Tiga dekad perkembangan STI, iktibar untuk mara ke hadapan

Tiga dekad perkembangan STI, iktibar untuk mara ke hadapan

STI
Banjir teruk pada Disember 2021 mengakibatkan puluhan nyawa hilang, kemusnahan harta benda serta ribuan operasi perniagaan terjejas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak bermulanya pandemik Covid-19 dua tahun yang lepas, rakyat Malaysia bergelut dengan pelbagai cabaran dan masih merasai impak krisis tersebut.  Sesungguhnya, tiga detik penentuan yang telah memberikan impak ke atas kehidupan kita sepanjang dua tahun ini adalah vaksin, kempen bendera putih, dan banjir. 

 Pengeluaran vaksin

Malaysia berada di kedudukan 10 teratas di dunia untuk kadar vaksinasi Covid-19.  Sehingga hujung Mac 2022, hampir 99 peratus orang dewasa telah diberikan dua dos vaksin Covid-19 dan 66 peratus telah pun menerima dos penggalak mereka.  

Pada masa ini, proses “fill-and-finish” dan pembotolan vaksin Covid-19 yang terpilih dilakukan oleh syarikat tempatan.  Namun, semua bekalan vaksin diimport dari luar negara.   

Malaysia menyasarkan untuk menghasilkan vaksin Covid-19 tempatan menjelang tahun 2024.  

Pengeluaran vaksin memerlukan penyelidikan ekstensif, pelaburan yang mencukupi dan ujian klinikal yang menyeluruh.  

Malaysia berada di kedudukan 10 teratas di dunia untuk kadar vaksinasi Covid-19. Sehingga hujung Mac 2022, hampir 99 peratus orang dewasa telah diberikan dua dos vaksin Covid-19 dan 66 peratus telah pun menerima dos penggalak mereka. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

Penyediaan kemudahan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (research, development, commercialisation, and innovation; RDC&I) memerlukan nilai pelaburan yang tinggi dan bilangan penyelidik mahir yang ramai.  

Secara umumnya, penyelidik setara sepenuh masa (full-time equivalent, FTE)  bagi setiap 1,000 tenaga buruh (merangkumi semua bidang penyelidikan di Malaysia) ialah 4.5.  Nilai ini jauh lebih rendah daripada FTE di Singapura (10.9) atau Korea Selatan (14.6). 

Hampir 80 peratus penyelidik di Malaysia berada di institusi pengajian tinggi dan institusi penyelidikan kerajaan. Tidak seperti negara-negara ekonomi maju di mana lebih ramai penyelidik tertumpu di sektor perniagaan.  

Penekanan penyelidikan di sana lebih tertumpu kepada penyelidikan asas dan gunaan (fundamental and applied research) yang banyak menghasilkan penerbitan artikel saintifik dan kurang penyelesaian masalah sebenar (real world problems). 

Di Malaysia, peningkatan kuantum dalam penerbitan penyelidikan tidak selalunya diiringi dengan lebih banyak paten disebabkan ketidaksepadanan kepentingan antara penyelidik dan aspirasi Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) negara.  

Di samping itu, kekurangan pelaburan dalam RDC&I oleh sektor perniagaan menjadi penghalang kepada hasrat negara untuk menjurus ke arah rantaian nilai yang berasaskan ekonomi pengetahuan (yang bermodalkan inovasi, penyelidikan dan kemajuan teknologi). 

Oleh yang demikian, Malaysia masih ketinggalan berbanding negara maju lain dalam menterjemahkan ilmu pengetahuan kepada inovasi dan kekayaan.  Justeru, pendekatan ekosistem (ecosystem approach) diperlukan untuk Malaysia menuju ke arah aktiviti RDC&I yang bernilai tinggi, disamping memiliki infrakstruktur kita yang tersendiri seperti dalam proses pengeluaran vaksin. 

 Kempen Bendera Putih 

Kempen ini memberi gambaran sebenar tentang kehidupan rakyat.   

Di Malaysia, kira-kira 20.7 peratus kanak-kanak mengalami pertumbuhan yang terbantut (stunted) (ketinggian yang rendah untuk kategori umur mereka) manakala 11.5 peratus mengalami pertumbuhan tersusut  (wasting) (berat badan yang rendah untuk kategori ketinggian).

Kanak-kanak daripada isi rumah dengan jumlah pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan lebih berkemungkinan terbantut pertumbuhan atau kurang berat badan bagi kategori umur mereka.  

Kempen bendera putih memberi gambaran sebenar tentang kehidupan rakyat.

Kanak-kanak yang terbantut pertumbuhannya kelihatan pendek bagi umurnya manakala kanak-kanak yang mengalami tersusut menunjukkan penurunan berat badan yang drastik disebabkan kekurangan makanan yang berkualiti.  

Setiap satu dalam empat rakyat Malaysia beralih kepada makanan yang kurang berkhasiat kerana kemiskinan.  Setiap satu daripada lima isi rumah tidak mampu menyediakan kepelbagaian dalam jenis makanan yang berkhasiat kepada anak-anak mereka.  Jumlah pendapatan yang tidak stabil dan peningkatan kos sara hidup membelenggu kelangsungan kehidupan kumpulan B40.  Pandemik Covid-19 telah meluaskan lagi jurang pendapatan yang sedia ada. 

Keadaan ini terbukti pada pertengahan tahun lepas ― semasa kemuncak pandemik ― apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan, banyak isi rumah yang kesempitan wang dan kekurangan makanan. 

Malah, golongan miskin bandar dibebani dengan kehilangan punca pendapatan semasa PKP dengan sedikit atau tiada langsung jaringan keselamatan sosial. 

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas teruk dan banyak kedai runcit terpaksa ditutup.  Orang ramai kemudiannya mengibarkan bendera putih dari rumah mereka untuk menandakan bahawa mereka memerlukan bantuan.  

Bendera putih memberi simbol harapan kepada golongan yang mengalami kesukaran kewangan ketika itu.   

 Banjir – akibat daripada kemerosotan alam sekitar 

Hujan lebat yang berpanjangan dari 17 hingga 19 Disember 2021 menyebabkan banjir teruk sehingga mengakibatkan kehilangan puluhan nyawa, kemusnahan harta benda serta ribuan operasi perniagaan terjejas.  

Hujan lebat yang berterusan selama 24 jam menyamai taburan purata hujan untuk sebulan telah mendedahkan realiti perubahan iklim yang mengakibatkan banjir terburuk dalam sejarah 50 tahun negara.  

Kurang daripada tiga bulan kemudian, banjir kilat melanda Lembah Klang semula pada 7 Mac 2022.  Kali ini, hujan yang berlarutan selama dua jam (bersamaan purata taburan hujan untuk setengah bulan) mengakibatkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi. 

Pakar akademik telah menyarankan strategi jangka pendek dan panjang termasuk infrastruktur tebatan banjir.  Ternyata fenomena banjir adalah akibat daripada kemerosotan alam sekitar dan sistem perparitan yang tidak terancang.  

Statistik menunjukkan purata kos perbelanjaan akibat banjir tahunan pada tahun 2000-an adalah sekitar RM915 juta.

Sepanjang 24 tahun yang lepas, Malaysia, secara kumulatifnya kehilangan anggaran RM7.8 bilion disebabkan bencana alam sekitar.

Ini tidak termasuk anggaran RM947.2 bilion untuk kos kebajikan berkenaan kematian pramatang akibat bencana alam.  Ini menyumbang kepada kerugian purata sebanyak RM39.8 bilion setahun, yang bersamaan dengan kira-kira tiga peratus kerugian KDNK pada tahun 2019 dan 2020.  

Aktiviti pembandaran, pembalakan yang meluas, penebangan hutan paya gambut serta penambakan hutan paya bakau merupakan faktor penyumbang kepada kejadian banjir teruk dalam 30 tahun kebelakangan ini. 

Oleh itu, pelaksanaan dasar yang berasaskan kajian adalah perlu supaya pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi adalah selaras dengan kemajuan negara.  

 Rumusan 

Negara yang mempunyai ekosistem STI yang mantap dapat menangani impak pandemik ini dengan lebih berkesan berbanding negara yang mempunyai ekosistem STI yang lemah.  Ekonomi Malaysia pada tahun 2022 diunjurkan pada kedudukan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.  

Namun demikian, jurang inovasi menjadi batu penghalang kepada negara untuk maju ke arah menginsankan ekonomi berasaskan pengetahuan bagi mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. 

Tambahan pula, ketidakseimbangan sosio-ekonomi dan kemerosotan alam sekitar yang semakin meluas menghalang kemajuan negara.  Untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2030, Malaysia memerlukan perubahan sistemik yang komprehensif, serta pendekatan “keseluruhan kerajaan dan masyarakat” yang lebih kukuh. 

Laporan Sains (Science Outlook 2020)

Akademi Sains Malaysia telah melancarkan Laporan Science Outlook 2020 bertajuk “Unlocking the Future” pada Oktober 2021. 

Ia memberikan analisis terperinci tentang pelbagai isu termasuk pendekatan ekosistem mengenai kemajuan Malaysia dari segi ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar, disamping menawarkan semakan realiti tentang perkembangan negara dalam tempoh 30 tahun yang lepas.  

Laporan ini bukan sahaja mengenal pasti kekuatan  dan kekurangan ekosistem STI yang ada sekarang, tetapi juga mengesyorkan langkah mara ke hadapan. Di manakah kedudukan negara sekarang? Apakah cabaran kita?  Apakah kisah kejayaan negara? Ke manakah arah tuju negara? 

Ringkasan eksekutif dan laporan lengkap boleh dimuat turun di pautan: https://www.akademisains.gov.my/so2020/ 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN