Tiga pengarah syarikat tidak mengaku palsu dokumen pindah saham

Tiga pengarah syarikat tidak mengaku palsu dokumen pindah saham

TIGA pengarah syarikat yang didakwa memalsukan dokumen bagi pemindahan saham tanpa kebenaran membabitkan sebuah syarikat sektor aeroangkasa dan teknologi pembuatan pesawat PetraX5 ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga pengarah syarikat berkait sektor aeroangkasa, PetraX5 didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan borang pindah milik saham, Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Ahmad Suhaimi Abdul Halim, 44; ​Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah, 32, dan ​Mohamad Haziq Aiman Shamsuddin, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret ​Amira Sariaty Zainal.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa memalsukan dokumen ‘share transfer form’ bertarikh 16 Februari 2026 di premis syarikat PetraX5 Sdn. Bhd., di sebuah unit kediaman di Jalan PJU 1A/42B, Ara Damansara, di sini pada 12 Mei lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh memohon agar diberikan jaminan rendah atas alasan mempunyai tanggungan keluarga, telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan tiada risiko melarikan diri.

Dalam prosiding tersebut, Ahmad Suhaimi diwakili peguam bela, Kailash Sharma manakala ​Raja Shazreen Petra dan ​Mohamad Haziq Aiman diwakili peguam bela, Muhammad Amin Othman, Amirah Batrisyia Adam Khan serta Mohd Anif Rafih.

Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 12 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini