MENGANGKAT dan memperkasakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa setelah hampir 65 tahun negara mencapai kemerdekaan. Ia satu idea murni, namun masih terdapat banyak lompang kerosakan jati diri anak watan kita yang harus diperbaiki. Bosanlah kalau setiap hari kita ratib orang bukan Melayu tak boleh cakap Melayu dan orang Melayu lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris dalam aktiviti komunikasi harian mereka.
Kalau nak salahkan sistem dan pemimpin kita yang sebelum ini sangat tidak berminat dengan bahasa kebangsaan pun sudah biasa sangat. Takkan nak ulang benda yang sama saban hari?
Justeru, saya nak bawa satu lagi faktor utama kekangan untuk memperkasakan bahasa Melayu di negara ini. Cuba perhatikan, berapa banyak kelas bahasa asing wujud di negara ini? Berlambak. Kelas bahasa Inggeris paling banyak dan sekarang kelas bahasa Korea, Arab, Turki, Perancis, Russia tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Kalau kelas belajar bahasa Melayu, berapa banyak yang ada? Lebih malang, begitu ramai pempengaruh Melayu di YouTube dan TikTok yang berpusu-pusu mengajar bahasa asing kepada warga kita. Semua sibuk nak jadi orang Korea, annyong haseyo di mana-mana sahaja.
Belajar banyak bahasa itu bagus, tapi jangan pula lupa ajar bahasa kebangsaan kita pada orang luar juga. Utamakan dan dahulukan budaya serta bahasa sendiri.
Tanggungjawab mempromosi bahasa dan budaya kita bukan hanya digalas oleh kerajaan, tetapi setiap seorang daripada kita.
LU SIHAT KA
Saya bertemu ramai warga asing yang mengeluh tentang kesukaran menemui kelas belajar bahasa Melayu. Akhirnya belajar sendiri di rumah dan lebih teruk lagi terus mengalah dan tidak mahu belajar langsung. Tapi kita marah pula orang asing tidak reti cakap Melayu walaupun sudah berdekad tinggal di negara ini.
Sama jugalah asyik nak marah orang bukan Melayu tidak fasih berbahasa Melayu, siap nak halau mereka keluar dari negara ini. Tapi kita tidak sedar, masalahnya berpunca daripada kita sendiri. Asal jumpa orang Cina, cara percakapan kita mesti terus berubah. Daripada ‘kamu apa khabar?’ kepada ‘lu sihat ka?’ Kenapa?
Banyak lagi bahasa pasar yang kita ajar pada bukan Melayu. Antaranya ‘lu apa bikin ini hari?’, ‘saya talak tau ma.’
Sebenarnya orang Melayu ada masalah krisis identiti. Kita tiada jati diri, kita keliru siapa yang dikatakan rakyat Malaysia dan siapa yang bukan. Bayangkanlah, orang Cina dan India yang fasih berbahasa kebangsaan pun kita terkejut. Bukankah mereka warganegara?
Kepada pempengaruh yang sibuk mengajar bahasa asing, buatlah inisiatif untuk mengajar bahasa kebangsaan kepada masyarakat antarabangsa pula. Cubalah buat sesuatu yang membanggakan negara. Tidak susah pun, duduk depan kamera, ajarlah perkataan-perkataan asas seperti ‘saya sudah kenyang’ atau ‘saya sayang kamu.’
Kepada pemimpin kita pula, ikhlaslah berjuang untuk bahasa kebangsaan. Tegaslah dalam mengangkat bahasa dan budaya kita. Saya yakin apa yang sedang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan suatu kerja murni. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.










