dibakulsampahkan, maka akan bermula iltizam untuk menggunakan bahasa Melayu.

SEBAHAGIAN peserta yang menghadiri Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

BELANDA

Iltizam luar biasa Ismail Sabri dalam konteks pemartabatan bahasa Melayu sebenarnya selari dengan gambaran yang diberikan oleh sarjana Belanda, Francois Valentjin pada abad ke-16. Ketika itu, bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dan antarabangsa sifatnya.

Tulis Valentjin, “Bahasa mereka bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant.”

Beliau menambah, “Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga kepulauan Filipina.”

Ungkapan, ‘… kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak’ membawa maksud tinggi dan kuatnya pengaruh bahasa Melayu waktu itu. Nilai ekonominya tinggi kerana memudahkan sesiapa sahaja yang menguasai bahasa ini termasuk di luar gugusan kepulauan Melayu.

Kalau tidak memahaminya akan mendatangkan kesusahan atau halangan kerana tidak dapat berhubungan secara lisan atau bertulis dengan baik. Hal yang demikian membuatkan semua pihak termasuk pedagang asing berlumba-lumba menguasai bahasa Melayu.

Gambaran yang diberikan oleh Valentjin membuktikan bahasa Melayu pernah merentas zaman gemilang. Malah menjadi bahasa yang mempunyai nilai ekonomi tinggi dalam kalangan penduduk dan pedagang luar di Melaka. Dalam kata lain, tidak memahami bahasa Melayu akan menjejaskan urusan perdagangan.

Sesuatu bahasa akan pupus atau paling tidak terpinggir apabila hilang nilai ekonominya. Zaman empayar Melaka telah membuktikan nilai ekonomi bahasa Melayu dalam urusan perdagangan. Dengan cara itu sahaja yang boleh memberi nilai pada bahasa Melayu.

Kalau tidak berhasil dengan cara lembut, boleh sahaja menggunakan pendekatan yang lebih tegas. Misalnya kerajaan pernah mengugut untuk ‘menyusahkan’ mereka yang menolak vaksin bertujuan memastikan matlamat vaksinasi tercapai.

Dalam konteks bahasa Melayu boleh juga menggunakan ketegasan yang sama terhadap pihak yang liat untuk menggunakan bahasa kebangsaan. Katakan dengan tegas, pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu akan berdepan dengan kesukaran. Bermacam-macam kesukaran berada di depan mereka.

Meletakkan bahasa Melayu seperti dalam Perlembagaan Persekutuan bukan menolak bahasa Inggeris. Penguasaan lebih daripada satu bahasa adalah suatu yang sangat digalakkan. Bukan sahaja bahasa Inggeris malah Mandarin, Arab dan Tamil sekalipun ada kepentingannya.

Bagaimanapun, adalah satu tindakan tidak berperlembagaan apabila meletakkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa lain yang bukan rasmi sifatnya. Untuk urusan dalam negara, sebagai rakyat yang taat dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong semestinya boleh menguasai bahasa Melayu dan mesti gunakan bahasa Melayu.

Sekali lagi, iltizam politik sangat penting untuk memastikan bahasa Melayu berada di tempat yang selayaknya dan mempunyai nilai ekonomi. Abaikan paranoid akan hilang undi kalau bertegas mengangkat bahasa Melayu. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×